Bab 1

21 2 0
                                    

     Aiden Mikhail terjaga dengan tiba-tiba, nafasnya laju dan tidak teratur. Seluruh tubuhnya dibasahi peluh seolah-olah dia baru keluar dari mimpi yang nyata dan menakutkan. Tekaknya kering dan dahaga yang amat, perit apabila dia menelan air liur untuk membasahkan tekak. Garis-garis keletihan dan tekanan jelas terpamer di wajahnya, mencerminkan betapa dahsyatnya mimpi itu.

     Dengan pergerakan yang berat, Aiden bangun dari katil. Botol air mineral di atas meja dicapai dan diteguk dengan rakus, seolah-olah cuba memadamkan api yang membara di dalam kerongkongnya. Dia termenung panjang. Sampai bila dia harus dihantui mimpi-mimpi ini? Tangan kanannya mencapai telefon di atas meja, mata sejenak terhenti pada skrin. Nombor seseorang didail. Tidak ada keraguan. Tidak ada penjelasan. Hanya tindakan automatik.

     Deringan telefon disambut dengan suara yang jelas keletihan. "Hmm... hello?" Suara itu kedengaran mengantuk, seakan tidak bermaya.

     "Aku mimpi lagi," suara Aiden pendek, dingin, dan terus ke maksud.

     "Hah? Aiden, sekarang ni pukul 3 pagi tau. Esoklah kau cerita," balas suara di hujung talian, kedengaran seperti cuba melawan rasa mengantuk yang amat.

     Wajah Aiden kekal kosong. "Kau yang suruh aku bagitahu kalau mimpi lagi." Suara dinginnya mula stabil.

     "Ya... tapi bukan pukul 3 pagi, Encik Aiden. Esok aku kerja. Kau datang hospital, kita sembang," suara itu jelas cuba menahan rasa mengantuk. Tanpa amaran, talian dimatikan.

     Aiden menurunkan telefon perlahan-lahan ke atas meja. Renungannya kosong, tiada ekspresi. Tiada geram, tiada marah. Hanya kesunyian. Tanpa sebarang kata, dia kembali ke katilnya.Matanya tertutup, tapi tidurnya bukanlah untuk melarikan diri kerana esok segalanya akan kembali berulang.

#

     "Selamat pagi, Inspektor Ariesya," sapa Sarjan Azman dengan senyuman mesra.

     "Pagi," balas Ariesya Qaisara sambil membalas senyuman kecil. Dia melangkah masuk ke pejabatnya dan meletakkan fail kes di atas meja. Meskipun masih muda, pangkat Inspektor yang dipegangnya memberikannya ruang pejabat sendiri—satu keistimewaan di balai besar seperti ini. Walaupun kecil, ruang itu cukup untuknya menyusun bukti dan laporan tanpa gangguan, membolehkannya fokus sepenuhnya pada penyiasatan.

      Selesai meletakkan fail, Ariesya segera melangkah keluar semula dari pejabatnya, wajahnya jelas terpancar sedang memikirkan sesuatu. Ada misi yang perlu dia selesaikan— misi yang dibuat sendiri dan tidak diketahui sesiapa. Inilah tujuan utamanya memilih kerjaya sebagai pegawai polis. Dan sebab itu juga, dia kini menjadi salah seorang Inspektor termuda di jabatan.

     Di ruang rehat balai polis, beberapa pegawai sedang duduk berehat sambil menikmati kopi. Konstabel Madiha, yang memang terkenal dengan gosipnya, sudah tak sabar mahu membuka topik perbualan yang dia yakin tiada siapa tahu.

    "Eh, korang tahu tak—"

      "Inspektor! Sini, sini. Madiha ni ada benda nak cerita. Macam penting je," potong Sarjan Azman sebaik sahaja terlihat kelibat Ariesya keluar dari biliknya.

     Aduh, aku lupa kena 'check in' dulu dengan diorang ni. Ariesya cuba mengukir senyuman yang nampak ikhlas, walaupun hatinya sudah berkerut memikirkan urusan yang lebih penting. Madiha memuncungkan bibir, cemberut melihat ceritanya dipotong. Suka-suka hati je potong cerita aku.

     "Haa, kenapa ni? Tak ada kerja ke? Bukan hari ni ada taklimat pasal kes jumpa tulang-temulang dekat Bukit Cendawan Putih?" ujar Ariesya, suaranya tegas tetapi santai. Dia perlu cepat. Dalam masa sejam, taklimat itu akan bermula, dan dia tak mahu ketinggalan sebarang maklumat penting.

Veils of the AbyssWhere stories live. Discover now