"Lambatnya kakak balik. Dah pukul 10 malam baru nak balik ke anak ummi ni?" lembut pertanyaan Puan Saleha pada anak perempuannya.
"Tadi kakak keluar dengan Elriq sekejap. Ada bincang tentang projek syarikat akan datang." jujur Amanda. Memang benar dia dan Elriq berbincang untuk menjalankan satu program bersama semasa makan tadi.
Amanda melihat Puan Saleha dan Tuan Herman menyimpan senyumnya. Dia tahu bahawa mereka berdua ingin menyatukan dirinya dan Elriq. Erghh, berapa kali nak berkahwin dengan lelaki itu pun tidak tahu lah!
"Dia belanja kakak makan ke?" tanya Tuan Herman dengan senyuman mengusik. Amanda menjegilkan matanya ke atas. Dah mula dah perangai mengusik oleh kedua-dua ibu bapanya.
"Ya, abah. Elriq belanja kakak makan tadi. Kakak nak naik atas dulu. Nak mandi dan rehat. Esok kakak tak kerja ya tapi kakak pergi markas Black Snakes." kata Amanda.
"Ha yelah. Elok-elok esok ya. Ummi dengan abah pergi Penang ya esok. Nak dating." Amanda tergelak kecil. Dia sempat senyum nipis dengan kening terangkat. Dia sudah lali dengan sifat suka melancong ibu bapanya ini. Adakala setiap minggu mereka berdua akan melancong ke luar.
Amanda menaiki tingkat atas untuk memasuki ruangan bilik tidurnya. Usai membersihkan diri, Amanda duduk di tepi tingkap bilik, memandang ke luar dengan perasaan bercampur-baur. Dia memeluk bantal kecil, dan suaranya penuh keraguan dan keluhan dalam hati.
"Kenapa makin hari, makin susah nak faham perasaan aku ni? Elriq... macam mana saya boleh jatuh hati dengan awak? Tapi... kenapa susah sangat nak terima semua ni?" Dia teringat perbualannya tadi dengan ibu bapanya, usikan mereka, dan Elriq yang sentiasa ada. Namun, fikirannya melayang kepada persoalan lebih besar, tentang masa depan mereka. Tiba-tiba, telefon Amanda berbunyi. Sebuah mesej daripada seseorang muncul di skrin.
Amanda memandang mesej tersebut dengan kerutan di dahi. "Esok di Cottage Cafe. Jam dua." Siapa pula yang menghantarnya? Nombor itu tiada dalam kenalannya. Dalam hati, perasaan ingin tahu mula mendesak.
"Apa ni? Siapa pula yang nak jumpa aku tiba-tiba?"
Dia membuka Macbook, menyambungkannya ke internet dan cuba mencari data berkaitan nombor tersebut. Namun, tiada hasil yang jelas. Fikirannya bercelaru. Mungkinkah ada kaitan dengan Black Snakes atau musuh mereka? Atau... mungkin seseorang dari masa silam?
Amanda cuba mengingati jika dia ada memberikan nombor telefon kepada sesiapa yang tidak dikenali, tetapi tiada apa-apa yang jelas muncul di fikirannya. Perasaan ragu-ragu itu makin menebal. Namun, dia tahu satu perkara pasti, mesej itu tidak boleh diabaikan begitu sahaja.
'Esok di Cottage Cafe. Jam dua,' dia mengulang dalam fikirannya. Lokasi itu tidak asing baginya, sebuah kafe yang agak tersembunyi, jauh dari perhatian umum. Tempat yang sempurna untuk pertemuan yang rahsia.
Amanda termenung sejenak. Elriq, umminya, abahnya... semua orang menyayanginya, tapi kenapa perasaan ini semakin kusut? Ditambah pula dengan mesej ini, Amanda mula merasakan sesuatu yang lebih besar sedang berlaku di sekelilingnya, sesuatu yang dia belum sepenuhnya fahami.
Dia menarik nafas panjang. Mungkin ini peluang untuk mendapatkan jawapan. Mesej itu misteri, tapi Amanda tahu, dia perlu hadir esok.
Esoknya, di Cottage Cafe...
Amanda tiba tepat pada jam dua. Dia memilih untuk duduk di sudut kafe yang agak tersembunyi, tempat dia dapat memantau pintu masuk dengan jelas. Hatinya sedikit gusar, namun dia cuba kelihatan tenang. Kafe itu dipenuhi dengan pelanggan biasa, pasangan muda, pekerja yang datang untuk makan tengah hari, semua kelihatan tidak ada kaitan dengan mesej misteri yang diterimanya malam tadi.
YOU ARE READING
Aisy Amanda: His Prinzessin [ON GOING]
ActionSejak kejadian yang hampir meragut nyawanya, dia kembali tersedar daripada koma. Malangnya,tiada siapa yang tahu akan fikirannya yang sentiasa mengingati kejadian tiga tahun lepas. Diberi peranan sebagai hacker. Maka, gadis itu menggunakan kelebihan...