JASMINE termenung di depan komputer ribanya. Terngiang-ngiang kata-kata ibunya membuatkan dirinya ingin balik lebih kerap. "Tak taulah mak ni, bukan tak sihat. Sihat aje dah ni tapi bila Min tak ada depan mata mak sehari dua, mak rasa gelisah pula."
Jasmine mengeluh. Dengan longlai dia bangun dan berpaling ingin ke tandas. Tapi tingkahnya terhenti dan terkaku. Di depannya, Firaz sudah berdiri sambil berpeluk tubuh. Wajah Firaz dingin dan serius seperti selalu.
"Maaf bos, tak perasan bos di belakang. Bos nak jumpa saya ke?" Jasmine bersuara selamba.
Firaz segera menempelak. "Kau dalam dunia apa tadi?"
Jasmine pelik. "Hah? Dunia apa? Maksud bos?"
"Aku panggil kau dua kali. Tak respons. Ke kau pekak?"
"Ooo... Maaf, bos. Memang kadang-kadang saya ni terpekak juga. Pekak bila saya fokus buat sesuatu perkara lain," jawab Jasmine selamba.
"Lima minit kau termenung tu fokus apa? Fokus berangan nak kahwin putera raja? Ke dengan artis pujaan?"
'Taklah, khayalkan bos aje. Bos kan kaya? Dapat kahwin dengan bos tu dah kira bonus. Tak payah susah-susah nak fikir cari duit macam mana?' Selamba Jasmine menjawab dalam hati sebab kalau dia jawab betul-betul, harus dia kena halau sekarang juga.
Dahi Firaz berkerut melihatkan pekerja baharunya itu tiba-tiba berperangai selamba dan berani dengannya.
Jasmine tersenyum apabila tengok reaksi majikannya itu. Dari pagi dia fikir untuk berlagak selamba dan tidak mahu jadi lembik dan patuh sangat. Kalau dipecat, dia balik kampung. Habis cerita. Rezeki Allah yang bagi, bukan bosnya yang garang dan dingin bak salju itu.
"Errr... Kesian bos, lama berdiri perhatikan saya."
Firaz makin geram. Boleh pula perempuan tu senyum lepas kena marah. Dah sewel agaknya. Firaz melangkah semakin rapat dengan renungan tajam dan merapatkan wajah sejengkal di depan muka Jasmine.
Jasmine yang terkejut dan takut-takut, terundur ke belakang.
Kini wajah mereka hanya sejengkal saja. Dengan nada sangat menyakitkan hati, Firaz meluah geramnya di depan muka Jasmine.
"Kau boleh tak jawab benda yang penting aku tanya? Tak payah nak kesian-kesian sangat boleh tak? Kau ingat aku nak simpati kau ke apa?"
Jasmine tahu Firaz tengah mengamuk. Dia makin kalut dan tergagap-gagap nak cakap.
"Ta... tak bos. Bos orang kaya, orang senang, kurang masalah, mestilah tak perlukan simpati orang lain. Lagi-lagi staf bawahan macam saya ni. Maafkan saya, bos. Tolong bagi tau, bos nak saya buat apa?"
Jasmine terus tundukkan mukanya. Biarlah dia tengok kasut berjenama mahal bosnya daripada direnung tajam oleh lelaki kacak tapi sombong kekwat itu.
Firaz tenang sikit, sengaja nak tengok Jasmine kalut. Firaz berundur dua langkah, seluk poket seluarnya dan perhatikan Jasmine dengan lagak agak relaks. Orang ego tinggi memang macam tu. Nampak sasarannya sudah mengalah, barulah rasa menang.
Pekerja lain tidak terkutik. Pandang komputer tapi telinga masing-masing memang capang bak sebesar piring Astro. Mata masing-masing berekor menjeling-jeling ke arah Jasmine dan Firaz.
Jasmine tidak selesa berlamaan tunduk begitu. Lagipun ditengoknya kaki bosnya sudah menjauh lalu perlahan-lahan dia mendongak dan memandang ke arah Firaz.
"Akhirnyaaa... Baru betul soalan kau," kata Firaz lalu berpaling dan terus beredar.
"Masuk bilik aku sekarang!"
Jasmine terkedu, telan air liur dan terus melepaskan nafas lega. Dia tengok Safian di dalam bilik melalui dinding kaca. Safian yang sejak tadi memerhati, terus tunduk pura-pura sibuk.
YOU ARE READING
Manis Tentang Kita (Free Chapter)
General Fiction"S... saya pun nak sembang kejap aje. Awak masuklah. Urmm... Kejap... Saya nak..." Rayyan putus kata-kata. Gugup gila. Jasmine pelik, lalu bertanya dengan nada tinggi. JIRAN tall, dark, handsome tetapi acah pemalu itu menjadi penawar rindu Jasmine...