Bab 2 - Bergugus Rindu Yang Menggepal

2.3K 43 4
                                    


Tanpa berlengah, Naazneen memulas tombol pintu bilik mesyuarat itu dan menguak besar-besar. Naazneen terkejut. Bilik separuh gelap itu tiba-tiba sunyi. Cahaya hanya tertumpu pada dinding yang terpeta pancaran skrin komputer yang berwarna-warni dengan pelbagai angka berbentuk statistik. Tidak masuk dalam fikiran Naazneen. Tetapi pandangan Naazneen terpaku kepada lelaki yang tercegat tanpa suara. Lelaki yang dituju cahaya dari pancaran projektor yang berada di tengah-tengah bilik.

Tidak! Naazneen amati lagi wajah itu. Tetapi perasaannya kian hampa.

Tidak mungkin! Tadi dia baharu mendengar suara Arayn manakala lelaki yang tercegat itu bukannya Arayn. Ya, Arayn yang dirindunya tidak akan berubah jadi pendek dalam masa dua bulan. Arayn yang dicintai sepenuh jiwanya tidak akan memboroi dalam tempoh dua bulan.

Arayn dalam kotak ingatannya tinggi seinci daripadanya. Arayn yang bertubuh kekar dengan kulit putih kemerah-merahan.

Naazneen hampir sahaja mahu menangis di situ apabila tangannya dipaut seseorang. Seketika, lampu di dalam bilik itu terang-benderang.

"Cik, apa cik buat di sini?" seseorang bertanya di sisinya.

Naazneen berpaling kepada pemilik suara yang memegang tangan kanannya. Seorang gadis bertudung dengan muka hairan merenungnya. Naazneen hampir sendu. Hampir merebahkan kepala di bahu gadis itu. Hampir sahaja melalak meraung hampa. Lelaki yang ditunggu-tunggu, dicari di segenap pelusuk Kuching, tidak ditemui.

Sebaliknya, mata Naazneen tiba-tiba membuntang. Melepasi gadis bertudung di sisinya. Pandangan terpaku kepada lelaki yang sama seperti dalam ingatannya. Duduk dengan bergaya di hujung meja panjang, setentang dengan lelaki yang berada di depan dinding berskrin tadi.

"Arayn," jerit Naazneen, girang. Tangan gadis bertudung ditepis dan dia meluru kepada Arayn.

Bulat mata Arayn. Tersentak! Terpanah!

Ketika gadis berambut sedikit perang itu menyerbu masuk, dia berasa tidak sedap hati. Dalam sakit hati, dia sedikit kagum kerana gadis itu mempunyai keberanian untuk merempuh mesyuarat penting dibawa kelolaannya. Hairannya, sebaik sahaja mata Naazneen terpaku padanya, wajah gadis itu berubah ceria. Semua rasa itu bergilir-gilir menyerbu masuk dalam dirinya. Arayn pantas berdiri.

Naazneen sangat-sangat bersyukur. Gembira bukan kepalang. Setapak mendekati Arayn, tangan Naazneen dirembat kasar sebelum ditolak tanpa belas. Seorang gadis berambut hitam berdiri di antara dia dan Arayn.

"Ehhh, awak siapa? Apa awak buat sini? Berani awak datang sini tanpa sebab?" soal gadis itu dengan muka berangnya.

"Saya datang bersebab. Saya nak jumpa Arayn." Naazneen tidak mengalah. Dia nekad. Apa pun jawapan Arayn, semuanya dia akan terima. Tetapi, dia perlu dengar dari mulut Arayn sendiri. Dia takkan berganjak selagi tidak bercakap dan bertentang empat mata dengan Arayn.

"Arayn?" Gadis berambut hitam tidak mencecah bahu itu mencebik. Sinis mengajuk cakap Naazneen. Diikuti oleh bisikan daripada beberapa orang yang duduk di meja panjang di dalam bilik mesyuarat itu. Suasana riuh sejenak. Semua mata melopong kepada Arayn dan Naazneen, bersilih ganti.

"Jaga bahasa awak! Awak tahu tak nama siapa yang awak sebut itu?" Gadis di tengah-tengah itu menolak sekali lagi tubuh Naazneen supaya kian jauh. Naazneen terdorong setapak.

"Arayn?" Naazneen merenung Arayn. Menanti dia bersuara. Mengharap dia bertindak.

Hairan. Kenapa Arayn tercegat sahaja? Kenapa riak di wajah Arayn seperti bertemu dengan puaka? Tiada rasa gembira seperti mana yang dirasainya? Naazneen mencerlung. Mengamati Arayn yang kehairanan menatap wajahnya.

TANGKAP MUAT PUNYA FASALWhere stories live. Discover now