Pada satu zaman yang mana tiada lagi manusia yang mengerti dari manakah asal usul mereka, dari manakah wujudnya dunia, ke manakah tujuan hidup, bermainlah beberapa orang kanak-kanak di sekitar kampung halaman mereka yang aman damai yang digelar Samarahan Baru.
Sewaktu zaman ini, cahaya pada malam hari ialah satu hal yang paling berharga kerana ada yang sanggup mati untuk mendapatkannya. Oleh kerana takut keadaan malam yang gelap, seluruh kampung itu akan mengurangkan pergerakan mereka pada malam hari.
Termasuklah sekumpulan kanak-kanak itu.
Rutin permainan mereka mudah. Mereka akan mula keluar bermain pada petang harinya selepas sekumpulan dewasa pulang dari sungai mendapatkan isi sungai untuk dimakan dan ditukar beli. Mereka pula akan kembali pulang ke rumah selepas mendengar gendang yang akan dipalu oleh seorang pemuda yang bernama Bong.
Semua ini tidak berlaku lebih kurang 70 tahun yang sebelumnya.
Kota Samarahan pernah menjadi salah satu kota yang makmur dibawah naungan sebuah kerajaan dunia yang adil – Kerajaan Hadis. Kota ini ditadbir oleh seorang Ketua Kota yang bernama Atlonto. Oleh kerana kedudukannya yang agak terpencil di dalam peta dunia, penduduk Kota Samarahan amat jarang menerima khabar dari luar Kota. Hanya mendengar sayup-sayup berita dari pengembara yang datang ke kota.
Sehinggalah pada satu hari seorang pengembara yang sunyi memberi tahu tentang cahaya malam yang wujud tanpa menggunakan api. Kuasa magis ini dikawal oleh Kerajaan Hadis yang mana pusat pentadbirannya berada 2 purnama dari Kota Samarahan dengan menaiki kuda. Jalan yang berliku akan menyukarkan mereka. Dengan semangat yang kental pasti tiada apa yang boleh mengehadkan impian.
Untuk mendapatkan magis itu, mereka hanya perlu mengibarkan bendera Kerajaan Hadis di kota mereka. Selain itu, Kerajaan Hadis akan melatih pemuda-pemuda di kawasan itu untuk dijadikan pengawal dan askar di kawasan-kawasan naungan Kerajaan Hadis.
Tanpa ada sebarang bayaran cukai atau apa-apa lain dari itu.
Lalu bersegeralah 10 orang pemuda terbaik dari Kota Samarahan menyiapkan kuda mereka untuk pergi mencari pusat pentadbiran Kerajaan Hadis.
6 purnama tanpa sebarang berita, harapan magis nyalaan malam hampir terpadam. Seluruh rakyat kota menjadi sayu. 10 pemuda mungkin diancam bencana atau dibunuh penjahat padang pasir. Ibu bapa kepada 10 yang terbaik menjadi sedih lalu menangis setiap malamnya memikirkan anak-anak mereka.
Sehingga pada satu malam, saat Bong kembali mengetuk gendang menandakan senja sudah tiba, pada saat yang mana Atlonto sedang sibuk menyalakan pelita di sekitar mahligainya– terjerit-jerit seorang pemuda di luar meminta Atlonto untuk keluar. Dia membawa khabar bahawa ada segerombolan manusia yang sangat ramai sedang menuju ke Kota Samarahan.
Bersiap sedialah pemuda yang tinggal di Kota Samarahan bersama kayu dan besi untuk mempertahankan kota mereka. Kota yang makmur itu terus riuh seraya segerombolan manusia untuk semakin hampir dengan kawasan mereka.
Akhirnya segerombolan manusia itu berhenti pada satu kawasan yang hanya setengah batu dari pintu utama Kota Samarahan. Pintu besar itu terbuka dan Atlonto dengan berani keluar dari kota itu berbekalkan satu batang besi di tangan kanan dan sebatang obor api di sebelah kiri.
Walaupun peluh jatuh terus membasahi pipinya, Atlonto tahu, dia harus berani membuat sesuatu demi kotanya. Setapak demi setapak dia melangkah sehinggalah langkahnya terhenti betul-betul di sebelah pohon pokok Godokha yang rendang,
Terpekik-pekik Atlonto menanyakan dari manakah manusia-manusia itu dan apakah yang mereka mahukan. Tidak sempat Atlonto menghabiskan soalannya, beberapa orang pemuda dengan kuda masing-masing keluar dari kelompok itu dan menjerit 'Samarahan!', 'Samarahan!', 'Samarahan!' dengan tangan ke atas langit.
YOU ARE READING
OLIVIA: KOTA TANPA KERAJAAN
AdventureKisah pengembaraan Olivia selepas kemusnahan dunia.