Bab 11

50 3 0
                                    

FIRAZ masuk ke biliknya. Dia duduk di kerusi, bersandar dengan wajah tetap dingin dan serius. Beberapa ketika, tiba-tiba dia tergelak sikit.

Teringat bagaimana tadi masa dia baru sampai, dia ternampak Jasmine menepuk-nepuk pipi sambil bercakap entah apa-apa kerana kurang jelas. Tetapi pada akhir katanya Firaz dengar jelas gadis selamba itu menjerit. "Yeahhh!"

"Peliknya perangai tapi..."

Firaz yang tersenyum sendiri teringatkan kelakuan comel pekerja baharunya itu tiba-tiba berubah serius dan dingin. Dia menarik nafas panjang lalu bangun menuju ke belakang, mengadap cermin dindingnya yang membentangkan pemandangan Shah Alam yang tenang.

"Ingat, Firaz! Semua perempuan cuma nakkan kau sebab harta dan status kau aje. Jangan terpedaya sangatlah. Jauh lagi perjalanan kau. Misi kita, misi syarikat ni lebih penting sekarang ni."

Terngiang-ngiang nasihat kakaknya, Farida. Betulkah itu nasihat? Atau selayaknya boleh digelar amaran? Amaran kepadanya agar jangan memandai-mandai nak bercinta atau berkahwin dalam masa terdekat ini.

"Ah! Aku pun bukan hadap sangat kat perempuanlah! Semuanya sama!"

Tiba-tiba terdengar suara gadis berdehem di belakangnya. Firaz berkerut dahi lalu berpaling ke arah Jasmine yang berdiri di depan mejanya dengan satu fail kertas.

Jasmine serba salah dan tak berani memandang Firaz yang tidak pernah senyum itu. Pernah sikit, tapi tak ikhlas. Sempat pula Jasmine mengingatkan saat-saat dia bersama bosnya yang cerewet itu.

"Apasal kau kat sini? Tak, berapa lama dah kau ada kat situ?" soal Firaz dengan wajah tak puas hati. Risau sebenarnya jika gadis itu mendengar keluhan dia tadi.

"Errr tadi... Bos Pian errr... Encik Pian kata bos nak jumpa saya," jawab Jasmine dalam nada risau. Yalah, risau juga kalau-kalau dia yang tersilap dengar arahan Safian tadi. Safian tu kalau bercakap dalam keadaan cemas, memang laju gila. Kalah budak-budak penghantar makanan.

"Aku panggil?" Firaz bertanya semula sambil menuju ke kerusinya lalu duduk.

Jasmine mula risau apabila mendengar jawapan Firaz itu. Sementelah lagi wajah Firaz macam langsung tak tahu-menahu yang dia memang diberitahu Safian tadi.

"Aduh... Takkanlah Encik Pian salah cakap? Ke saya yang salah dengar? Jadi Encik Firaz tak panggil sayalah, ya? Kalau betul tak panggil, saya kembali ke pangkal jalanlah. Eh, kembali ke meja kerja sayalah. Maaf ya, bos." Laju saja Jasmine minta diri macam nak membuang 'hajat' saja padahal memang cari alasan tak mahu berdepan dengan Firaz.

Tanpa tunggu Firaz menjawab, Jasmine terus berpaling hendak keluar. Tapi baru beberapa langkah, Firaz membalas, "Ada aku cakap suruh pergi?"

Jasmine menekan brek mengejut sambil mengetap gigi lalu perlahan-lahan berpaling semula dan sengih kelat. Sebaik berpandangan dengan Firaz, Jasmine menggelengkan kepala.

"Duduk!" Tegas Firaz bagi arahan.

Jasmine terpaksa mendekati semula meja kayu jati bosnya itu lalu perlahan-lahan duduk dengan sangat tertib bak perempuan Melayu terakhir yang ingin bertemu Sang Rajuna Tapa.

Firaz merenung Jasmine tajam. Sengaja dia kata dia tidak tahu tentang Safian minta gadis itu berjumpa dengannya. Padahal sebelum dia masuk bilik tadi, memang dia telefon Safian dan arahkan Jasmine masuk ke biliknya. Ya, dia memang sengaja nak tengok gadis comel itu kalut. Lagi kalut, lagi pelik perangai dan kata-katanya.

'Matilah aku kalau bos ni diam lagi. Dah dua minit dia pandang aje aku ni. Apa aku nak cakap ni?' getus hati Jasmine risau.

"Kau dengar ke apa aku cakap tadi?" tanya Firaz tiba-tiba.

Manis Tentang Kita (Free Chapter)Where stories live. Discover now