"Nek, adik lapar lah. Nanti kita makan nasi goreng pattaya, boleh?" Suara kecil itu bernada sayu, jelas menunjukkan kelaparan. Budak lelaki berumur tujuh tahun itu memandang neneknya dengan penuh harapan.
"Lapar ye? Sabar ya, sayang. Bagi nenek siapkan kerja kat bank ni dulu. Ingat, sabar tu kan separuh dari iman," neneknya membalas lembut, sambil mengusap kepala cucunya dengan penuh kasih.
Di sudut lain dalam lif itu, seorang wanita muda tersenyum kecil melihat keakraban mereka. Dia membuka beg silang di bahunya, mengeluarkan sebiji gula-gula.
"Kakak ada gula-gula. Adik nak tak?" Dengan senyuman yang ceria, dia menghulurkan gula-gula kepada budak itu. Si kecil memandang neneknya seolah-olah meminta izin.
"Terima kasih, kakak," jawab budak lelaki itu dengan senyuman malu-malu, menyambut gula-gula yang dihulur.
Namun, tiba-tiba, lif itu berhenti mengejut. Jantung masing-masing terasa seakan-akan terhenti bersama pergerakan lif.
"Apa yang jadi ni, nak? Lif rosak ke?" Suara nenek itu bergetar, cuba memahami apa yang berlaku.
Wanita muda itu cepat-cepat menekan butang kecemasan berulang kali.
"Hello, ada sesiapa ke? Lif ni tak bergerak. Dalam ni ada warga emas dan kanak-kanak!" Suaranya penuh dengan ketegangan, tetapi tiada jawapan. Sunyi.
"Hello?!" Dia mengetuk pintu lif dengan lebih kuat, namun tetap tiada respons. Suasana dalam lif itu mula bertukar cemas.
Lif yang tadi statik, tiba-tiba terasa bergoyang sedikit ke kiri dan kanan. Jantung wanita itu mula berdetak lebih laju. Ada bunyi dari atas, bunyi tapak kaki... atau sesuatu sedang bergerak.
"Mungkin... ada orang nak selamatkan kita?" Wanita itu cuba menenangkan dirinya, walaupun hati kecilnya penuh keraguan. Logiknya tergugat—bagaimana bantuan boleh tiba sedangkan panggilan kecemasan tadi langsung tidak berjawab?
Gang!
Gang!
Bunyi dentuman kuat kedengaran dari atas lif.
"Lif ni goyang!" Wanita itu semakin cemas. Matanya liar memandang siling, bunyi dentuman itu makin kuat, makin menghampiri bahagian tengah lif, tepat di atas kabel yang menyambung lif ke sistem keselamatan.
"Nek, baring! Baring sekarang!" jeritnya tiba-tiba. Ketiga-tiga mereka pantas merebahkan diri ke lantai lif yang terasa semakin tidak stabil.
Masa berlalu dengan begitu perlahan. Dentuman tadi hilang, meninggalkan kesunyian yang menyesakkan.
"Nek, jangan bergerak," bisik wanita itu, suaranya hampir tersekat. "Saya tak tahu apa yang sedang berlaku... tapi kalau kita bergerak lagi, lif ni mungkin jatuh."
#
"Tuan, ada sesiapa lagi kat tingkat atas?" tanya Ariesya sebaik sahaja melihat kelibat Aiden yang sedang turun dari tangga dengan langkah tenang.
"All clear. Tak nampak sebarang api. Mungkin panggilan palsu," balas Aiden pendek, suaranya tenang tetapi matanya tajam, seperti meneliti sesuatu yang tidak kelihatan.
Aiden memejamkan mata. Di sebalik hiruk-pikuk bunyi alarm dan suara cemas, ada satu bunyi lain yang lebih menonjol dalam pendengarannya. Dari arah lif di hujung koridor, satu bunyi seretan kasar menyusup masuk, seolah-olah sesuatu yang berat sedang diseret di atas lantai marmar. Dentingan tajam besi bertemu marmar disusuli dengan gema berat setiap kali ia bergerak—tang, tang, tang. Seolah-olah seseorang menyeret tukul besar, bersiap untuk menghentak.
YOU ARE READING
Veils of the Abyss
RomanceDalam pencarian kebenaran mengenai kehilangan ayahnya, Inspektor Ariesya Qaisara terjebak dalam kes pembunuhan bersiri yang semakin mencabar minda dan emosi. Di sebalik semua itu, muncul seorang lelaki misteri, Aiden Mikhail, yang dikatakan dapat me...