RAYYAN yang sudah siap dengan pakaian kerja sedang ralit menyiram pokok bunga ibunya di porch. Setelah selesai, dia hendak menutup pili tapi terpandang pokok rumah sebelah yang belum bersiram.
"Kesian kau pokok, tuan rumah sibuk, ya? Tak sempat nak bagi kau minum."
Rayyan terus sambung menyiram pokok sambil menyanyi-nyanyi kecil. Tiba-tiba terdengar bunyi pintu dibuka. Rayyan toleh. Dia ternampak Jasmine keluar hendak pergi kerja.
Rayyan pantas kembali ke depan rumahnya dan menutup pili air sebelum pura-pura mengelap Hilux dengan kain lembap.
Jasmine yang nampak pokok-pokok di depan rumahnya basah baru disiram terus menoleh ke arah Rayyan.
"Terima kasih, ya. Susah-susah aje tolong siram pokok," tegur Jasmine.
"Alah, setakat buat pahala sikit, tak susah mana pun." Rayyan membalas dengan ramah.
"Sekarang ni rajin eh siram pokok pagi-pagi? Selalu nampak mak cik aje yang siram," usik Jasmine, tersengih.
"Eh, taklah. Kita orang tengok siapa sempat. Kejap lagi mak nak pergi pasar, tu yang saya siramkan." Rayyan pertahankan diri.
"Baguslah awak ni. Rajin tolong orang tua. Calon suami mithali ni." Jasmine makin berani mengusik.
Rayyan tergelak. "Tulah pasal. Kesian saya, tak ada siapa nak jadi calon isteri mithali."
'Boleh tahan mamat ni kalau dilayan. Nanti aku yang lambat pergi kerja,' desis Jasmine dalam hati yang dah mula dup dap bila terdengar perkataan isteri mithali itu.
"Urm... Saya nak kena gerak ni, takut lambat sampai ofis," ujar Jasmine.
"Eleh, ofis dekat seksyen 13 aje, kan? Bukannya jauh," balas Rayyan juga makin berani.
"Tak jauh awak cakap? Kita ni di tengah, ofis saya di utara tau? Kalau jammed teruk, mahu sejam baru sampai. Dahlah saya naik bas."
"Alah, bukan nak sampai ke Perlis pun. Tunggu aje kejap lagi. Mak tengah siap tu. Lepas hantar mak pergi pasar, nanti saya hantar awak."
"Eh, tak payahlah. Buat susah aje awak nak hantar saya, lepas tu nak patah balik ambil mak awak. Pusing sana, pusing sini, nanti awak yang pening."
"Tak apalah, kan tadi kata calon suami mithali..." Rayyan menjawab perlahan sambil tersengih.
Jasmine terus tutup mulutnya yang sedang tergelak besar.
"Oh, kalau jadi calon aje sanggup buat apa saja, ya? Lepas tu bila dah terpilih, terus buat tak reti, macam tu?"
"Eh, tengoklah juga jadi calon untuk siapa? Kalau jadi calon untuk isteri mithali, bukan jalan jammed aje rela kurentasi tapi lautan api pun sanggup kurenangi." Tak mengalah lagi Rayyan.
"Amboi, dah berlautan api bagai ni, dah nak masuk meminang ke?" sergah Rozi tiba-tiba.
Rayyan terkejut lantas menoleh ke arah Rozi yang sudah siap dengan troli lipatnya. "Amboi, kemain lawa lagi. Mak nak ke pasar ke nak ke pergi dating?" Pantas Rayyan menukar topik untuk mengelak wajahnya merah malu kerana terkantoi.
"Aik, takkan tak boleh pakai lawa-lawa ke pasar? Kalau kawan-kawan kau yang jual ikan tu puji mak, kau juga yang dapat nama, kan?" balas Rozi.
Rayyan dan Jasmine tergelak.
"Min tak pergi kerja lagi ke? Selalu macam ni dah pergi, kan?"
Jasmine kerling Rayyan. Malu-malu nak cakap. "Boleh ke Min tumpang kereta Mak Rozi?"
"Eh, boleh sangat. Mak Rozi pun menumpang juga. Kereta ni Yan beli masa kerja arkitek. Gaji banyaklah katakan. Boleh beli kereta, renovate rumah. Sekarang ni bila dah berniaga sendiri yang tak berapa nak kencang tu, pandai-pandailah berjimat cermat. Pakai aje apa yang ada," cerita Rozi.
YOU ARE READING
Manis Tentang Kita (Free Chapter)
General Fiction"S... saya pun nak sembang kejap aje. Awak masuklah. Urmm... Kejap... Saya nak..." Rayyan putus kata-kata. Gugup gila. Jasmine pelik, lalu bertanya dengan nada tinggi. JIRAN tall, dark, handsome tetapi acah pemalu itu menjadi penawar rindu Jasmine...