AKU dah agak, pasti Puteri Zahra bakal menghubungi aku semula. Pasti dia tidak puas hati kena marah dengan Encik Hazrul semalam. Jangan bimbang, aku sudah cukup bersedia. Kalau dia fikir aku ialah Azian Yuhanis yang mudah dibuli seperti sebelum-sebelum ini, dia silap besar sebenarnya. Dia tidak akan jumpa sama sekali Azian Yuhanis yang dulu. Aku akan bangkit menentang semua perlakuan jahatnya. Sekali ini aku tidak peduli apa-apa lagi. Aku tidak akan bergantung harap dengan Encik Hazrul semata-mata. Selepas ini apa pun yang bakal berlaku, peduli apa aku?
"Apa lagi ni, Cik Puteri? Tak sudah-sudah lagi ke? Apa lagi yang tak puas hati?" soal aku terus. Nada suara sengaja aku keraskan. Tidak lagi bersopan.
Huh! Buang masa betullah. Ingatkan kena herdik, dah boleh serik, rupa-rupanya tak meninggalkan apa-apa kesan. Hati batu agaknya perempuan ni. Tak tahu malu langsung. Seperti tiada perasaan langsung.
"Kau ni memang sial, kan? Dasar perempuan tak sedar diri, tak tahu diuntung. Hidup menyusahkan orang lain saja!" herdik Puteri Zahra. Itupun aku sudah agak. Tak akan ada kata manis daripada perempuan seorang ini.
"Saya sial, atau Cik Puteri yang sial? Rasanya Cik Puteri yang masih tak sedar diri. Dah tahu Encik Hazrul tak sukakan Cik Puteri, masih juga terhegeh-hegeh mengharapkan dia. Macamlah dalam dunia ni tak ada lelaki lain. Tak malu ke? Tolonglah cepat sedar, Cik Puteri. Sudah banyak masa Cik Puteri terbuang semata-mata Encik Hazrul." Tanpa teragak aku keluarkan kata-kata. Geram dibuatnya dengan perempuan seorang ini. Ingatkan dah selesai semuanya, rupa-rupanya bersambung lagi. Tak berhenti mengharap walau ternyata harapannya itu hanya sia-sia.
"Eh, kalau kau tak goda dia, dia tak akan pandang kau. Kalau kau tak muncul di Menara Holding, dia tak akan pandang kau tahu tak!" Perkataan tak itu kuat disebut. Kedengaran seperti Puteri Zahra benar-benar hilang kawalan sekarang ini. Jadi, aku perlu menambahkan lagi kemarahannya.
"Untuk pengetahuan Cik Puteri, suami saya kenal saya ketika saya di Langkawi lagi sebelum saya bekerja di Menara Holding. Cuba Cik Puteri ingat semula, pasti setiap bulan suami saya akan minta cuti dan masa cuti itulah dia mendekati saya. Jadi, tuduhan Cik Puteri tentang saya goda suami saya tu sama sekali salah. Sebaliknya Encik Hazrul yang goda saya." Mungkin dengan cara begini akan menambahkan lagi sakit hati Puteri Zahra. Apa salahnya? Aku pun sudah serik untuk jadi baik selalu.
"Tak payah kau nak tokok tambah cerita pula. Dah kau tu dasar perempuan tak bermaruah! Hazrul nak goda kau? Eh, silap banyaklah. Sedangkan aku perempuan daripada keturunan yang baik-baik pun dia tak pandang, inikan pula perempuan sampah macam kau ni!" Masih dengan nada marah. Suka pula aku untuk menyakat Puteri Zahra. Bila lagi aku nak sakitkan hati dia? Inilah peluangnya. Tak ada siapa suruh jolok sarang tebuan.
"Saya pun tak paksa untuk Cik Puteri percaya, tak ada faedah pun. Tapi seperkara yang Cik Puteri perlu tahu, menjadi pilihan hati Encik Hazrul adalah sesuatu yang indah buat saya. Saya tempat dia meluah rasa, tempat dia berkongsi impian dia, tempat dia mencurahkan kasih sayang dia yang melimpah ruah. Semua buat saya rasa bertuah kerana terpilih untuk menjadi sebahagian daripada hidup dia. Terpulanglah untuk Cik Puteri berkata apa. Bukan kata-kata Cik Puteri yang menghangatkan hari-hari saya." Sangat melebihkah aku? Sangat berbanggakah aku? Ada aku kesah?
"Dasar..." Sepatah sahaja yang terlafaz dari mulut Puteri Zahra. Selebihnya Puteri Zahra hanya mendiamkan diri. Aku tahu dia mahu menangis namun dia bertahan. Namanya Puteri Zahra, mana pernah mahu tunjuk kelemahan. Apatah lagi dengan aku.
Hmmm, silap banyak kau hari ni, Puteri Zahra.
"Encik Hazrul seorang yang sangat romantis, sangat menyenangkan. Saya pun terkejut juga masa mula-mula kerja di Menara Holding. Yalah, mana saya tak terkejut melihat ketegasan dia. Tak sangka dia begitu orangnya sebab dengan saya dia sangat penyayang. Menatang saya seperti menatang minyak yang penuh. Menjaga saya dengan sepenuh hati dia. Dan satu lagi yang membuatkan saya sangat-sangat kagum dengan Encik Hazrul ialah, walau apa pun rintangan, dia tetap tabah menghadapinya. Cik Puteri mungkin sudah terlepas seorang yang sangat istimewa." Apa salahnya aku puji suami sendiri kalau itu adalah kebenarannya?