14. 𝑹𝒂𝒘𝒂𝒕.

23 3 0
                                    

Malam yang Sunyi

Malam itu, masih pada hari yang sama. Jam di dinding menunjukkan pukul 12 tengah malam. Suasana rumah sepi, hanya bunyi angin lembut yang sesekali menyapa daun pintu bilik Nayla. Dia telah lama terlena, namun matanya tiba-tiba terbuka apabila pintu biliknya diketuk bertalu-talu.

Nayla bangun dalam keadaan separuh sedar, langkahnya longlai. Badannya terasa lesu, mungkin kerana baru sahaja terlelap sebentar tadi. Dia menuju ke arah pintu, meraba tombol dengan rasa malas.

Saat pintu terbuka, wajah pucat Rayyan menyapa pandangannya. Nayla terkejut, tidak percaya apa yang sedang dilihatnya. Mulut Rayyan seolah-olah mahu mengatakan sesuatu, namun suaranya terlalu perlahan. Nayla tak dapat menangkap apa yang cuba disampaikan.

Tiba-tiba, tanpa amaran, tubuh Rayyan rebah. Namun, dengan pantas Nayla menyambutnya. Dalam sekelip mata, Rayyan berada dalam pelukan Nayla, terduduk di lantai, dengan kepalanya terjatuh lemah di bahu Nayla.

Nayla tergamam, jantungnya berdegup kencang. Batas yang sepatutnya dijaga hancur sekelip mata. Majikannya kini berada dalam pelukannya, tidak sedarkan diri. Tapi, bagaimana mungkin dia akan membiarkan Rayyan terkulai begitu sahaja? Tangannya menggigil, namun dia tidak punya pilihan lain.

"Tuan Rayyan... Tuan okey tak ni?" Suaranya bergetar, penuh kebimbangan.

Namun, Rayyan tetap senyap. Tiada sebarang respon, seolah-olah dunia telah memisahkan mereka.

Perlahan-lahan, Nayla mula merasakan wap panas yang datang daripada tubuh Rayyan. Dengan penuh keraguan, dia mengangkat tangannya dan menyentuh dahi lelaki itu. Jantungnya makin berdegup kencang apabila merasai suhu panas yang memancar dari kulit Rayyan.

"Ya Allah... panasnya!" bisik Nayla, suara terkejut.

Dia panik. "Apa aku nak buat ni?" bisiknya kepada diri sendiri, bingung mencari jawapan.

Tanpa membuang masa, Nayla menjerit memanggil nama Kak Jah yang biliknya berdekatan.

"Kak Jah! Kak Jah, tolong saya!" jerit Nayla.

Pada mulanya, tiada respon. Namun setelah memanggil berkali-kali, akhirnya Kak Jah muncul dari biliknya, dengan wajah cemas.

"Ya Allah! Apa yang dah jadi ni, Nayla? Kenapa dengan Tuan Rayyan?" Kak Jah segera mendekati mereka, melihat keadaan Rayyan yang masih tidak sedarkan diri di pangkuan Nayla.

"Saya tak tahu, Kak. Tadi saya tengah tidur, ada orang ketuk pintu. Bila saya buka, muka Tuan Rayyan pucat sangat... Lepas tu, tiba-tiba dia pengsan," cerita Nayla, suaranya serak menahan cemas.

"Macam mana ni, Kak? Apa yang saya nak buat sekarang?" Nayla menambah, matanya penuh kebingungan.

Kak Jah diam seketika, cuba memikirkan solusi. "Kita papah tuan naik atas, lah," cadang Nayla akhirnya, walaupun suaranya sendiri kedengaran ragu.

"Larat ke nak papah sampai atas? Tuan nampak macam berat je," balas Kak Jah, turut bimbang.

"Hmmm... Betul juga. Kalau kita papah Tuan Rayyan ke bilik dia, nanti takut membahayakan Puan Husna pula. Risau kalau sakit tuan ni berjangkit ke dia," jawab Nayla, teragak-agak.

"Kalau macam tu, letak dia dalam bilik kamu sajalah," Kak Jah mencadangkan dengan tenang.

"Eh, mana boleh!" Nayla tersentak.

"Kenapa pulak tak boleh?" Kak Jah bertanya kembali.

"Pastu saya macam mana?" Nayla bingung.

"Hari ini je, Nayla. Esok tak dah," jawab Kak Jah, seolah-olah cuba menenangkan keadaan.

YOU ARE MINE Where stories live. Discover now