Muka seposen ditayangkan. Tak mungkinlah dia. Apa dosa besar yang aku buat sampai jadi macam ni? Aku ada hutang yang terlupa nak bayar ke? Atau pagi tadi terlupa nak solat Subuh?
Dah kenapa pula lelaki tu ada dekat sini?!
Ya, dia kenal lelaki itu. Lelaki tu lah yang dia langgar tadi. Dahinya masih berdenyut lagi walau hanya sedikit. Kalau minta maaf, tak apa lah juga, masalahnya terus pergi tanpa rasa bersalah, langsung tak menoleh. Tapi sekarang, kenapa dia yang berdiri di hadapan sana, membentangkan kes baru ini?
Ariesya Qaisara mula gelisah. Sesak dadanya, seperti ada sesuatu yang menghimpit pernafasannya. Rasa malu yang bercampur dengan rasa tak puas hati membakar dalam dirinya. Rasa marah pun ada tapi rasa takut pula yang menyusup masuk.
Tak mungkin lelaki itu yang aku kena bekerjasama nanti? Argh, aku tak nak terlibat dengan dia!
"... seperti yang kamu semua maklum, aku Aiden Mikhail telah diminta untuk membantu unit jenayah khas menyelesaikan kes ini. aku harap dapat bekerjasama dengan kamu semua. Sesiapa yang tidak mahu terlibat dalam kes ini, aku sarankan agar menarik diri dengan segera. Faham?" Mata dinginnya tajam memandang Ariesya, seperti menikam terus ke dalam fikirannya. Rasa kecut dan kecil mula merayap dalam dirinya. Seolah-olah dia sedang dihakimi tanpa belas kasihan.
Aura dingin lelaki itu memenuhi setiap inci bilik mesyuarat. Semua yang hadir terasa kecut, seolah-olah suhu bilik jatuh beberapa darjah. Entah kenapa, walaupun tiada ugutan yang jelas, kehadiran Aiden Mikhail cukup untuk membuatkan semuanya diam seribu bahasa. Kehadirannya mendominasi ruang tanpa sebarang usaha.
"Terima kasih, Tuan Aiden Mikhail. Ada apa-apa soalan?" tanya ASP Kamil. Dia sendiri kelihatan sedikit terganggu, hairan melihat semua anak buahnya senyap membisu.
Sesaat... Dua saat... Tiga saat... Sepi.
"Baiklah. Ariesya, boleh kamu simpulkan mesyuarat kita hari ini?" suara Kamil kedengaran jelas, memecah keheningan yang janggal.
Haa sudah. Ariesya tersentak. Otaknya masih berserabut dengan situasi tadi. Nasib baiklah dia memang sudah membaca laporan berkenaan kes ini.
"Pada 17 September 2023, beberapa tengkorak dan tulang manusia dilaporkan dijumpai di Bukit Cendawan Putih yang tak berpenghuni oleh seorang pengutip herba. Proses penggalian besar-besaran telah dijalankan, dan keseluruhan 16 tengkorak telah ditemui, beserta..."
Ariesya terdiam. Gambaran mayat itu bermain dalam fikirannya, meremangkan bulu roma. Selalunya, setiap kali dia membaca laporan, dia mampu mengawal emosinya, tapi kini, dengan Aiden di hadapan dan dengan suasana yang dingin ini, segala rasa itu lebih berat.
"...beserta dengan mayat seorang wanita yang baru ditanam malam sebelum penemuan itu. Kes sebegini biasanya kita dengar berlaku di luar negara. Tapi hari ini, jelas sekali, pembunuhan berprofil tinggi ini sudah pun masuk ke dalam negara kita."
Perut Ariesya terasa mual, bayangan mayat wanita itu seperti terpampang di hadapan matanya. Apa yang wanita itu lalui sebelum dibunuh? Ariesya hanya boleh bayangkan kesengsaraan dan ketakutan yang dilaluinya. Kesal menyelubungi hatinya. Rasa bersalah mula menghantui. Kenapa dia tidak berada di sana lebih awal untuk menghentikan perkara ini?
Aku tak boleh biarkan ini berulang. Aku akan pastikan pembunuh kejam itu ditangkap, janji Ariesya dalam hati.
"Itu sahaja untuk hari ini. Semua boleh bersurai. Ariesya, Aiden, jumpa saya di bilik sebentar," kata ASP Kamil, suaranya menyedarkan Ariesya dari fikirannya yang kusut.
#
"Tapi ASP, saya tak perlukan partner untuk selesaikan kes ni!" Ariesya Qaisara hampir menjerit, menahan sebak yang mahu meletus. Kerja gila untuk bekerjasama dengan lelaki dingin ini. Dah lah sombong, langsung tidak menunjukkan sebarang simpati.
YOU ARE READING
Veils of the Abyss
RomanceDalam pencarian kebenaran mengenai kehilangan ayahnya, Inspektor Ariesya Qaisara terjebak dalam kes pembunuhan bersiri yang semakin mencabar minda dan emosi. Di sebalik semua itu, muncul seorang lelaki misteri, Aiden Mikhail, yang dikatakan dapat me...