Wanita itu sudah pun selamat dipindahkan ke tingkat tiga. Dia ditempatkan di atas meja di penjuru bilik pantry yang agak luas. Ruang itu menjadi pilihan kerana berdekatan dengan tandas dan sumber makanan untuk mengalas perut sekiranya mereka terpaksa bertahan lebih lama dari yang dijangka.
Ariesya Qaisara memandang Nek Jah yang duduk di situ, memegang erat tangan cucunya, Amin. Kedua-duanya kelihatan masih terkejut. Nek Jah menundukkan wajah, matanya masih bergenang dengan air mata. Cuaca yang gelap di luar menambah perasaan muram dalam bilik itu.
"Nek Jah..." Ariesya berlutut di hadapan mereka, suaranya lembut tapi tetap tegas. "Jangan risau, buat masa ni kita semua selamat. Saya tahu semua ni menakutkan, tapi saya dengan Aiden tengah cuba cari jalan keluar. Nek Jah kena kuat, ya? Amin pun... kamu kena kuat untuk tolong nenek."
Nek Jah mengangguk perlahan, tetapi dia masih kelihatan bingung. Amin pula memandang Ariesya dengan mata yang sayu, cuba untuk kelihatan berani, tetapi jelas kelihatan ketakutan.
Ariesya menyentuh bahu Amin. "Tak apa, Amin. Semua orang takut, tapi kamu kena percayakan akak, okay?"
Amin mengangguk kecil, walaupun bibirnya bergetar. "Okay, kak."
Ariesya menghela nafas panjang, kemudian kembali memandang Nek Jah. "Nek, boleh Nek Jah ceritakan balik apa yang berlaku dalam lif tadi? Apa yang sebenarnya jadi?"
Nek Jah menggenggam tangan Amin lebih erat. "Mula-mula, lif tu berhenti tiba-tiba. Lepas tu... Amira tekan butang kecemasan, tapi tak ada siapa yang menyahut. Tak lama lepas tu, bunyi dentuman dari atas lif. Nek Jah tak tahu bunyi apa tu..."
"Bunyi dentuman dari atas lif?" Ariesya mengerutkan dahi, cuba memahami. "Nek, ingat tak berapa kali bunyi tu?"
Nek Jah terdiam, cuba mengingat kembali. "Tak terfikir nak kira, tapi... mungkin lima atau enam kali."
Lima atau enam kali? Ariesya memandang Aiden yang masih berdiri di tepi dinding, memerhati dengan teliti tetapi tidak mengeluarkan sebarang reaksi. Dia tahu Aiden sedang menganalisis setiap perkataan Nek Jah, seperti dia sedang cuba mencari pola dalam segala yang berlaku.
"Satu lagi, Nek. Kenapa semua orang baring dalam lif tadi? Bukan ke lif tu cuma berhenti bergerak? Macam mana tahu lif tu akan jatuh?"
Nek Jah kelihatan bingung. "Amira yang suruh. Dia tiba-tiba cakap yang lif tu akan jatuh. Nek Jah tak tahu macam mana dia tahu... tapi kami ikut jelah. Waktu tu semua orang dah takut. Amin pun Nek Jah suruh baring cepat-cepat."
Amin hanya mengangguk perlahan, wajahnya jelas kelihatan trauma dengan apa yang berlaku.
"Amira?" Ariesya menyebut nama itu dengan suara rendah, fikirannya terganggu. Bagaimana Amira tahu lif itu akan jatuh sebelum ia berlaku? Aiden pula masih diam, tetapi Ariesya perasan dia telah mendekat sedikit, mungkin mendengar lebih teliti setiap butiran.
"Nek, ada apa-apa lagi yang Nek Jah ingat yang mungkin boleh bantu?" Ariesya bertanya dengan lebih lembut.
Nek Jah cuba mengingat kembali, menggeleng sedikit pada mulanya, tetapi kemudian matanya terbuka luas. "Oh, ya! Ada bunyi tapak kaki. Waktu bunyi dentuman tu, ada bunyi orang berjalan dekat atas lif. Nek Jah ingat ada orang tengah cuba nak selamatkan kami."
"Bunyi tapak kaki?" Ariesya terkejut, pandangannya terus beralih ke arah Aiden. Dia juga sudah memandang Ariesya dengan kening yang sedikit terangkat, tanda dia juga terkejut dengan maklumat itu.
Tak mungkin... Ariesya berfikir dalam hati. Kalau benar ada orang di atas lif, adakah ini sebahagian daripada komplot yang lebih besar?
Ariesya menghela nafas panjang, cuba menenangkan fikirannya. "Baik, Nek Jah. Terima kasih banyak. Nek Jah rehatlah dulu, ya? Kami akan cuba cari jalan keluar dan pastikan semua orang selamat."
YOU ARE READING
Veils of the Abyss
RomanceDalam pencarian kebenaran mengenai kehilangan ayahnya, Inspektor Ariesya Qaisara terjebak dalam kes pembunuhan bersiri yang semakin mencabar minda dan emosi. Di sebalik semua itu, muncul seorang lelaki misteri, Aiden Mikhail, yang dikatakan dapat me...