28. AZRI
Aku bangun pagi lebih awal dari biasa dan terus bancuh kopi panas. Mereka semua sedang sibuk menyiapkan tugasan di ruang tamu. Sengaja aku duduk di kerusi dan memandang telatah mereka yang kelam-kabut.
"Wei, awal kau bangun harini?" Ali kata dengan tangan pantasnya menaip pada laptop.
"A'ah. Harini aku semangat sikit. Nak cari kerja."
"Bukan kau dah ada kerja ke? Yang buat grafik tu?"
"Freelance je, bro." Aku hirup kopi. "Aku nak try tanya kalau diorang nak terima aku untuk kerja penuh masa."
Entah dia sedang dengar atau tak, aku biarkan dia terus fokus menaip. Untuk projek yang dah siap sebelum ini, aku akan hantarkan dengan tangan sendiri ke ofis. Di sana aku akan berjumpa dengan bos dan bertanya terus tentang ruang kerja kosong. Aku tak rasa ada masalah dengan menguruskan klien yang leceh, kau tahu, adik kata aku perlu selesaikan semuanya dengan pilihan sendiri.
Aku rasakan pilihan aku kali ini adalah tepat.
Selesai dengan kopi, aku terus bangkit dan melangkah masuk ke bilik. Semenjak dari hari itu, log telefon aku lapang tanpa disinggahi peringatan dari T. Aku menunggu sesuatu darinya. Bagaimana dengan keadaannya sekarang? Maksud aku, apakah dia akan terus kelar tangannya untuk hindarkan perasaan sakit dalamnya? Aku berharap selepas dia keluar dari wad psikiatri tersebut, dia lebih faham bagaimana untuk bebaskan dirinya dari belenggu halimunan di sekeliling. Aku tak boleh berikannya apa-apa selain dari nasihat sekali-sekala – aku tak lalui apa yang dia sedang lalui.
Itu apa yang Has pernah katakan kepada aku dulu. Kita tak boleh hakimi seseorang dengan tindakannya saja; ia tak adil. Lebih-lebih lagi apabila ia sesuatu yang bukan berada di dalam kawalan seseorang. Perasaan sedih bukanlah sesuatu yang senang.
"Kau bayangkan, Azri." Dia minta perhatian dengan muka lurusnya. "Bila orang tanya kita bila kita gembira, kita boleh jawab dengan satu perkataan mudah; gembira atau seronok atau bahagia."
"Okay..."
"Tapi, tapi, kalau kita tengah sedih, benda macam susah nak jelaskan kat orang bila mereka tanya. Kau tahu kenapa?"
"Sebab tengah sedih. So kita tak semangat nak bagitahu."
"Bukan. Sebab bila sedih tu datang, ia bukan perasaan sedih je terbit dalam kita. Semuanya datang serentak; kecewa, kusut, murung, bengang, serabut, bingung, ragu, dan lain-lain. Macam kau nganga besar-besar dan telan satu alam semesta masuk ke dalam mulut untuk hadam dalam perut."
Aku diam, kuyukan mata sambil cuba ajuk muka lurusnya. Ini pertandingan muka lurus – siapa yang lebih lama boleh kekalkannya, maka dia adalah pemenang.
Atau sebenarnya, aku tak suka serius bila dia keluarkan topik yang serius ini.
"So, apa point kau?"
"Maksud aku, bila orang tengah sedih, kau jangan pulak paksa dia bagitahu benda bagai. Ruang tu penting. Dia kena ambil masa untuk leraikan perasaan dia satu persatu."
"Bagi aku, mereka yang nak sedih lama-lama ni jenis yang lembik."
"See, kau dah judge dia lembik? Tak patut."
Aku mengalah dalam diam. Tak sangka kuyukan mata boleh buatkan ia rasa kebas. Aku cukup kagum – bagaimana aku cuba berikan saingan, pemenangnya tetap dia, Haslinda si Muka Lurus.
"Tiap manusia dilahirkan dengan kadar sensitiviti yang berbeza. Kau tahu, ada antara kita yang meratap bila abang atau kakak kita tinggalkan kita untuk belajar kat luar negara, dan ada antara kita yang masih lagi tenang dalam dendam bila tengok ayah kita bantai mak kita kat dapur dengan tali pinggang atau baseball bat – sikit pun tak keluar airmata."
YOU ARE READING
ASING - sebuah novel Syahmi Fadzil
Ficção GeralTina percaya dia dalam sepi walaupun ditemani suara-suara luar. Azri tersangkut dalam rutin harian bosan dan impian masa silam. Has persoalkan idea kebergantungan dan meraikan hidup bersendiri. Tina mencari 'kediaman' sebenar dalam hidupnya ketika b...