Bab 1 - Demi Kasih Yang Memanggil

4.3K 39 2
                                    


Kad bersegi empat itu dikibas-kibas di mukanya. Panas kian membahang. Membakar kulitnya yang sedikit terdedah. Dia menatap sekeping kad merah gelap bertintakan darwat kuning emas. Alamat di atas kad itu membuat dia mendongak lagi tinggi. Hampir menentang pancaran matahari yang kian terik.

Lama berfikir, dia hayun kaki ke dalam bangunan yang berdinding separa kaca berwarna bertinted biru. Sebaik sahaja dia menapak, dirinya disergah seorang pemuda yang berdiri berhampiran pintu masuk.

Dia yang berambut panjang ke paras pinggang dan memakai skirt melepasi lutut tiba-tiba berhenti. Terpaku sejenak. Tetapi matanya tetap meliar. Mencari kelibat wajah yang mungkin dikenali di balik puluhan manusia yang lalu-lalang. Wajahnya masih dibaluti keresahan. Dahinya kian berpeluh. Dirinya tambah gemuruh.

"Cik nak jumpa siapa?" tanya pemuda itu yang berpakaian blazer hitam lengkap, dengan senyuman. Tak mengapa, Naaz. Chaiyok chaiyok, Naaz. Kau boleh buat ni. Kau mesti teruskan. Naazneen tarik nafas dalam-dalam. Peluh di dahi disapu dengan belakang tapak tangan.

"Ehhh..." Naazneen gugup. Jiwanya berbolak-balik. Masih keliru sama ada dia perlu teruskan atau berpatah balik sahaja. Setidak-tidaknya, dia ada masa sehingga esok petang. Tetapi mengenangkan wajah yang tidak lepas melingkar dalam benak ingatannya itu, menumpaskan kesabaran Naazneen sejak berhari-hari lamanya.

"Cik...?" pemuda itu menanti.

Kad diserahkan. "Saya nak jumpa orang ni." Suaranya padu.

Kad bertukar tangan. Pemuda itu membelek kad. Seketika, riak wajahnya berubah. Belakang kad pula ditelek. Dahinya berkerut. Kemudian dia angkat muka. Bertembung terus dengan wajah Naazneen yang kini serius.

"Cik pergi kaunter depan tu dan tunjuk kad tu kepada mereka," arahnya, dengan senyuman lebar. Lebih lebar daripada yang mula-mula tadi.

Naazneen berasa sedikit lega. Perlahan-lahan, kaki dibawa ke kaunter penyambut tetamu yang berada di tengah-tengah ruang legar yang luas dan kaunter yang tampak kosong itu. Tiga orang perempuan yang berpakaian serba hitam dengan tanda nama masing-masing, bersedia menyambut kedatangannya. Di belakang perempuan-perempuan itu tertulis nama yang sama seperti di dalam kad. Strenght Hill Group. Sah! Naazneen tidak silap tempat. Teksi yang disewanya tadi mudah sahaja mencari bangunan ini.

Naazneen tarik nafas dalam-dalam. Dia kena teruskan juga. Sudah jauh perjalanan yang ditempuhnya. Sudah banyak dugaan yang diharunginya. Hanya sejengkal saja lagi. Dia akan bertemu dengan lelaki itu. Lelaki yang dua bulan menghilang tanpa khabar berita.

"Ya, cik. Ada yang kami boleh bantu?" Belum pun sampai betul-betul di depan kaunter, dia disambut salah seorang daripada mereka bertiga.

Tubuh Naazreen gementar. Seingatnya dia sudah bersedia. Seingatnya dia boleh kuat. Seingatnya langkahnya akan lebih mudah. Tetapi, entah kenapa dia resah sangat-sangat. Rasa tidak sedap hati pun ada. Bagaimana kalau-kalau lelaki itu hanya mempermainkan dia? Seperti yang dicanang-canang bapa saudaranya dua hari yang lalu. Oh tidak! Mustahil lelaki itu akan berbuat begitu. Naazneen menolak jauh-jauh tanggapan itu.

"Cik nak jumpa siapa?" Soalan muncul sekali lagi dari gadis di hujung kaunter.

Naazneen menapak ke depannya. "Saya... saya... nak jumpa dia." Kad diserahkan dengan tangan menggeletar.

Gadis itu menyambut dengan senyuman manis. Anehnya, sebaik mata menatap kad tersebut, wajah berubah riak. Ditenung kad itu berulang kali. Dibelek wajah Naazneen pula berulang kali. Mencambah keresahan di hati Naazneen. Menepuk keraguan yang kian menebal.

"Kenapa?" Rakan penyambut tetamu datang menyibuk. Lalu, kad itu menjadi tatapan. Semacam pesta.

"Dia ada tak?" Naazneen tidak sabar. Sudah puas dia bersabar. Sudah puas juga dia menunggu dan berharap.

TANGKAP MUAT PUNYA FASALWhere stories live. Discover now