26. HAS
"Awak nak pergi mana?"
Aku buka mata dan pandang sekeliling. Keputusan untuk mencari mana-mana tempat untuk tidur berakhir dengan bersandar pada palang belakang stesen bas. Kesan dari kelam subuh dan bayang samar-samar tiang berikan aku rasa yang kurang selesa. Selain dari kenderaan sekitar yang mula memenuhi ruang jalan dan beberapa pejalan kaki yang menghala ke sini, aku sedar yang aku perlu bergesa.
"Saya nampak awak tadi tertidur kat sini so ingatkan awak tak sihat ke apa."
"Sekarang pukul berapa?"
"Enam-empat-lima."
Aku berikan senyuman ramah dan bingkas bangkit mengambil beg aku yang sudah terjatuh di bawah. Mata aku terus mencari mana-mana tempat untuk pergi. Asalkan tempat tersebut tak ramai orang, aku fikir, itu bermakna tempat tersebut bebas dari warden Pengasih.
Perjalanan aku berakhir di salah satu lot kedai yang rata-ratanya belum buka. Di hujung, terdapat sebuah gerai mamak maka aku buat keputusan untuk luangkan masa bersarapan dan gunakan tandasnya untuk berus gigi sebelum sambung ke aktiviti lain.
Aku pesan roti canai dan air kosong. Senyap menjamah sambil memerhati beberapa pakcik makcik di tempat duduk yang lain. Dengan T-shirt kosong, tracksuit dan kasut sukan, aku simpulkan mereka baru balik dari joging pagi. Ini bermakna kawasan kedai ini berdekatan dengan perumahan luar. Aneh, aku tak dapat nampak mana-mana rumah yang terbina sekitar sini.
Selesai makan, aku terus ke tandas dan berus gigi.
Dalam dompet masih terdapat 30 ringgit – cukup untuk makan selama tiga hari. Aku terfikir samada aku perlu mengemis lagi hari ini atau ambil cuti dan raikan benda-benda yang lain. Aku teringin untuk ke kedai buku dan membaca, lebih-lebih lagi kebanyakan buku aku tertinggal di Rumah Pengasih sana. Untuk kembali dan ambil bukanlah gerak yang bijak walaupun aku tahu jalan masuk-keluar yang tersembunyi. Takut kantoi satu hal, aku tak mahu berdepan dengan Zul yang cukup pasti, dia sedang bencikan aku sekarang.
Jadi aku ambil keputusan untuk pergi ke tandas awam yang aku terjumpa semalam dan bersihkan diri.
Selesai mandi, dalam perjalanan ke luar, aku dapat rasa ada sesuatu sedang mengekori dari belakang. Syukur untuk matahari yang rendah, bayang-bayangnya cukup ketara apabila aku membelok. Waktu aku menjeling, ianya tak ada sesiapa di belakang. Hati aku mula membisik risau bersama akal aku yang suruh untuk berjaga. Ini masalah apabila dalam bebas menjadi perlarian. Sedetik pun tak akan ada waktu untuk berlenang dan suka-ria. Tanpa sedar, mereka boleh jadi setapak lebih dari kita.
Sengaja aku teruskan langkah ke lorong belakang lot kedai yang sunyi sebelum berhenti dan menoleh sepenuhnya ke belakang. Ada kelibat yang pantas menyorok di belakang tong sampah yang besar.
"Siapa?!"
Selain bunyi kenderaan yang liar, keadaan terus senyap seperti biasa.
"Aku nampak kau menyorok belakang tong sampah tu." Aku tinggikan suara. "Jangan sampai aku pergi sana!"
Entah kenapa, hujung ayat yang penuh dengan ugutan tegas berakhir dengan badan aku yang berpaling dan kaki yang secara sendiri begerak pantas. Dalam banyak kemungkinan seperti dirompak, dirogol atau dibunuh, aku lebih takut untuk ditangkap oleh kuncu-kuncu warden dan dibawa kembali ke tempat pemulihan. Ia menyeksakan; untuk tahu yang kau perlu ramah dan berkongsi segala benda dengan mereka yang lain cukup leceh. Selagi kau tak mampu lakukan tersebut, ia bermakna kau masih belum pulih, atau kata mereka, masih belum terima hakikat untuk memaafkan diri sendiri yang terlibat dengan dadah.
Kenapa perlu maafkan diri sendiri? Maksud aku, bukankah pilihan mengambil segala benda dalam hidup kita adalah hak masing-masing? Aku tak pernah susahkan orang ramai atau buat kecoh atau rosakkan harta kerajaan atau apa-apa.

YOU ARE READING
ASING - sebuah novel Syahmi Fadzil
Ficción GeneralTina percaya dia dalam sepi walaupun ditemani suara-suara luar. Azri tersangkut dalam rutin harian bosan dan impian masa silam. Has persoalkan idea kebergantungan dan meraikan hidup bersendiri. Tina mencari 'kediaman' sebenar dalam hidupnya ketika b...