Bab 6 - 8

1.4K 19 0
                                    

         

6. HAS

Ibu katakan aku seorang budak yang bijak dan beruntung, entah bagaimana, semua idea tersebut menyusup perlahan dan membentuk aku sebagai prinsip hidup. Awalnya, aku fikir dunia sangat mudah – selagi kita mampu fokus dan abaikan perkara sekeliling, kita akan senang melepasi cabaran hidup. Sampailah suatu masa yang ia datang seperti bencana dan mula menggugat segala yang aku sangkakan adalah kebenaran; perkara dalam dunia ini kadang-kadang tak masuk akal.

"Semua manusia dilahirkan untuk berjaya." Ibu basuh pinggan di dapur, aku hanya duduk membaca di meja makan. "Sebab tu mereka kata kita dilahirkan sebagai kain putih yang perlu dicorakkan."

Aku cuba pandang susuk ibu dari belakang dan dalam masa yang sama mengangguk perlahan tanda setuju. Melalui tingkap luar, aku dapat lihat Mak Jah, jiran belakang kami sedang bersihkan halaman depannya. Kami tinggal di kampung dengan kedudukan rumah yang bepusat pada setiap hujung jalan atau lorong kecil. Ada antaranya jalan yang sudah sedia dirancang ketika pembangunan awal kampung dan ada lorong asing yang lain dicipta sendiri oleh penduduk sini. Mereka katakan itu cara terbaik untuk sebuah perancangan kampung – semuanya berlaku atas dasar penduduk yang cuba untuk keluar dari masalah laluan mereka. Rumah kami terletak di hujung jalan yang dirancang awal, maka tidak ada masalah bagi orang luar untuk datang ke sini. Selain itu ianya betul-betul di depan menghadap jalan, sedikit ke sebelah kiri dan rumah Mak Jah betul-betul terletak di ruang kiri pusat tersebut. Halaman depannya kecil dengan semak yang tak terjaga, maka cukup pasti, dia tak merungut akan hal tersebut kerana dia sendiri sedar dengannya – beberapa kali dia bersihkan halaman itupun tak akan wujudkan pemandangan yang indah.

Melihat Mak Jah gigih berkemas – menyapu, bakar sampah, susun pasu bunga – buatkan aku tersengih.

"Jadi Ibu nak kau buat yang terbaik waktu sekarang. Nanti masa depan senang."

"Senang tu macamana, Ibu?" Lamunan liar melihat jiran belakang buatkan respon tersebut keluar secara automatik.

Ibu toleh pada aku dan tenung rapi. Aku balas pandangannya dengan muka yang ramah tanpa senyum. Aku harap dia mampu baca mata aku yang pertanyaan tadi sebenarnya retorik – senang dalam kehidupan merupakan benda dengan makna yang subjektif, bukan?

"Senang maksudnya, erm..." Ibu alih pandang ke lantai dan pada waktu tersebut aku cukup pasti perkataan mudah 'hidup senang' tersebut rupanya lebih dari apa yang bertulis di dasar. Ibu selalunya lebih suka senyum dan buat bunyi humming yang merdu dengan satu alunan melodi lagu klasik jika dia ingin ambil masa untuk berfikir sebelum memberi jawapan kepada apa-apa soalan yang berat. Tetapi, tak kali ini. Riaknya lebih serius dengan dahi berkerut. Soalan aku melampaui berat barangkali.

"Senang maksudnya senanglah, kan? Kenapa nak fikir susah." Ibu bersuara lemah, sambung membasuh. "Contohnya macam Paksu kau yang kat KL tu."

Apakah ini drama tipikal tentang seorang budak kampung yang berjaya menemukan hidup yang senang di kota setelah melalu perit dan susahnya hidup? aku bisik dalam hati dan sambung membaca.

"Ibu dah lama tak nampak paksu pun kan, tapi masih, ibu akan cakap dia berjaya bagai. Mana ibu tahu?"

"Paksu berjaya pun tak pernah nak balik jumpa adik-beradik dia kat sini. Amendenya?"

"Alah, dah dia yang bongsu. Memang ah ibu bias. Siap suruh contoh dia lagi."

Berbanding tadi, kali ini semua jawapan tersebut digarap pantas dari akal aku – waras dan rasional. Siapa aku untuk menentang kata ibu dengan pendapatnya yang seingat aku, kali ini sudah masuk 10 tahun kekaguman tentang paksu ini diulang. Dan dalam masa sepuluh tahun tersebut, aku tak pernah langsung nampak kelibat paksu datang untuk jenguk kakaknya di sini. Mungkin aku sedikit menghukum, kau tahu, untuk katakan dia jenis kacang lupakan kulit.

ASING - sebuah novel Syahmi FadzilWhere stories live. Discover now