Suasana di dalam bank semakin sepi, kegelapan menguasai setiap sudut, seolah-olah mereka terperangkap dalam dunia yang sunyi dan terasing. Elektrik sudah lama terputus, bersama talian komunikasi yang tidak lagi berfungsi. Dalam situasi ini, satu-satunya pilihan mereka adalah menuju ke bilik yang menempatkan panel suis utama. Mungkin masih ada harapan untuk menghidupkan semula kuasa secara manual.
Aiden Mikhail melangkah tenang di hadapan, hanya ditemani cahaya suluh yang samar-samar menerangi jalan. Di belakangnya, Ariesya berjalan rapat, hampir menyentuh lelaki itu, seolah-olah kehadiran lelaki itu memberi rasa selamat. Bukan dia tak berani, tapi dalam suasana gelap begini, keberaniannya ada had juga. Sesekali, dia menoleh ke kiri dan kanan, bimbang jika sesuatu muncul dari celah kegelapan yang tidak terduga.
Aiden, yang sudah terbiasa dengan jarak peribadi, merasai kehadiran Ariesya yang begitu dekat. Dia tidak menunjukkan sebarang reaksi. Jika Ariesya selesa begitu, dia biarkan sahaja. Dia tidak punya masa untuk peduli tentang perkara remeh.
Mereka tiba di hadapan pintu yang bertulis 'Security Control Room.' Pintu itu ternganga sedikit, menandakan ia ditinggalkan dalam keadaan tergesa-gesa. Aiden mendorong pintu itu dengan satu tolak kecil, membuka laluan ke dalam bilik yang kini suram dan tidak terurus.
Di dalam, keadaan sedikit berselerak. Dokumen dan fail berterabur di atas meja, kesan daripada pegawai bertugas yang bergegas keluar selepas penggera kebakaran berbunyi. Skrin-skrin yang menghiasi dinding kelihatan gelap, tidak ada sebarang kuasa untuk menghidupkannya. Kabel-kabel berselirat di lantai, sesetengahnya masih bersambung ke komputer yang kini tidak berfungsi. Bekas cawan kopi masih ada di sebelah papan kekunci, tanda-tanda yang menandakan bilik ini dahulu aktif, tetapi kini sunyi dan mati.
Bau hapak mula memenuhi udara, kesan daripada penghawa dingin yang terhenti sejak tadi. Lampu kecemasan kecil berkelip-kelip di sudut bilik, menjadi satu-satunya sumber cahaya selain lampu suluh Aiden. Bunyi generator simpanan berbisik halus dari arah belakang bilik, namun belum ada siapa yang menghidupkannya.
Aiden berdiri di hadapan suis besar yang tertulis 'Backup Power'. Matanya meneliti butang itu, tetapi dia tidak menggerakkan tangannya. Sesuatu bermain di fikirannya. Manakala, Ariesya memandang sekeliling, kadang-kadang menoleh ke pintu, memastikan hanya mereka berdua yang berada di aras bawah tanah ini.
"Tuan, tu peta bangunan ni," suara Ariesya terhenti di satu sudut. Jari telunjuknya menghala ke papan maklumat yang penuh dengan beberapa helaian kertas. Aiden hanya mengangguk, pandangan matanya tidak beralih dari suis generator yang belum dihidupkan. Ariesya berasa sedikit canggung, tetapi melangkah ke arah peta itu.
"Ikut peta ni, electrical room tak jauh dari sini," gumam Ariesya, lebih kepada dirinya sendiri. Dia kemudian mendekati meja yang berselerak tadi, membelek fail-fail yang terbuka, mencari petunjuk apa saja yang boleh membantu.
"Ariesya," panggil Aiden tiba-tiba, suaranya tenang, tetapi penuh dengan sesuatu yang mendalam. Tangannya masih memegang suis generator itu, tetapi tidak bergerak, seperti ada sesuatu yang menahannya. "Macam mana keadaan Amira sebenarnya? Dia... okay?"
Ariesya terhenti. Pertama kali Aiden memulakan perbualan secara peribadi. Sebelum ini, selalunya dia yang memulakan bicara, tetapi kali ini lelaki itu yang bertanya. Ada sesuatu dalam nada suaranya yang menunjukkan rasa bersalah, tetapi dia tidak tunjukkan dengan jelas. Ariesya berfikir sejenak, cuba mencari kata-kata yang betul. Dia tahu, Aiden mungkin sedang menyalahkan dirinya kerana tidak mampu menyelamatkan Amira.
"Amira? Kecederaan dia agak serius, sebenarnya," kata Ariesya perlahan, memilih kata-katanya dengan hati-hati. "Tapi tuan tak perlu risau. Dia kuat. Tekad dia untuk hidup tinggi. Lebih cepat kita keluar, lebih cepat dia boleh dirawat." Dia melirik ke arah Aiden, mencari reaksi yang mungkin. Wajah lelaki itu tetap sama, dingin, tetapi dia dapat merasakan sedikit perubahan – seperti sedikit beban telah hilang dari bahunya.
YOU ARE READING
Veils of the Abyss
RomanceDalam pencarian kebenaran mengenai kehilangan ayahnya, Inspektor Ariesya Qaisara terjebak dalam kes pembunuhan bersiri yang semakin mencabar minda dan emosi. Di sebalik semua itu, muncul seorang lelaki misteri, Aiden Mikhail, yang dikatakan dapat me...