Prolog

22 2 0
                                    

Cahaya terang yang menyilaukan menerobos masuk ke dalam kelopak matanya, dia terpisat-pisat  cuba menyesuaikan diri. Tiba-tiba, rasa sakit yang amat menyambar kepalanya. Seolah-olah ada jarum yang ditusuk tepat ke tengkoraknya, menyebabkan dia terhenti sejenak, cuba mengangkat tangan untuk memegang kepalanya, namun... pandangannya tertancap pada tubuhnya sendiri. Tidak ada satu pun anggota tubuhnya yang bergerak. Dia cuba lagi, berulang kali, tapi usahanya tetap sia-sia. Badannya seakan diikat oleh kekuatan yang tidak kelihatan.

Apabila rasa sakit di kepalanya mulai mereda, matanya melilau, mencari-cari petunjuk. Dan di situlah, dia tersedar.

Tak mungkin... bilik ni lagi...

Gelombang ketakutan mula menyusup ke seluruh tubuhnya. "Tak nak... aku tak nak!" fikirnya dalam hati, panik. Dia cuba bergerak lagi, tetapi tubuhnya tetap kaku. Bunyi bip dari mesin ECG di sebelahnya memecah keheningan suasana, tanda denyutan jantungnya direkod tanpa henti. Namun, perhatiannya beralih ke meja keluli di sebelahnya, berkilat dan penuh dengan peralatan yang membuat darahnya berderau.

Jarum suntikan disusun rapi, botol-botol kecil penuh dengan cecair yang tak dikenali berdiri tegak, dan pisau bedah tajam terletak elok menanti untuk digunakan. Mata pisau itu memantulkan cahaya silau, seperti kematian yang menyapa dari bayang hitam. Bau antiseptik menusuk hidungnya, menguatkan lagi rasa seram dan kesunyian di bilik yang mengerikan ini.

Beberapa minit yang terasa seperti berjam-jam, berlalu dalam ketakutan yang menyeksakan, sehingga akhirnya lelaki itu tiba. Lelaki berbaju putih, seperti selalu, jubah doktor yang kelihatan biasa di luar tetapi tersirat ngeri di dalam. Tangan lelaki itu dibalut sarung getah, masih ternoda dengan darah segar.

Tolong... tolong lepaskan aku... Aku tak sanggup lagi.

Degupan jantungnya makin laju. Dia tahu, setiap kali lelaki itu muncul, darah pasti akan tumpah. Sarung tangan berdarah itu dicabut dan dibuang ke dalam tong sampah, diganti dengan sarung tangan baru, bersih... untuk seketika.

"Awake already, are we?" Suara lelaki itu sinis, dilapisi dengan senyuman yang lebih menyerupai bayangan kematian.

Lelaki itu menatap pisau bedah di tangannya, meneliti tajamnya, seakan-akan memuja alat itu. Perlahan-lahan, dia melangkah ke arah budak lelaki yang tidak berbaju, terbaring tanpa daya. Pisau bedah itu mendekat pada dada budak itu, semakin hampir, dinginnya menusuk kulit tanpa menyentuh. Air mata mula bergenang di tepi mata, degupan jantungnya semakin liar, takut yang mencengkam ulu hatinya hingga dia hampir sesak nafas. Dia cuba memejamkan mata, cuba melarikan diri dari realiti ini.

"Wait..." Pergerakan lelaki itu terhenti seketika, menambahkan ketegangan di udara.

"Boy, guess what, I just remembered..." Suaranya bertukar ceria, tetapi kejam. "No anesthesia today. Good luck with that!"

Matanya terbuntang, rasa panik membanjiri seluruh tubuhnya. Jeritan pertama meluncur keluar dari mulutnya, bergema di segenap ruang bilik. Setiap hirisan pisau disusuli dengan jeritan pedih, sementara lelaki itu ketawa sinis, menikmati setiap detik penderitaannya. Suara ketawa yang menyeramkan dan tangisan yang perit bergabung mencipta suasana mencengkam yang hampir tak tertanggung.

Selepas beberapa minit—atau mungkin berjam-jam—jeritan itu perlahan-lahan lenyap, tenggelam dalam senyap. Tidak diketahui, adakah masih hidup... atau sudah pun mati.

Veils of the AbyssWhere stories live. Discover now