8. 𝑻𝒓𝒖𝒕𝒉?

25 4 0
                                    

Rayyan terjaga daripada tidur yang tidak lena apabila dia merasakan jari-jemari Husna yang perlahan bergerak di dalam genggamannya. Matanya perlahan-lahan terbuka, dan pandangannya tertumpu pada wajah Husna yang baru sahaja tersedar daripada pengsan.

"Biey, saya kat mana ni?" suara Husna lemah, dan dia cuba untuk bangun dari baringnya.

Namun, sebaik sahaja dia cuba mengangkat tubuhnya, Husna merasakan kesakitan yang amat di perutnya. "Aduh..." keluhnya.

Rayyan dengan cepat berdiri dan menghalang Husna daripada bangun. "Jangan, awak masih lemah. Baring saja dulu."

Husna menghela nafas dalam, matanya memandang Rayyan dengan kebingungan. "Nayla mana Nayla?" tanyanya, suara Husna penuh dengan kebimbangan.

Rayyan menjawab dengan nada dingin, "Saya dah pecat perempuan tu."

Husna terkejut. "Kenapa? Kenapa pecat dia?"

Rayyan mengerutkan keningnya, dan suaranya mula meninggi. "Dia penyebab awak jadi macam ni. Awak masih nak tanya lagi kenapa?"

Husna keliru. "Apa maksud awak?"

Rayyan menahan dirinya, tetapi kemarahan yang terpendam mula kembali menyala. "Sudahlah. Jangan ingatkan lagi perempuan berhati busuk tu. Saya tak nak dengar namanya disebut lagi."

Husna memandang Rayyan dengan wajah yang penuh kebimbangan. "Biey, awak salah faham. Nayla tak bersalah."

"Apa yang saya salah?" balas Rayyan, nadanya tegas. "Benda ni dah terbukti di depan mata. Dia tinggalkan awak sehingga awak jatuh."

Husna menggeleng perlahan, cuba menenangkan Rayyan. "Tak, Biey. Nayla bukan macam tu. Saya yang keluar bilik sendiri tanpa bantuan sesiapa. Saya yang tak berhati-hati, bukan salah Nayla."

Rayyan terdiam seketika, hatinya mula merasa goyah. Husna meneruskan, "Dia cuma pergi sekejap ke tandas. Saya yang degil keluar sendiri. Nayla tak bersalah. Dia bukan sengaja tinggalkan saya sendirian."

Rayyan cuba menelan rasa bersalah yang mula timbul dalam hatinya. Wajahnya berubah, tetapi egonya masih tinggi. Dia tetap tidak mahu mengakui kesilapannya dengan mudah. "Tapi... kalau dia tak pergi, awak tak akan jadi macam ni."

"Biey, jangan salahkan Nayla. Saya tahu biey marah sebab biey risaukan saya, tapi tolong dengar penjelasan saya. Nayla dah buat yang terbaik untuk jaga saya selama ni," terang Husna lembut, cuba melembutkan hati suaminya.

Rayyan berdiri kaku, merenung Husna dengan perasaan bercampur-baur. Rasa bersalah mula menghimpit hatinya, tetapi egonya masih menahan lidahnya daripada mengaku kesilapan. Dia menundukkan kepalanya, cuba menenangkan diri, tetapi hati Rayyan terasa tidak tenang. Kata-kata Husna mula menggoncangkan keyakinannya, tetapi dia masih tidak bersedia untuk mengakui kebenaran.

Dalam diam, Rayyan tahu dia sudah tersalah langkah. Namun, mulutnya berat untuk mengakuinya.

________________________________

Di Hospital Sri Rafflesia, Nayla kembali menjalani kehidupan hariannya sebagai seorang nurse. Dia merasakan kelegaan dan kebahagiaan yang luar biasa, terutama setelah lama merasa terperangkap dalam situasi yang tidak menyenangkannya di rumah agam Rayyan.

Hari-harinya kini dipenuhi gelak tawa dan interaksi ceria bersama rakan-rakan sekerjanya. Bertemu dengan pesakit-pesakit kegemarannya, terutama Aiman, memberikan semangat baru dalam hidupnya.

Suatu hari, Nayla melangkah ke bilik Aiman dengan senyuman lebar. Dia membawa sepinggan makanan yang kelihatan enak, berharap dapat menceriakan hati Aiman yang sedang dirawat. Kata Anis, semenjak ketiadaan Nayla di hospital, Aiman sering mengamuk dan berkeras untuk tidak makan ubat.

YOU ARE MINE Where stories live. Discover now