Bab 8

51 3 0
                                    

MALAM itu Jasmine buat keputusan nekad. Jasmine menelefon Safian dan beritahu yang dirinya ingin ambil cuti ganti esok. Nak balik kampung kejap sebab ada hal penting.

"Bukan awak kata nak ambil cuti Isnin, Selasa depan ke? Marah bos nanti kalau awak tak jaga booth Sabtu Ahad ni," kata Safian dari corong telefon.

"Memanglah saya cadang macam tu tapi saya kena balik esok juga. Mak tak sihat. Saya cuti Khamis aje. Jumaat saya naik kerja. Sabtu, Ahad pun saya ada. Encik Pian jangan risau."

"Emmm... Okeylah kalau macam tu. Awak baliklah."

"Terima kasih, Encik Pian," ujar Jasmine teruja.

Selepas mendapat keizinan daripada Safian, Jasmine terus mengemas baju.

"Tak payahlah bagi tahu mak, buat surprise terus. Mesti mak terkejut tengok aku terjengul depan rumah esok."

Gembira sedikit hati Jasmine sebab dapat balik kampung walaupun sekejap. Tapi sebenarnya dia memang sentap juga dengan Mazni. Jadi lebih baik dia tenangkan diri di kampung. Sekurang-kurangnya sehari dia tak perlu tengok muka Mazni. Selain itu, dapatlah dia lepaskan rindu pada mak walaupun sekejap.

Selesai mengemas pakaian, Jasmine mencapai bakul dan keluar ke porch mahu mengambil pakaiannya yang sudah kering. Baru hendak mengambil pakaian, dia terdengar suara memanggilnya. Jasmine mencari suara itu dan nampak Rayyan sedang duduk di gazebo sambil minum air mineral. Ada lampu solar yang dipasang di kawasan laman itu. Jadi suasananya memang terang.

Jasmine letak bakulnya dan keluar melalui pintu pagar rumahnya. Pintu pagar rumah Rayyan memang sudah terbuka jadi Jasmine terus masuk mendapatkan Rayyan di gazebo. Ada asap yang keluar dari sarang telur yang dibakar dan dimatikan apinya. Petua mudah untuk menghalau nyamuk daripada menghurung kaki dan tangan ketika melepak di luar rumah pada waktu malam.

"Duduklah." Rayyan bagi isyarat mata suruh duduk.

Jasmine pandang keliling. Serba salah tapi duduk juga. "Ada apa awak panggil saya?"

"Saja nak sembang kejap. Bosanlah tak ada kawan borak," jawab Rayyan dengan senyum manis.

"Amboi, dulu-dulu tak bosan ke? Tiber aje ni nak cari kawan borak? Mak Rozi dengan Pak Chad dah tidur ke?" balas Jasmine sambil tersenyum.

"Ada tu tengah tengok tv. Malaslah nak layan. Dia orang tu kalau borak asyik nak corner pasal kahwin aje."

"Yalah, anak teruna dah lanjut usia kan, mestilah dia orang bising. Takut nanti jadi bujang lapuk." Jasmine tergelak mengekek.

Rayyan pura-pura tarik muka. Sentaplah konon.

"Eh hello, cik adik hoi. Saya baru masuk 29, ya. Tang mana yang lanjutnya?"

Jasmine makin galak ketawa tapi cepat-cepat tutup mulut takut didengar dek orang. Nanti ada yang ingat puntianak yang mengilai.

"Ingat saya ni tak laku ke? Ramai aje yang nak datang pinang tapi saya yang reject tau?" Rayyan selamba saja bergurau. Tahu Jasmine pun bukan lurus sangat pun nak bezakan antara gurauan dengan serius.

"Oh, macam tu. Baguslah. Nak kahwin ni bukan boleh tangkap muat aje. Kena pilih yang elok budi pekerti. Tak lawa tak apa, janji kaya."

"Sindir sayalah tu, ya? Taklah, saya tak pernah pun terfikir nak cari isteri kaya raya. Yang penting, perempuan tu sayang saya. Cukuplah."

"Bab sayang tu yang susah sebab tak kenal maka tak cinta. Jadi kenalah kenal dulu betul-betul bakal isteri atau suami sebelum buat keputusan nak kahwin, betul tak?"

"Setuju. Awak tak nak kenal saya ke?"

Jasmine tergelak lagi. "Kan kita dah kenal, nak kenal apa lagi?"

Manis Tentang Kita (Free Chapter)Where stories live. Discover now