Samarahan – sebuah nama yang unik untuk sesebuah tempat. Seunik namanya, begitulah juga penduduknya. Pernah satu ketika dahulu, penduduk di Kota Samarahan hampir mencecah puluhan ribu. Sistem kota yang sangat teratur, penduduk yang saling bergantung antara satu sama lain dan ketua kota yang sangat adil – Atlonto.
Atlonto tidak seperti raja atau pemerintah yang lain. Dia lebih kepada bersahabat. Tiada apa yang beza Atlonto dengan penduduk Kota Samarahan yang lain. Dia lebih santai, bekerja seperti orang lain. Apabila sampai satu tahap, dia akan mengupah ramai orang untuk membina infrastruktur membangunkan Kota Samarahan.
Kota Samarahan agak jauh dari pusat pentadbiran utama dunia Kerajaan Hadis, lebih kurang 5000 batu jauhnya. Oleh sebab kedudukan yang agak jauh, kewujudan Kota Samarahan bagai menjadi sebuah dongeng bagi sesetengah penduduk dunia ketika itu. Tahun 393 TD adalah tahun pertama hubungan Kota Samarahan dan Kerajaan Hadis termeterai. Ada yang membantah, namun lebih ramai yang setuju. Mereka lebih tidak sabar untuk melihat kotak magis yang mampu menerangi malam Kota Samarahan – Kotak Janerator pertama Kota Samarahan.
Kota Samarahan penting buat Kerajaan Hadis kerana hasil sungai dan hutannya. Selepas berada di bawah naungan Kerajaan Hadis, Kota Samarahan akan menghantar dua puluh besarnya kotak kereta kuda yang membawa hasil dari Kota Samarahan untuk dihantar ke Kerajaan Hadis. Sebagai balasan, Kerajaan Hadis telah membina sebuah Kotak Janerator Karen dan menghantar pahlawan mereka untuk mengajar seni pertempuran kepada penduduk Kota Samarahan.
Hubungan itu tak lama. Kota Samarahan di serang Nomad Gila pada tahun 409 TD ketika mereka sedang siap sedia untuk menghantar hasil ke Kerajaan Hadis. Habis hancur kota itu. Hubungan Kota Samarahan – Kerajaan Hadis juga terputus kerana penghantar yang dua puluh itu juga terbunuh. Tiada siapa lagi berani untuk ke Kerajaan Hadis kerana khuatir keluarga mereka akan diserang lagi oleh Nomad Gila ketika mereka sedang menuju ke Kerajaan Hadis dan apabila pulang semula, tiada lagi Samarahan.
Oleh kerana itu, mereka nekad untuk terus berada di kem itu – Samarahan Baru.
Pada tahun yang sama juga, telah berlaku satu pemberontakan yang besar di Kerajaan Hadis. Perang saudara itu melibatkan Kun Meng, salah seorang pengkaji alam yang berpengaruh, bersama pengikutnya yang menolak campur tangan Tuhan di dalam mengimbangi alam dengan Kerajaan Hadis yang diketuai Raja Argus Stephen yang masih yakin dengan Tuhan. Perang itu berakhir selepas tujuh tahun.
Raja Argus Stephen IX dibunuh dengan kejam oleh skuad penyelinap Kun Meng ketika sedang berbincang hal taktik peperangan bersama orang kanannya di satu bilik rahsia. Ternyata, orang kanannya kini tidak lagi menjadi seorang yang baik. Dia membocorkan segala rahsia Raja Argus dan strateginya – orang kanan itu juga akhirnya dikerat lidah dan lapan jari tangannya kerana Kun Meng percaya, seorang manusia yang sudah belot tak mustahil akan belot sekali lagi. Tangan dan kaki Raja Argus pula dipotong dan dijahit secara terbalik. Tangan di bawah, kaki di atas.
