HARI baru, permulaan baru. Harap seperti semalam atau kalau ada sebarang perubahan, biarlah lebih indah daripada semalam. Tidak mahu diduga dengan dugaan yang hebat-hebat. Tapi bukankah Allah menduga hamba-Nya sebatas kemampuan hamba-Nya juga? Mudah-mudahan baik-baik sahaja. Aku mahu hidup gembira. Aku mahu hidup bahagia.
"Selamat pagi, sayang..." ucap Encik Hazrul waktu aku kalut siapkan sarapan pagi. Satu ciuman singgah di pipi kanan dan aku membalasnya.
"Selamat pagi..." balas aku. Tersenyum cantik. Bahagia melihat wajah suami yang ceria.
"Masak apa?"
Ini yang malas nak jawab. Bukan tak nampak aku masak apa. Masih nak tanya. Bukan lagi kura-kura dalam perahu. Boleh jadi harimau dalam perahu.
"Nasi ayam!" jawab aku selamba. Dahulu masa baru kenal dengan Encik Hazrul, kalau soalannya jenis soalan bodoh, maka jawapannya harus bodoh juga.
"Eh, marah ke?"
"Dah tahu saya masak apa, masih nak tanya."
"Apa salahnya bergurau pagi-pagi?"
"Tapi agak-agaklah!"
"Apa pasal angin aje ni? Pembawakan budak ke? Janganlah. Humairah baru enam bulan." Pipi kanan terima habuan lagi. Pandai dia buat aku naik angin, pandai pula dia hilangkan angin. Ciuman istimewa itu merupakan penawar untuk segala gundah.
"Abanglah. Dah tahu tanya lagi..." balas aku dalam nada merajuk.
"Ke sekarang ni dah mula penat? Nak minta abang ambil pembantu rumah?" soalnya.
"Taklah sampai macam tu sekali. Sekarang ni saya boleh lakukan semuanya sendiri. Lagipun rumah kita ni bukan besar macam rumah kita kat KL tu," jawab aku.
"Abang kesian juga tengok Azian. Macam penat saja."
"Betul abang nampak muka saya macam orang penat?" soal aku. Itu tandanya Encik Hazrul mahu beritahu bahawa wajah aku sudah tidak bermaya. Mungkin tidak berseri lagi seperti dulu-dulu. Dan mungkin dia mahu beritahu aku bahawa dia sudah bosan melihat wajah aku.
Kenapa tiba-tiba hati rasa tidak sedap?
"Yup!"
"Ya ke?" soal aku lagi. Soalan mahu sedapkan hati sendiri.
"Nampak macam Azian keletihan saja." Encik Hazrul tumpang dagu di atas bahu waktu tangan sedang kalut kacau nasi di dalam kuali.
"Mungkin dua tiga hari ni Humairah kerap meragam kut..." Aku guna nama Humairah untuk lepaskan diri, namun tidak bermakna gundahku akan hilang walau nama Humairah menjadi mangsa.
"Hmmm..." Encik Hazrul lepaskan pelukan dan dia ke meja makan. Sudah bersedia untuk sarapan pagi.
Aku senduk nasi goreng ke dalam mangkuk nasi tambah dan bawa ke meja makan. Kemudian ambil dua buah pinggan dan sudu. Sebuah pinggan aku letak betul-betul di hadapan Encik Hazrul. Kemudian aku duduk berhadapan dengannya. Tuang teh madu buat dia. Sementara itu Encik Hazrul letak sendiri nasi goreng ke atas pinggan. Juga ke atas pinggan aku. Dia hulur kepada aku selepas itu.
"Serius muka Azian pucat. Bukan maksudnya abang dah bosan dengan isteri abang. Abang cakap dengan jujur muka Azian memang pucat."
Tergamam aku jadinya. Tangan yang pada mulanya hendak menyudu nasi goreng, jadi terhenti seketika. Aku memilih untuk melihat wajah Encik Hazrul yang nampak bersahaja suap nasi ke mulut.
Ah! Kenapa aku terlupa suami aku ini memang pandai benar membaca isi hati aku? Kenapa aku terlupa akan kelebihannya itu? Aku tak perlu suarakan apa yang ada dalam hati aku kerana pasti saja dia dapat membacanya. Aku benar-benar terlupa tentang itu.