9 Disember

3 0 0
                                    

Buku berkulit keras berwarna biru laut dicapai dari rak. Helaian demi helaian kertas diselak, mencari ruang yang kosong untuk dicoretkan dengan dakwat pen. Akhirnya, jumpa! 

Pen berwarna hitam digemggam erat, bersedia untuk menarikan pen itu dengan lincah di atas kertas dengan penuh gaya. "Bismillah," meniti di bibir, sebelum pena mula menari di atas kertas.

December, tajuknya diberi.

Bulan terakhir dalam setahun. Bulan yang menyaksikan tamatnya kegembiraan, kesengsaraan, kesedihan. Bagi mereka yang takut, gembira, sedih atau ragu-ragu ingin melangkah ke tahun baru. 

Ada kalanya rasa disayangi, bagi mereka yang rasa berat ingin meninggalkan bulan ini. Tapi, hina terasa juga apabila mereka tidak sabar ingin bulan ini tamat. 

Bagi mereka yang berat hati ingin menamatkan bulan ini, aku tahu, kau tak sanggup untuk menjejak dewasa. Kau takut akan dugaan yang bakal tiba, ujian yang lebih berat. Tapi mereka lupa, mereka tidak boleh lari dari kenyataan.

Dugaan itu ada, tidak kira waktu, tempat atau situasi.

Bagi mereka tak sabar ingin tamatkan bulan ini, menutup tirai tahun ini, aku faham, kau inginkan kebebasan yang tiada had. Ingin menempuhi caraban baru. Tidak sabar ingin meneroka dunia luar.

Manusia penuh dengan sifat ingin tahu yang tinggi.

Pen terhenti di hujung kertas, helaian seterusnya dibuka sebelum pena itu kembali menari. Huruf abjad mula ditulis membentuk satu perkataan dan menjadi sebuah ayat, mencoretkan lukisan emosi dalam ruangan kosong. Helaian demi helaian berlalu, terasa seperti bayangan panjang yang tiada penamat.

Kita sering berharap pada permulaan baru, bukan? Permulaan yang lebih baik, cantik dan indah. Tetapi adakah kita benar-benar bersedia untuk meninggalkan yang lama? Aku sendiri tidak pasti. Setiap kenangan, walaupun pahit, mengikat kita pada masa lalu yang sukar untuk dilupakan.

Masa lalu yang sentiasa dikenang. Yang mengajar apa itu arti dewasa, kesilapan dan benda baru yang tak terduga. Tapi masa lalu sentiasa berada di belakang, ia tidak pernah menunggu sesiapa.

Waktu terus berjalan, tidak kira sama ada seseorang itu masih tersekat di masa lalu atau sesiapa yang mahukan masa itu berhenti, tapi ia tetap akan terus berjalan.

Mungkin, aku juga perlu melangkah ke hadapan, meskipun dengan hati yang penuh keraguan, tanpa pasti apa yang menanti di depan. Ia ibarat lalu kawasan yang tidak tahu di mana ia tuju, tiada papan penunjuk arah, hanya kawasan yang sunyi. Maka terus berjalan dan dapat kejutan yang tidak tersangka, mungkin buat kita takut atau gembira.

Namun, setiap langkah bukan langkah kosong semata. Dalam setiap langkah, pelbagai emosi hadir antara harapan dan kekuatan.

Tak sabar untuk berdepan dengan apa yang bakal datang, namun tetap takut akan perubahan yang menanti, yang kita tidak tahu bagaimana ia mengubah kita. Menjadi lebih matang, dewasa, bermotivasi? Tiada siapa yang tahu.

Bukankah itu sifat manusia?

Manusia... Makhluk yang sukar untuk difahami, diselami atau dikaji. Penuh dengan pelbagai ragam, sifat dan perangai.

