Bab 2

118 5 0
                                    

RUMAH teres dua tingkat lot tepi itu penuh dengan bunga-bungaan dan tanaman herba seperti kunyit, lengkuas, serai, halia, cili padi, kantan, kari dan ada juga sayur sawi, bayam dan kangkung. Ternyata penghuninya rajin bercucuk tanam.

Kelihatan sebuah Hilux putih berhenti betul-betul di tepi pagar dan terus parkir di situ. Pemuda tampan dan bertubuh sasa bernama Rayyan Zizri bin Arshad atau senang dipanggil Rayyan itu baru pulang dari klinik. Sebaik pintu dikuak, Rayyan terus turun dan berlari ke pintu sebelah penumpang. Rayyan membuka pintu dan membantu ayahnya turun dari kenderaan.

"Elok-elok, bah."

Arshad atau lebih mesra dipanggil Pak Chad, mengangguk dan memaut bahu Rayyan ketika turun dari kenderaan pacuan empat roda yang tinggi itu. Arshad baru pulang dari sesi fisioterapi di Hospital Shah Alam di Seksyen 7.

Sudah dua tahun Arshad diserang angin ahmar dan kesihatannya semakin baik. Dari tidak boleh berjalan langsung, kini Arshad sudah boleh berjalan perlahan. Cuma tangan dan kaki kirinya masih sedikit lemah dan perlu dibantu jika mahu turun atau naik kereta terutama yang tinggi seperti Hilux.

Sambil memegang satu beg kecil berisi ubat-ubatan, Rayyan segera bukakan pintu pagar.

"Cepat balik klinik hari ni, Yan?" sapa Rozi, mak Rayyan yang muncul dari dalam rumah.

"Tak ramai orang, mak. Tu yang cepat. Sampai tadi abah orang nombor dua. Masa abah buat fisio tu, Yan pergilah ambil ubat kolestrol dengan darah tinggi abah ni. Ubat lama dah habis."

"Sebab tu bagus pergi awal. Cepat pergi, cepat balik," balas Rozi sambil menyambut beg ubat yang diserahkan oleh Rayyan lalu menutup pintu pagar.

"Yan pergi nurseri terus, mak. Takut ramai orang, kesian pula si Meor tu sorang-sorang," ujar Rayyan sambil terus beredar menuju ke keretanya.

"Yalah, elok-elok bawa kereta tu," balas Rozi kemudian berpaling mengekori Arshad yang sudah sampai di depan pintu.

"Eh, lajunya jalan, bang. Nak ke mana?"

"Nak terkucil ni. Dari tadi menahan."

Rozi tergelak, sengaja mengusik suaminya. Laju manalah orang yang kena angin ahmar mampu berjalan. Rozi pandang saja suaminya yang berjalan perlahan-lahan masuk ke dalam rumah.

"Pakai selipar, bang. Tandas licin, baru cuci tadi," jerit Rozi.

"Ya, tahulah abang." Arshad menyahut tanpa berpaling ke arah Rozi.

Rozi senyum kemudian mengomel sendiri.

"Mujur dah siap masak. Kejap lagi mesti nak makan tu. Bukan boleh tahan lapar sangat orang tua tu."

Sambil itu sempat juga Rozi menyusun selipar di depan pintu biar teratur dan nampak kemas. Baru sedap mata memandang. Rozi memang cerewet sikit hal kebersihan dan kekemasan rumah. Sebab itu Arshad dan Rayyan sudah terbiasa. Mereka juga ikut sama suka berkemas dan membersihkan rumah.

Selesai menyusun selipar, Rozi menuju ke lamannya yang luas. Ada sebuah gazebo tempat melepak pada waktu petang. Rozi duduk di gazebo. Tidak lama kemudian Arshad melabuhkan punggung di sisi Rozi.

"Seminggu budak baru tu masuk, hijau sikit saya tengok pokok-pokok bunga dia. Kalau nak harapkan Mazni? Mati kejunglah pokok-pokok tu. Balik kerja aje terus berkurung dalam rumah. Keluar aje terus pergi kerja. Anti sosial betul. Tak macam Jasmine, nampak ramah, sopan budaknya." Sempat juga Rozi memerhati rumah sebelah.

"Tapi dulu elok aje bertegur sapa dengan si Mazni tu, kan?" balas Arshad selamba.

"Sentap dengan Rayyanlah tu, bang. Dia berkenan dekat si Rayyan tu."

Manis Tentang Kita (Free Chapter)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang