Bab 14

56 4 0
                                    

SUASANA begitu meriah di ruang legar Pavilion itu dengan orang ramai dan booth-booth lebih dua puluh syarikat pemaju hartanah dan pembinaan. Riuh-rendah juga dengan suara pelanggan bertanya dan suara penjual menjelaskan tentang pakej promosi yang mereka tawarkan khusus untuk ekspo di situ.

Suasana itu langsung tidak dihiraukan oleh Jasmine yang ralit melihat telefon bimbitnya, menunggu balasan mesej daripada Jamilah. Riak wajahnya risau kerana tidak mendapat balasan daripada Jamilah selepas dia menjawab pertanyaan maknya tadi.

"Mesti mak frustlah tu. Tu sebab dia tak balas dah. Aduh! Macam mana nak pujuk ni?" desis Jasmine perlahan. Jiwanya rasa tidak tenteram. Bukan dia sengaja tak mahu balik tapi memang tak mampu. Dia perlu bukti dan tunaikan janjinya kepada bos cerewetnya itu.

Norman yang sedang melayani seorang pelanggan wanita berusia 40-an, menjeling Jasmine. Risau juga. Mana tidak risau, dua orang pelanggan lelaki dalam usia 40-an dan 60-an sedang menanti layanan daripada Jasmine. Tapi Jasmine buat selamba saja. Sibuk membalas mesej hal peribadi pula.

"Cik Jasmine, boleh I dapatkan informasi lanjut pasal lot pejabat di Bentong Pahang ni?" panggil pelanggan berumur 60-an itu.

Jasmine menoleh ke lelaki yang sedang senyum senget kepadanya itu lalu dia menyimpan telefonnya di dalam beg. Dia perasan Norman menjeling ke arahnya tadi. Bukan dia buat perangai selalu begitu. Sejak pagi tadi baru sekali dia memeriksa telefonnya dan tidak sangka ibunya mesej. Jadi, memang wajiblah dia balas. Bukannya dia pergi mengular berjam-jam macam Norman dan Anuar.

Jasmine memandang ke arah pelanggan 60-an yang masih tersenyum itu. Ahhh, ini yang Jasmine tidak tahan. Senyum gatal begitulah yang paling dia benci. Tapi senyum begitulah yang paling banyak dia terima selama beberapa hari berjualan di situ.

'Minta-mintalah orang tua ni jadi beli. Tak sia-sialah aku layan dia dah dua hari ni,' doa Jasmine dalam hati sambil senyum lalu mendapatkan lelaki tua itu.

Seorang lagi umur 40-an, tak mahu mengalah, menunjukkan risalah projek perumahan di Kota Kemuning pula.

"Saya minat projek perumahan di Kota Kemuning ni. Boleh jelaskan lagi tak?" katanya ramah.

"Boleh-boleh. Untuk Datuk-Datuk yang hebat ni, saya akan pastikan semua maklumat yang diperlukan, jelas pada Datuk, ya?" bodek Jasmine dengan ceria. Ceria fake.

"Alah, belum Datuk lagilah. Tapi manalah tau mulut you masin, tahun depan I dapat Datuk." Tersenyum simpul lelaki 60-an itu membalas. Kembang hidungnya dipanggil Datuk.

Yang seorang lagi, riak wajah sudah tak senang. "Saya datang baliklah nanti, Cik Jasmine," katanya dengan wajah seakan-akan merajuk.

'Eh apa hal pula?' getus hati Jasmine tapi wajah tetap senyum dan berkerut dahi.

"Datuk nak cepat ke? Kejap saya panggil kawan saya untuk jelaskan pada Datuk, ya?"

Jasmine baru hendak memanggil Anuar yang keseorangan tidak mendapat perhatian daripada pelanggan tapi lelaki itu menahan.

"Tak apalah, kejap lagi saya datang. Cik layan orang tua ni dulu," jawab lelaki 40-an itu dan terus berlalu.

"Emmm, tak payah layan orang macam tu, Cik Jasmine. Tak berbaloi. Baik layan I. I memang tengah cari lot kedai ni," sampuk lelaki 60-an yang segak dengan blazer hitam dan slacknya.

"Boleh, boleh. Siapa tadi, ya? Datuk apa tadi?" balas Jasmine ramah.

"Alah, you ni... Panggil I Abang Razak ajelah. Nanti I dapat Datuk, I bagi tau you, ya? So mana kad you?" balas orang tua gatal bernama Razak itu.

Jasmine senyum geram. 'Nak beli ke tak ni?' soal Jasmine dalam hati. Dia tak percaya sangat orang tua miang ni serius nak beli bangunan yang dikatakan.

"Kalau tak tau nombor telefon, macam mana kita nak discuss further apa I nak beli ni, kan?" pujuk orang tua miang itu lagi.

Manis Tentang Kita (Free Chapter)Where stories live. Discover now