Menyelusuri hutan Roug yang tebal pada waktu malam bukanlah idea yang sangat baik. Tetapi, di sebalik hutan Roug itu terdapat sebuah kota bercahaya yang besar dan makmur. Kota bercahaya ini maju kerana terdapat sebuah menara bercabang tiga yang menyinarkan cahaya ke setiap pelusuk kota itu pada waktu malam. Menara itu dinamakan Menara Veta dan menara itu mendapat sumber cahaya melalui sebuah kilang pembakaran kuasa. Kilang itu menghasilkan karen, sejenis kuasa yang bukan saja menghidupkan cahaya, malah membekalkan kuasa untuk senjata, mesin dan peralatan-peralatan lain.
Inilah kota Jaring. Sebuah kota yang berada jauh di utara peta dunia. Menjadi kota ketamadunan mendahului kota-kota lain kerana kota ini mempunyai kelebihan kuasa untuk menjana dan memudahkan kehidupan seharian warganya. Tiada istilah bergelap atau kegelapan malam di sini. Semuanya bercahaya!
***
"Kita dah sampai, nak. Bangunlah" kata seorang lelaki berjanggut putih kepada anak kecilnya yang enak dibuai mimpi di atas kereta kuda.
Anak itu dalam keadaan mamai menggosok-gosokkan matanya. Terasa sukar hendak membuka mata kerana merasa silau. Apabila dia membuka matanya, dia mengecilkan mata sambil menghadang matanya dari silauan cahaya.
"Kita kat mana ni, pak?" tanya anak itu kepada bapaknya.
"Huuooo, cantiknyaaaaaa, pak. Kita dah kat Jaring kan pakkk?" terpegun dan teruja anak itu melihat cahaya yang menyilaukan itu sebenarnya datang dari Menara Veta di Kota Jaring. Anak itu tersenyum lebar dan lantas turun dari kereta kuda untuk melihat lebih dekat menara bercabang tiga yang selalu diceritakan dari mulut ke mulut keindahannya di tanah halamannya yang jauh berpuluh ribu rantai.
"Sudah-sudahlah terpacak melihat menara tu, nak. Kejap lagi matahari akan timbul. Mari tolong bapak siapkan barang untuk berdagang ni." Panggil bapaknya kepada anaknya yang tak habis-habis tersenyum kerana gembira melihat Menara Veta.
***
Pasar besar di Kota Jaring mula sesak seawal pagi dengan hiruk-pikuk warganya berdagang, menjual dan membeli barang keperluan dan kehendak. Pasar besar ini bukan saja menjadi tumpuan warga Kota Jaring, malah menjadi tumpuan kota-kota kecil di bawah naungan dan jajahan kerajaan Jaring yang diperintah oleh Presiden Meng. Pelbagai barangan didagang dan dipasarkan di sini termasuk rempah ratus, intan permata, logam, kayu-kayan, ubat-ubatan, ikan, daging dan pelbagai lagi. Kerajaan Jaring mengadakan cara pemasaran terbuka sebagai taktik memperluaskan empayat kota kerajaan Jaring. Urus niaga di sini menggunakan wang dan perak dengan mata wang bagi Jaring dinamakan Rubi. Kerajaan Jaring telah memperkenalkan sistem kewangan bagi memonopoli ekonomi dan memajukan Kota Jaring dalam meluaskan empayarnya.
"Kita mahu menyambung legasi kerajaan satu dunia yang musnah sebelum ini. Inilah masanya untuk Jaring kembali." Kata Presiden Meng sambil beliau berdiri melihat ke jendela. Beliau lihat betapa sibuknya pasar besar dengan aktiviti berdagang. Presiden Meng kelihatan segak dengan baju kulit berwarna coklat yang dijahit agar sepadan dengan potongan tubuh badan beliau. Kelihatan 6 orang pegawai kanan Presiden Meng sedang duduk dan mendengar Presiden Meng memberikan taklimat.
"Kita harus memperkuatkan pasukan serangan kita, Tuan Presiden" cadang seorang pegawai. Semua mengangguk setuju.
"Tuan Presiden, tak salah untuk kita meluaskan empayar kita dengan melalui mata wang kita." Cadang seorang lagi pegawai dan disambut dengan sahutan setuju oleh pegawai-pegawai lain.
Presiden Meng memusingkan badannya dan menuju ke arah meja pebincangan dan berdiri sambil meletakkan tangannya ke atas meja.
"Kesemua cadangan kalian ini telah lama aku fikirkan, tetapi persoalannya adakah ia boleh dilakukan dalam tempoh singkat?" kata Tuan Presiden Meng kepada pegawai-pegawainya. Masing-masing terdiam.
Hiasan dalam bilik perbincangan tersebut amat tinggi nilai citarasanya. Dengan ukiran-ukiran cantik dan meja perbincangan yang amat besar dilitupi kain sutera yang mahal, bilik perbincangan ini adalah tempat Presiden Meng dan orang-orang bawahannya menentukan dasar-dasar kerajaan. Bilik perbincangan ini terletak di tingkat atas istana Mon, sebuah bangunan pemerintah kota Jaring.
Kedengaran pintu bilik mesyuarat diketuk dan dibuka. Kelihatan dua orang berbaju pegawai masuk ke dalam bilik dan berbisik kepada seorang pegawai yang menjaga pintu bilik mesyuarat. Pegawai yang menerima bisikan itu terus menuju ke arah Presiden Meng.
"Tuan Presiden.." kata pegawai itu dengan perlahan membisikkan ke arah telinga Presiden Meng. Manakala, Presiden Meng khusyuk mendengar dan sesekali mengangguk. Air muka Presiden Meng kelihatan tenang namun keningnya sedikit terangkat seakan mendengar sesuatu berita yang mengejutkan.
"Para pembesar sekalian,kita tangguh perbincangan kita dan mari kita turun ke ruang penghakiman.Nampaknya kita akan jumpa jalan cepat untuk meluaskan empayar kita! Hahaha!"ketawa besar Presiden Meng sambil terus pegawainya menyelimuti Presiden Mengdengan jubah sutera merah. Kesemua anggota dalam bilik perbincangan beredarmengikuti Presiden Meng untuk ke ruang penghakiman.

YOU ARE READING
OLIVIA: KOTA TANPA KERAJAAN
AdventureKisah pengembaraan Olivia selepas kemusnahan dunia.