Sebaik sahaja pintu lif berjaya dibuka, tubuh Amira sudah terbaring kaku di lantai. Tanpa berlengah, Ariesya segera melangkah masuk, lututnya jatuh ke sisi wanita itu. Hatinya mula diselubungi rasa takut yang semakin mencengkam, membuatkan setiap nafas terasa semakin berat. Dalam keadaan yang tegang dan serba salah, degupan jantungnya berirama kencang, menambah kekusutan emosinya.
Namun, Ariesya cuba memaksa dirinya untuk fokus, mengawal diri demi melaksanakan tugasnya—memeriksa nadi Amira, menilai setiap kesan luka yang jelas, dan berusaha menghentikan pendarahan di lengannya yang patah. Setiap pergerakan terasa genting, seolah-olah nyawa Amira tergantung pada benang halus yang boleh terputus bila-bila masa. Rasa panik semakin menyelinap dalam mindanya, menghantui dengan kebimbangan, bimbang dia mungkin tidak cukup cekap untuk menyelamatkan wanita itu.
"Cik, cik boleh dengar saya?" Ariesya bersuara, cuba menyembunyikan kegelisahan yang mula menguasai dirinya. Dia meneliti iris mata Amira, berharap ada sedikit reaksi yang menandakan dia masih sedar.
"Amira..." Suara wanita itu begitu perlahan, tenggelam dan hampir tak kedengaran.
"Amira, boleh tak ikut jari saya?" Ariesya mengangkat tangannya, meletakkan telunjuknya di hadapan mata Amira, menggerakkannya perlahan-lahan ke kiri dan kanan. Mata Amira mengikuti, namun jelas kelihatan betapa lemahnya wanita itu.
"Bagus, refleks motor masih berfungsi." Ariesya beralih memandang Aiden dengan pandangan yang penuh cemas. Degupan jantungnya semakin kuat, setiap saat dirasakan seperti berlumba dengan masa. "Tapi pernafasan dia lemah. Kita kena bawa dia keluar cepat. Boleh tak sesiapa bawakan first aid kit atau apa-apa untuk sokong leher dia? Kalau kita tersilap, dia mungkin boleh lumpuh."
Suara Ariesya walaupun jelas dan tegas, tidak dapat menyembunyikan kebimbangan yang semakin menghimpit. Waktu seolah-olah semakin sempit, rasa takut mula meresap ke dalam setiap inci tubuhnya.
#
Dalam suasana yang semakin kelam, seorang lelaki bertopeng hitam berdiri kaku di sudut koridor gelap. Jam di tangannya menunjukkan tepat pukul tujuh malam. Sarung tangan hitam yang membalut jemarinya erat menggenggam tukul besi. Pandangannya tidak beralih dari bawah, di mana seorang wanita yang berjuang keras menyelamatkan mangsa akibat daripada hentaman lif. Bibirnya mengukir senyuman yang ngeri, menyimpan niat jahat yang hanya dia ketahui.
'Tak perlu usaha pun. Semua ini akan berakhir juga,' bisiknya perlahan, lebih kepada dirinya sendiri.
Dia mula melangkah, langkah kakinya perlahan namun penuh tujuan. Masa yang diberikan untuk keluar dari bangunan sudah tamat. Bangunan ini kini kosong daripada orang awam yang tidak diperlukan. Hanya mereka yang telah dipilih sudah terperangkap di dalam bangunan ini, masih belum menyedari nasib buruk yang menanti.
Destinasinya jelas—bilik elektrik, pusat kawalan segala tenaga dalam bank ini. Pintu bilik itu ditolak perlahan, mendedahkan panel elektrik yang dipenuhi ratusan wayar berselirat. Lelaki itu berdiri di hadapan panel, matanya merenung wayar-wayar yang bersilang, memilih sasarannya dengan teliti. Nafasnya perlahan namun teratur, jemarinya mencapai alat pemotong.
Setiap kali wayar terputus, suasana dalam bangunan itu semakin sunyi. Lampu-lampu neon malap satu persatu, menghilang di dalam kegelapan yang semakin pekat. Langit di luar sudah mula berubah, tanda malam hampir menjelma. Dalam kegelapan itu, bunyi gesekan logam dari shutter automatik yang turun terdengar jelas, menutup setiap pintu keluar dengan kemas dan penuh ancaman.
Setiap akses keluar kini terkunci. Dia tersenyum tipis, tatkala kegelapan menyelubungi seluruh bangunan. Dalam kesunyian yang mencekam, hanya satu perkara yang pasti—tiada sesiapa akan keluar dari sini.
YOU ARE READING
Veils of the Abyss
RomanceDalam pencarian kebenaran mengenai kehilangan ayahnya, Inspektor Ariesya Qaisara terjebak dalam kes pembunuhan bersiri yang semakin mencabar minda dan emosi. Di sebalik semua itu, muncul seorang lelaki misteri, Aiden Mikhail, yang dikatakan dapat me...