Bab 7

61 4 0
                                    

FIRAZ berjalan mundar-mandir sambil tunduk berfikir. Sesekali dia memeriksa telefonnya dan berbalas mesej. Seketika kemudian Farida masuk ke biliknya dan terus duduk di sofa.

"Apa yang penting sangat? Orang nak shopping pun tak senang," tegur Farida tak senang apabila diganggu.

"Akak masih ada selera nak shopping? Ni, papa macam mana? Dah empat bulan hilang macam tu aje. Akak tak risau ke?" soal Firaz geram.

"Bukan benda peliklah papa diamkan diri. Dulu pun setahun dia hilang. Lepas tu tiba-tiba muncul. Suruh kita buka business ni. Dah lupa?"

"Ya, itu dulu tapi sekarang ni, papa patutnya dah bersih nama dia. Kenapa nak sembunyi lama-lama lagi?"

"Kau dengar sini. Walaupun papa dah tak terbabit lagi dengan geng lama dia tapi kau ingat geng lama tu akan lupakan dia? Kalau kena cekup, mesti dia orang akan seret sekali nama papa. Dia orang tu kan dengki dengan papa. Dengki sebab syarikat kita ni maju," terang Farida penuh yakin.

"Kalau tak ada bukti, polis takkan boleh tangkap papa."

"Bukti boleh dibuat, Firaz. Kau pun tahu yang papa tu bukan bersih mana pun. Semua tu papa dah ambil kiralah. Aku dapat info, papa masih di Thailand. So, kau jangan sibuk suruh Iqbal cari dia. Adalah sebab kenapa dia tak nak dedahkan diri dia tu."

"Senang aje akak cakap. Kalau papa tengah susah macam mana? Macam mana dia hidup kat sana? Siapa jaga dia?" Tinggi nada Firaz bertanya.

Farida tergelak mendengar kerisauan Firaz itu. "Kau ingat papa tu budak kecik? Come onlah, Firaz. Papa tahulah apa yang dia buat. Dah, kau fokus aje kerja kau. Yang aku tahu, Fasa 1 semua kena clear dalam tempoh 2 bulan ni. Bulan Jun kita lancar Fasa 2. Faham?"

Firaz diam saja. Wajah tidak puas hati kerana Farida hanya pentingkan business. Sedangkan nasib ayah mereka, Karim tidak diketahui.

"Aku nak cari papa dulu!"

Farida geram lantas bangun dan cekak kolar baju Firaz. "Kau jangan degil. Aku tak nak kau kotorkan tangan kau sebab papa. Kau mesti come clean. Orang tak boleh tahu yang kau masih berhubung dengan papa. Kalau kau degil, kau tahulah nasib kau nanti!"

Firaz tolak bahu Farida sampai terlepas kolar bajunya dan Farida terduduk semula di sofa.

"Bersih macam mana pun, darah aku ni dah mengalir darah kotor hasil kerja papa dan kau. Tak payahlah nak bermuka-muka sangat. Apa kerja jahat papa yang aku tak tahu? Syarikat ni pun hanya untuk cuci duit haram papa, kan?"

Farida bangun dengan wajah bengis. "Berapa kali aku cakap? Tutup mulut kau! Jangan sebut benda tu kat dalam ofis ni!"

Firaz senyum sinis. "Kenapa? Akak malu kalau aku cakap yang duit ni semua hasil seludup rokok, minyak, pelaburan emas tipu dan entah apa-apa lagi hasil kerja haram? Ya, papa dah berubah dan nak hidup normal tapi selagi papa tak dihukum, selagi itu kita semua bersubahat."

"Kenapa kau bodoh sangat, hah? Dulu kan papa dah kena penjara lima tahun. Nak apa lagi? Kalau papa kena tangkap lagi, semua harta kita mungkin akan kena beku sama. Tak boleh ke kalau kau bersabar? Biar sampai kes papa ni senyap?"

"Lepas tu, akak nak buat apa? Nak suruh papa sedekah sana sini? Hantar orang pergi umrah, haji, konon boleh cuci dosa papa tu?"

"Habis tu, kau bangga sangatlah kerja kau yang dulu? Hantar makanan, hantar barang. Berapa sen kau dapat?"

"Aku tak kesahlah hidup susah asalkan dapat rezeki halal."

"Okey, pergilah. Pergi balik pada hidup kau yang dulu. Pergi! Aku nak tengok sanggup ke kau nak tinggalkan semua kesenangan ni? Biar padan muka papa sebab percaya sangat dengan kau. Konon kau boleh jaga harta papa macam kau jaga nyawa kau sendiri."

Manis Tentang Kita (Free Chapter)Where stories live. Discover now