"Bebas tanpa apa-apa tujuan terasa seperti bosan keseluruhannya."
– Inio Asano.
"Jangan sesekali beritahu seseorang pun tentang apa-apa. Kalau kau lakukannya, kau akan mula merindui semua orang."
– J.D. Salinger.
PROLOG
Waktu tersebut bertemasya janggal.
Bintang pudarkan diri masing-masing untuk bersatu di sebalik gelap langit. Malam ini bukan malam yang mesra – terasa angin menderu kasar berbalut perkhabaran yang bingung. Azri dan Tina berdiri di puncak dalam keadaan berpeluh. Detik tak berubah arah, hanya bergerak dalam keadaan malar seolah jarum saat berulang putar ke depan dan ke belakang semula; satu ke dua ke satu.
Satu saat yang menjadikan garapan tragedi menukar haluannya.
Mereka semua agak kelam-kabut dalam hidup, itu apa yang difikirkan serentak, maka masing-masing kini meletakkan jangkaan pada takdir. Takdir yang terus bersatu dengan masa depan, dan masa depan diabai harapan kini menjadi ancaman buat mereka bertiga. Melainkan Has yang lebih berani menduga, dia lebih awal ingin buktikan segalanya. Kini Azri dan Tina hanya menutup mata dan bernafas pantas.
Tina cuba untuk mengintai jawapan. Apakah benar jika masa boleh dipercepatkan atau kediaman sebenar bakal dijumpai dengan mengelak masa dengan mudah? Apakah dengan berlari keluar dari hidup membuatkan segala beban bakal bertiup dari bahu ke tanah? Untuk menjadi ringan dan bebas apabila bertemu tempatnya yang sebenar – itu apa yang Tina harapkan. Suatu masa nanti kita akan buat keputusan yang terbesar dalam hidup. Keputusan yang tak ada lebih penting selain meletakkan rasional pada diri sendiri. Bunyi tapak kaki awam tak lagi perlu bersatu dengan mereka, kita ini unik, bukan? bisik hatinya.
"Kita tak ada masa." Tina pandang Azri, senyumannya jelas. "Awak nak ikut saya atau tak?"
Azri diam terpaku terus mengelak mata Tina.
Idea yang pada asalnya hanyalah satu suara picisan asing yang dikumpul dari hari ke hari, kini menjadi jeritan perang. Azri sedar dia sedang berada di medan kekalahan – tak ada suara atau senjata untuk bangkit menentang. Kalahnya adalah menang, menangnya adalah kalah.
Azri bertanya kepada dirinya sendiri, dari mana kesemua ini muncul? Ini kerana benda bernama cinta atau sayang atau kasih ini sepatutnya menguatkan seseorang. Apakah kekuatan tersebut sendiri benda yang subjektif? Kau tahu, seperti kita makin kuat untuk jadi lemah – awak terjun, saya terjun?
Akalnya menarik kembali segala imej silam seperti tayangan filem sebelum yang ditonton. Semuanya tersusun rapi; dari data rakaman, ke projektor yang memancar, dan layar putih yang mempersembahkannya. Dia pejamkan mata dan ingat kembali waktu perkenalan mereka berdua (mengabaikan Has yang lebih awal) demi mencantum kembali perinci kecil untuk mencari sebab sebenar keputusan Tina yang bingung.
Berakhir dengan minit yang berselang dalam maya dan tak ada satu pun yang masuk akal, fikirnya, ia terletak di dalam fikiran Tina yang perlahan bercambah dan membesar.
Semakin lama mereka bersama, segalanya semakin matang. Azri sangkakan ia adalah suatu fasa ketika berkasih, yang mana, menentang dengan Tina. Bagi Tina, ianya bukan bahagia kerana ikatan mereka ini ada harganya. Dia lebih pantas meletakkan ikatan ini sebagai suatu benda yang infinit – ke mana tempat dan bila masa mereka akan berpisah? Itu apa yang dia cuba mengelak untuk fikir. Setiap hari dari lewat malam ke pagi esoknya, dia dalam keadaan terdedah. Azri boleh lihat bentuk rangka dan tulangnya melalui lapisan kulitnya, cuma cukup pasti, ini bukan apa yang dijangka awal.
![](https://img.wattpad.com/cover/52795915-288-k793248.jpg)
YOU ARE READING
ASING - sebuah novel Syahmi Fadzil
Ficción GeneralTina percaya dia dalam sepi walaupun ditemani suara-suara luar. Azri tersangkut dalam rutin harian bosan dan impian masa silam. Has persoalkan idea kebergantungan dan meraikan hidup bersendiri. Tina mencari 'kediaman' sebenar dalam hidupnya ketika b...