21. TINA
Aku berlegar pada ruang tengah yang agak besar. Jururawat sedang sibuk dengan kerja masing-masing di sebalik kaunter bertutup cermin tersebut – 180 darjah pandangan; kami tak ada tempat untuk menyorok atau mengelak dari terlibat dengan aktiviti di sini.
Aku pilih untuk duduk di salah satu bangku yang terletak di tepi tingkap. Keadaan luar cukup cerah dan hangat, mengingatkan aku tentang sesi penjelajahan mencari kediaman. Aku cuba untuk fikir kembali ke mana tempat yang aku pernah rasa paling dekat dengan perkataan kediaman tersebut sebelum akal aku selamba memberitahu, kau hanya duduk dalam komuter dan membaca – kau tak pernah pergi jauh untuk tahu.
Aku berpaling untuk mengenal beberapa muka pesakit di sini. Satu bahagian di sudut meja sana terdapat beberapa orang dewasa yang sedang bermain kad UNO dengan telatah mereka sendiri, di tengah berdekatan dengan kaunter jururawat terdapat seorang makcik tua yang sedang menari, ada juga yang duduk bersandar di dinding dengan keadaan pegun dan murung.
Aku pantas menghala ke kaunter. "Saya nak buku dari beg saya."
Jururawat lelaki di sebalik hanya diam dan abaikan aku dengan kerjanya. Aku cuba cari Lisa – kelibatnya tak dapat dijejak mata.
"Shah." Aku tenung dan sebut dengan jelas tag namanya. "Saya nak buku dari beg. Saya rasa nak membaca."
Dia berhenti dan pandang tepat ke arah aku. Aku tak berikan apa-apa reaksi yang ramah.
"Beg awak dah balik rumah. Maaf."
"Jadi, dia cakap nak balik, lambai lepastu berjalan balik?"
"Mak kamu datang dan ambil barang awal pagi tadi." Dia betulkan beberapa kertas fail dan selak satu-satu. "Oh, tapi dia kasi suratkhabar free kalau kamu nak baca."
Selain dari perasaan menentang aku tentang gaya endah tak endah Shah ini, jujurnya aku ingin luangkan masa dari melihat perangai pesakit lain yang berada di sini. Ia cukup menarik tetapi dalam masa yang sama turut menyakitkan; seperti aku kena elakkan dari menjadi terlalu mesra di sini supaya aku tak terikat selesa dengan tempat ini.
"Tepi sana ada ruang macam mini library. Sana ada bahan bacaan kalau awak nak."
Dia muncungkan mulutnya ke salah satu sudut sebelah sana dengan matanya masih lagi menyemak kertas-kertas di atas meja. Aku menurut dan terus melangkah ke arah yang dinyatakan. Aku perasan dengan beberapa mata mereka yang sedang mengikut tapak kaki, menanda tepat pada setiap gerak aku.
Aku terlihat Lisa sedang duduk dalam satu kumpulan pesakit. Mereka sedang ketawa sesama sendiri. Ianya sebuah sesi terapi yang bahagia – kalaulah mereka tahu apa sebenarnya tugas Lisa untuk berada dalam kawanan tersebut, barangkali mereka akan terancam. Ini apa yang aku rasakan: Lisa atau jururawat yang lain akan memantau setiap gerakan kami dari pagi ke malam, dan dalam proses tersebut, ianya cukup pasti dia akan menimbang setiap personaliti kami dengan ukurannya sendiri – berapa peratus bahaya setiap dari kami, berapa markah untuk setiap kelakuan baik kami, berapa kadar perhatian yang perlu diberikan kepada kami – dengan perkataan 'kita' yang disebutkan semalam.
Sebuah penyamaran untuk serasi dengan kami – memudahkan kerjanya.
Langkah aku tamat pada salah satu bilik yang kecil dengan beberapa rak kecil di dalamnya. Mata aku menurut perasaan teruja untuk melihat pada tiap-tiap rak tersebut; barangkali ada buku yang menarik yang boleh aku baca. Malangnya, kebanyakan buku di situ adalah buku motivasi yang sudah berhabuk.
"Hey."
Seorang perempuan berambut pendek, bercermin mata tegur aku dari belakang. Ada sesuatu menarik tentang dia ini; tepi bingkai cermin matanya dibalut dengan masking tape tebal dan terdapat balutan kain pada buku lima tangannya yang ada sedikit kesan darah.
YOU ARE READING
ASING - sebuah novel Syahmi Fadzil
Narrativa generaleTina percaya dia dalam sepi walaupun ditemani suara-suara luar. Azri tersangkut dalam rutin harian bosan dan impian masa silam. Has persoalkan idea kebergantungan dan meraikan hidup bersendiri. Tina mencari 'kediaman' sebenar dalam hidupnya ketika b...