Selepas kemenangan itu, esoknya, Kun Meng menggantung Raja Argus Stephen IX dari atas Istana Stephen yang juga pusat pentadbiran Kerajaan Hadis sambil menjerit;
"Argus! Di mana Tuhan kamu?! Bantulah! Bantulah kamu! Ini sains. Kau terjulur ke bawah kerana graviti! Itu kata orang dahulu-kala."
Akhirnya tertubuhlah Kerajaan Jaring yang berpaksikan kepada sains. Istana Stephen juga sudah ditukar nama kepada Dewan Sains. Kesemua penyelidik alam Kerajaan Hadis kini menjadi anjing-anjing jagaan Kerajaan Jaring. Kun Meng menjadi Presiden Kerajaan Jaring yang pertama.
Kebahagiaan Presiden Meng tidak lama. Dia menjangka dia dapat meluaskan empayarnya dengan mudah.
Tahun 426 TD menjadi satu tahun yang amat menyakitkan buat Presiden Kun Meng. Satu pencerobohan kecil telah berlaku di Dewan Sains. Beberapa Ahli Pengkaji Alam yang masih taat dengan Tuhan telah menceroboh masuk bilik kajian mereka sendiri yang di jaga rapi oleh askar Presiden Kun Meng, untuk membawa lari sebanyak boleh buku-buku agar tidak jatuh pada tangan Kun Meng dan kuncunya yang boleh membawa kepada kerosakan dunia.
Pencerobohan itu telah dibantu oleh anak Kun Meng sendiri, Turman Meng yang diasuh oleh seorang pengkaji Alam yang juga mempercayai Tuhan.
Kerana terlalu berang dengan hal itu, Presiden Kun Meng memerintahkan agar anaknya itu dihukum bunuh. Dia mengarah agar askar-askarnya membawa Turman Meng ke dalam hutan dan memenggal kepalanya dan kembalikan kepala itu ke Dewan Sains.
Lalu tinggallah Teffy, seorang janda yang sarat mengandungkan cucu Presiden Kun Meng. Teffy dijaga rapi. Diberi makanan secukupnya. Diberi tempat tidur yang selesa. Namun selepas melahirkan anak Turman Meng, Teffy juga dibunuh dan badannya dicampakkan terus ke dalam laut – agar anak itu tahu bahawa ibu bapanya sudah mati ketika peperangan.
*****
Kerajaan Jaring seterusnya ditadbir oleh Presiden Din Meng, cucu kepada Kun Meng, anak kepada Turman Meng. Dia menaiki takhta presiden ketika umurnya 23 Tahun. Ini menjadikan dia pemerintah termuda di dalam sejarah pemerintahan Kerajaan Hadis dan Kerajaan Jaring. Penabalan Din Meng sebagai presiden dijalankan selepas kematian Kun Meng yang mati ketika umurnya 89 tahun.
Din Meng disuap dengan pelbagai cerita yang palsu oleh datuknya. Kata Datuknya, ayahnya ialah seorang pejuang yang mati dibunuh oleh rakyat yang memberontak. Dan rakyat yang memberontak itu rata-ratanya dari kumpulan ekstrimis yang taksub kepada Tuhan mereka yang tidak wujud.
Dari kecil cerita itu diulang-ulang sehinggalah dia benar-benar rasa rakyat ini hanya menyusahkan keluarganya. Datuknya berusaha menguasai kawasan, dan mereka hanya tahu meminta-minta! Semua orang mahukan kekayaan yang dia miliki.
"Kau patut digeruni. Kauperlu gunakan semua kuasa untuk menguasai agar tidak dikuasai. Kau jadikan diri kau satu ikon dunia dan semua orang patut tunduk kepada legasi keluarga Meng. Paling penting, kau perlu kuasai ilmu sains. Ciptalah senjata untuk digeruni. Carilah buku-buku karen itu dan kuasailah dunia. Jangan percaya kepada sesiapa walaupun anak isteri kau sendiri." Kata Kun Meng kepada cucunya itu.

YOU ARE READING
OLIVIA: KOTA TANPA KERAJAAN
AdventureKisah pengembaraan Olivia selepas kemusnahan dunia.