MEREKA pulang petangnya. Selepas makan tengah hari, Mikael bawa Naila keluar bersiar-siar melihat Bukit Cendana. Sebelum itu, Encik Hazrul berbual panjang dengan Mikael secara persendirian. Aku rasa Encik Hazrul basuh habis-habisan sepupunya itu. Inilah peluang Encik Hazrul. Banyak kali juga Encik Hazrul merungut tentang ketidakpuasan hati tentang sikap sepupunya itu. Peluang yang ada tidak dilepaskan, dihamburkan semuanya. Bagus juga begitu, mana tahu mampu mengubah keputusan Mikael.
Kami hantar pasangan itu hingga pintu pagar. Aku sekadar iringi doa agar semuanya akan baik-baik sahaja. Semoga mereka akan berjaya menempuh dugaan yang mendatang. Mereka sudah sama-sama lalui suka dan duka, pasti mereka akan dapat harungi semuanya nanti.
Encik Hazrul paut bahu aku sambil perhatikan kereta Mikael bergerak perlahan.
"Sedihlah tengok mereka tu..." ujar aku perlahan.
"Entahlah. Susah abang nak cakap. Abang lebih banyak menyalahkan Mikael sebab tidak berani berterus terang. Seharusnya jadi suami kena lebih berani sebab seorang isteri hanya bergantung harap kepada suaminya."
Aku pandang wajah Encik Hazrul dan satu kucupan singgah di dahi aku.
"Seorang suami harus menjadi pelindung. Walau apa keadaan sekalipun, dia mesti mempertahankan orang yang dia sayang," katanya lagi dan mata aku hanya melihat bibir itu berkata-kata.
"Bukan susah pun. Hanya beritahu keadaan sebenar. Terima atau tidak itu belakang kira. Yang penting kena umumkan orang yang kita sayang kepada semua. Kalau setakat nak cakap aku sayang kepadamu, semua orang boleh cakap. Tapi buktikan yang kita benar-benar sayang. Itu baru namanya suami." Nada suara Encik Hazrul seperti marah saja.
"Abang marah?" soal aku.
"Mestilah abang marah. Abang kenal sepupu abang tu. Sanggup buat perangai gila-gila untuk dapatkan perempuan yang dia suka, tapi tak sanggup untuk pertahankannya. Yang abang kesalkan sangat, dia dah buat Naila mengandung dan sampai keguguran. Langsung dia tak ingat semua tu. Geram betul. Abang rasa nak belasah saja dia."
Aku senyum. Kemudian pegang pipi Encik Hazrul dengan kedua-dua belah tangan. Mujur dia tidak begitu. Mujur dia tahu batas-batas kami sebelum bergelar suami isteri yang sah.
"Sayang abang..." ucap aku perlahan.
"Baru nak sayang?" Encik Hazrul kecilkan matanya dan buat reaksi geram.
"Dari dulu dah sayang. Sayang sepenuh hati..."
"Kalau sayang, jangan cuba buat perangai yang boleh buat abang susah hati!"
"Janji!" Aku angkat tangan kanan sebagai ikrar. Encik Hazrul balas dengan senyuman. Kemudian kami sama-sama pandang ke hadapan. Nampak pasangan Syed Imran dan Nad sedang berjalan berpegangan tangan. Pasti saja mahu menemani anak-anak mereka bermain layang-layang.
"Humairah mana?" soal Nad ketika melintasi kami. Dia kini menanti masa untuk bersalin saja. Suka aku melihat isteri pengurus resort Bukit Cendana ini. Makin comel sejak berbadan dua.
"Terlelap. Penat sangat," jawab aku sambil tersenyum.
"Sikit hari lagi dah boleh main layang-layang," kata Syed Imran pula. Mesra dia pegang tangan Nad. Nampak sangat bahagia. Melihat pasangan itu bahagia, aku turut sama rasa bahagia.
"Tunggulah sikit hari lagi..." kata Encik Hazrul pula.
"Mahu mamanya tak terkejar." Nad menokok.
Aku senyum saja. Kemudian pasangan itu sambung atur langkah untuk menyertai kedua-dua anak mereka bermain layang-layang di taman yang terletak tidak jauh dari kediaman kami.