Masa... Waktu yang sentiasa berputar, tidak pernah berhenti, seperti air sungai yang sentiasa mengalir

Mungkin, itu sebabnya kita tak pernah benar-benar siap untuk apa yang akan datang, kerana masa itu sendiri penuh dengan misteri. Umpama kau berjalan dalam rumah hantu yang gelap, tanpa cahaya dan tiba-tiba bunyi mengilai bergema.

Tidakkah begitu?

Pen diletakkan atas meja, kepala diangkat dari buku, anak mata merenung tingkap yang terbuka luas, menjadi bingkai langit senja di luar. Dia menghela nafas perlahan, ingin mencari ilham dengan melihat burung berterbangan pulang ke rumah masing-masing.

Setiap makhluk yang hidup ada ujian tersendiri. Ujian bukan pada manusia saja, ujian pada haiwan, pokok, dan makhluk hidup sebesar zarah juga.

Ujian hadir pada waktu yang di tetapkan, ia tak menunggu sama ada kau bersedia atau tak, sama ada kau nak atau tak, dia datang secara tiba-tiba.

Seperti angin kencang yang tiba-tiba bertiup atau ombak besar datang menghempas, menghanyutkan semua yang tidak cukup kuat untuk bertahan.

Kita sentiasa tak bersedia untuk hadapi ujian. Kalau ditanya, kau nak tak ambil ujian, dapat ujian? Jawapannya tentulah tidak, jadi ujian seperti tayar kereta yang sentiasa bergolek. Sentiasa hadir cumanya dalam pelbagai bentuk, cara dan situasi.

Kita cuma perlu follow the flow, banyakkan berdoa, selawat dan bersangka baik pada Dia.

Dugaan yang sama, tapi... kenapa sesetengah orang cakap ujian tu berat dan sesetengah orang cakap ujian tu ringan?

Pernah terfikir tak?

Ujian bukan soal berat atau ringan, tapi cara kita memandangnya, menilainya, mengatasinya.

Yang terasa berat ibarat langit malam yang gelap gelita tanpa sebarang kehadiran cahaya dari lampu tepi jalan, bintang ataupun bulan. Terasa seperti terperangkap di ruangan gelap dan perlu cari jalan keluar tanpa sebarang penunjuk.

Tapi selepas malam, pasti pagi akan hadir. Matahari akan membawa sirna baharu walaupun awan tebal cuba menghalang.

Bulan disember, seperti malam terakhir dalam setahun, membuat kita berehat, menerenung dan bertanya apa yang kita perlajari dalam 11 bulan yang lepas.

Dia berhenti sejenak, cuba mengingat segala yang telah berlalu. Ada senyuman kecil di wajahnya, mengenangkan kenangan manis yang membuatkan hatinya tenang. Namun, ada juga kepedihan yang terpalit, kenangan pahit yang meninggalkan luka dan menjadi parut di jiwa.

Tetapi bukankah hidup itu seperti laut? Tenang di permukaan, tetapi penuh dengan gelora di dasarnya. Dia menyambung menulis lagi.

Kita ibarat pelayar di lautan masa, tidak tahu bila ribut melanda, awan menitiskan air, panas yang terik, waktu yang gelap ataupun bila matahari hadirkan diri kembali.

Pelayar di laut yang menggunakan kompas di atas kapal sebagai penentu arah tuju, pelayar di dunia realiti yang menggunakan sujud sebagai menentu arah kehidupan dan masa depan.

Pen berhenti lagi dia menarik nafas dalam-dalam. Satu ayat terlintas di hatinya, hidup bukan hanya untuk berkeluh kesah dengan ujian, tapi ia ingin mengajarkan kita tentang pahit manisnya ujian.

Dan mungkin, itulah yang Disember ajarkan.

Pena kembali menari, menulis tarikh, masa dan moral di hujung buku serta menurunkan tanda tangan.

7 Disember 2024, 9:45 pm
Kemanisan dan kepahitan ujian.

One Shoot Where stories live. Discover now