HARI ini ialah hari penghakiman. Hari di mana semuanya akan berakhir. Atau mungkin, baru saja bermula.
Udara dalam mahkamah terasa sejuk hingga menusuk tulang. Pendingin hawa berderu perlahan, tapi yang membuatkan Darlia menggigil bukan kerana suhu di sekelilingnya. Hati sendiri yang terasa berat. Penuh dengan ketegangan dan perasaan bimbangan sejak malam tadi. Lebih-lebih lagi selepas dia mendengar kata-kata Saint semalam.
Darlia duduk di barisan hadapan, bersebelahan dengan pihak pendakwa. Tangannya menggenggam erat fail yang mengandungi segala tinggalan tentang kematian suaminya. Kertas-kertas di dalamnya juga tak tersusun rapi seperti sebelum ini.
Pintu mahkamah terbuka di bahagian belakang. Saint Arxo melangkah masuk dengan tangan yang bergari dan dikawal oleh dua orang pegawai penjara. Wajahnya tenang dan tidak menunjukkan sebarang emosi. Langkahnya perlahan dan penuh yakin, seolah-olah dia sudah terima apa yang bakal menimpa dirinya sebentar lagi.
Saint duduk di kandang tertuduh dengan santai. Matanya menikam Darlia dengan pandangan tajam, tak berkelip dan penuh intensiti.
Darlia terus mengalihkan pandangannya. Dia tak nak pandang Saint. Setiap kali mata mereka bertemu, jantung Darlia jadi tak keruan. Sama ada itu ialah amarah ataupun ketakutan, Darlia sendiri tak tahu.
Selang beberapa minit, Hakim mengetuk palu dan mula berbicara.
"Perbicaraan kes terhadap tertuduh, Saint Arxo, atas tuduhan membunuh Encik Ares Ryle akan dimulakan sekarang," ujar hakim dengan suara yang tegas dan jelas.
Darlia menelan liur. Jari-jemarinya menggenggam erat fail lusuh di pangkuannya. Tubuhnya tegak tapi jantungnya berdegup hebat. Dia cuba kekal tenang walaupun dia dapat rasa yang Saint masih lagi melihatnya.
Kemudian tiba-tiba pihak pendakwa bangkit dan memulakan hujah dengan menyusun segala bukti yang telah dikumpul berbulan lamanya. Kes ini bukan kes kecil. Bukan kes yang boleh ditarik tali. Ini kes bunuh berprofil tinggi. Dan nama Saint Arxo berada di tengah-tengah badai itu.
Bermula dengan rakaman CCTV. Walaupun gelap dan kabur, figura yang muncul di lorong belakang tempat kejadian jelas memiliki postur dan cara berjalan Saint. Peguam menunjukkan satu persatu gambar dan juga rakaman CCTV yang menjadi bahan bukti.
Mahkamah menjadi sunyi sepi. Semua mata terpaku ke skrin.
Kemudian pendakwa beralih pada bukti seterusnya. Cap jari Saint ditemui pada sebuah pisau. Tiada cap lain. Hanya dia.
Pisau itu ditemui dalam longkang berhampiran lorong tempat mayat Ares dijumpai. Pemegangnya berwarna hitam dan bilahnya masih berbekas darah beku yang telah dihantar untuk ujian makmal.
"Cap jari pada pisau ini dah disahkan oleh makmal forensik dan padan sepenuhnya dengan profil tertuduh," ujar pendakwa sambil mengangkat sehelai dokumen dan menunjukkannya kepada juri.
Saint tidak bergerak. Tubuhnya kaku seperti patung cendana. Wajahnya langsung tak menunjukkan sebarang reaksi. Tak ada riak tidak puas hati. Hanya... tenang.
Darlia rasa sesak nafas.
Kemudian pendakwa mengangkat plastik bukti seterusnya. Sehelai baju kelabu gelap.
"Baju ini dijumpai dalam tong sampah kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian. Hasil siasatan menunjukkan baju ini milik tertuduh. Analisis mendapati terdapat percikan darah milik mangsa dan juga milik tertuduh sendiri."
Beberapa orang di ruang awam berbisik perlahan. Hakim pula memandang dengan riak wajah yang dingin. Suasana jadi semakin hening.
"Dengan itu, Yang Arif, pihak pendakwa percaya bukti fizikal tersebut telah mengikat tertuduh secara menyeluruh dengan kes ini. Kami percaya tiada lagi keraguan munasabah mengenai penglibatan tertuduh dalam pembunuhan ini."
Hakim mengangguk kecil. Wajahnya kekal tenang. Dia membuka satu fail di hadapannya, memerhati nota juri dan saksi. Kemudian dia berpaling ke arah Saint.
"Tertuduh, adakah anda ingin memberikan kenyataan atau pembelaan sebelum keputusan dijatuhkan?"
Semua mata kini tertumpu ke kandang tertuduh.
Saint tak terus menjawab. Sebaliknya dia hanya tunduk sedikit, seolah-olah dia sedang berfikir. Kemudian dia bersandar ke belakang dengan perlahan sambil menyilangkan tangan bergari di hadapan dada. Bibirnya mengoyak segaris senyuman.
Senyuman itu bukan senyuman riang. Bukan senyuman simpati. Tapi senyuman yang aneh. Nampak sinis dan dingin. Seperti seorang yang tahu sesuatu yang tak seorang pun dalam bilik itu tahu.
Saint menggelengkan kepalanya dua kali tanpa bersuara. Tak ada sepatah perkataan langsung yang keluar dari mulutnya. Dia hanya diam. Seolah-olah dia sendiri pun sudah malas nak kisah untuk diputuskan hidup atau mati.
Hakim mengangkat kening sedikit. Pelik dengan Saint tapi wajahnya tetap dikawal.
"Baik," ujar Hakim dengan suara yang tenang namun cukup kuat untuk mengatasi keheningan dalam mahkamah itu.
"Setelah mendengar hujah pihak pendakwa serta memerhati kegagalan pihak tertuduh untuk memberikan sebarang pembelaan atau penjelasan terhadap bukti-bukti yang telah dikemukakan, maka mahkamah telah membuat keputusan."
Jantung Darlia berdetak hebat. Dia terlalu gementar walaupun bukan dia yang akan dikenakan hukuman. Saint pula masih dalam posisi yang sama. Tak berkelip, tak berganjak dan masih lagi tersenyum nipis seperti seorang psychopath.
"Maka dengan ini, mahkamah mendapati bahawa tertuduh, Saint Arxo, telah didapati bersalah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh Encik Ares Ryle. Oleh yang demikian, mahkamah menjatuhkan hukuman mati mandatori ke atas tertuduh yang akan dilaksanakan melalui tali gantung."
DUM!
Palu diketuk menunjukkan keputusan perbicaraan telah muktamad.
Saint akan ke tali gantung.
TBC
ANDA SEDANG MEMBACA
War of Hearts
Romance❝ 𝙏𝙝𝙚𝙧𝙚 𝙖𝙧𝙚 𝙢𝙖𝙜𝙣𝙚𝙩𝙨 𝙞𝙣 𝙝𝙚𝙧 𝙗𝙤𝙣𝙚𝙨 𝙛𝙤𝙧 𝙩𝙝𝙚 𝙞𝙧𝙤𝙣 𝙞𝙣 𝙝𝙞𝙨 𝙗𝙡𝙤𝙤𝙙. ❞ +17 || Mature content All rights reserved © wadaella
