Bab 9 - 11

1.2K 15 3
                                    

9. HAS

Suasana di kampung cukup nyaman berbanding di bandar dan sebab itu kami suka makan di anjung depan rumah ketika waktu begini. Angin luar yang damai seperti teman kepada kami selain dari cerita-cerita asing yang bakal kami sajikan ketika makan.

Lagipun, Jiha bukan jenis yang bercerita tentang dirinya semudah itu.

Aku masih ingat waktu terakhir aku pergi ke KL untuk teman Jiha cari kasut dan akhirnya kami tersesat dan melencong ke semua tempat sekitar KL. Walaupun Jiha agak bernas dalam kata nasihatnya terhadap aku, dia paling susah untuk bercakap dengan orang asing. Aku akan tanya orang asing dan dia hanya akan berdiri sambil pandang sekeliling. Aku pernah tegur dia untuk jadi lebih ramah atau ringankan mulut kalau ada sesuatu yang dia perlu tanya sebelum dia katakan ianya tak perlu – dia ada aku untuk jadi wakil kepadanya.

"Kau jenis susah nak bercakap dengan orang asing, so macamana kalau dalam kelas? Kau pendiam je ke apa?" aku tanya sambil letakkan lauk ke dalam pinggan nasi.

"Hm." Dia alih pandang, mulut muncung. "Budak kelas aku bukan orang asing."

Masuk akal. Mungkin aku salah soalan. Dalam masa yang sama, aku cukup risau sekiranya dia ditakdirkan untuk berada luar dari kawasan kampung ini. Mungkin nanti ada banjir besar yang berlaku pada lewat malam dan semua penduduk di sini bakal dihanyutkan ke tempat rawak dalam tidur – air sebagai tilam cukup selesa, dan kami semua terpisah. Aku di bandar dan dia di perkampungan orang asli. Bagaimana dia akan hidup dengan keadaan begitu?

"Ianya soal buih selesa, Has."

"Buih selesa?"

"Ya. Mereka kata kita semua ada buih selesa dengan radius masing-masing. Aku improvise, aku percaya buih tadi bukannya sekadar besar atau kecil tapi juga nipis atau tebal. Tak semua boleh cepat masuk dengan orang lain."

"Aku boleh je."

"Kau ramah. Lain. Kau suka ditemani kawan-kawan atau orang asing. Kau extrovert, aku introvert."

Extrovert atau introvert tersebut mematikan akal aku seketika. Selama aku belajar Bahasa Inggeris di sekolah, tak pernah sekalipun aku ketemu perkataan itu. IQ Jiha berada di aras lain dari aku. Mungkin sebab dia lebih banyak makan garam dan aku masih muda – perlu alami banyak lagi benda untuk belajar.

Tetapi, jurang umur kami hanya setahun?

"Introvert jenis yang tertutup. Extrovert terbuka." Dia fokus pandang nasi di pinggan.

"Anti-sosial?"

"Tak. Anti-sosial maknanya kau memang tak bersosial, kau menentang dengan idea untuk bersosial. Introvert cuma rasa senang dengan keadaan bersendiri. Dia pilih untuk bersendiri. Kalau dalam keadaan terdesak atau lebih remeh, bosan, dia boleh je tegur orang dan buat kawan. Faham?"

Penjelasannya cukup terperinci yang mana aku bertambah tak faham. Siapa saja yang ingin bersendiri? Bukan ke kita perlukan kawan dan orang lain untuk bergantung? Kita bukannya Tuhan atau apa untuk bersendiri. Paling kurang, dia bakal selamat nanti di perkampungan orang asli.

"Kau banyak tahu apa yang aku tak tahu eh, Jiha?"

Dia senyum sambil teguk air dari gelas. "Kau tu yang banyak tak tahu apa yang orang lain tahu."

Aku buat muka tak setuju, menentang dan geleng perlahan.

"Kau kena mula pandang dunia dengan perspektif yang luas, kau tahu, macam perempuan sana tu."

Dia tunjuk ke hujung padang. Mata aku ikut fokus ke arah tersebut. Ada seorang wanita sedang memegang telefon dengan muka risau. Apa yang dia buat di hujung padang tersebut?

ASING - sebuah novel Syahmi FadzilWhere stories live. Discover now