SEMINGGU berlalu selepas kedatangan pasangan Mikael dan Naila. Tiada khabar berita daripada mereka. Encik Hazrul juga tidak bertanya. Katanya malas nak masuk campur. Aku harap semua baik-baik sahaja. Semoga masih ada kebahagiaan buat mereka berdua.
Aku melihat mereka pasangan yang sangat bahagia dan romantis. Apatah lagi dengan sejarah cinta mereka yang agak hitam. Itulah yang mereka pilih, jadi apa pun masalahnya biarlah mereka yang putuskan.
"Senyum saja ni kenapa?" soal Encik Hazrul sambil memandu keluar dari halaman rumah Syed Imran dan Nad. Kami baru saja melawat pasangan romantis itu kerana mereka baru sahaja dikurniakan anak ketiga. Diam tak diam sudah tiga orang anak mereka. Cepatnya masa berlalu. Rasa baru lagi pasangan itu menimang cahaya mata. Sekarang dikurniakan lagi. Rezeki.
"Tengok baby, rasa teringin pula nak ada baby lagi," kata aku sambil usap rambut Humairah. Humairah sudah melekat di badan. Kepenatan. Di rumah Syed Imran tadi bukan main lagi seronok. Maklum, jumpa kawan-kawan. Mulalah main tak ingat mama dan papa.
Sebenarnya, aku cuba bangkitkan soal hendak menambah anak. Akan aku desak setiap hari. Aku mahu beri Encik Hazrul zuriat yang ramai. Hanya itu saja yang aku mampu lakukan demi membuktikan kasih sayangku.
"Hmmm, tunggulah Humairah besar sikit," balas Encik Hazrul. Rambut Humairah diusap sama.
Aku diam. Pandang Humairah di dalam pangkuan. Wajah saling tak tumpah Encik Hazrul. Penyejuk hati kami berdua.
"Ke tak sabar nak tambah ahli keluarga? Abang okey aje..."
Aku toleh pandang Encik Hazrul yang tersenyum manis. Kumis tipis menambahkan lagi wajah segaknya. Ke hanya mata aku yang nampak dia segak? Serupa tidak percaya sahaja dengan apa yang aku dengar. Atau dia sudah terbaca apa yang sedang bermain dalam fikiran aku?
"Kenapa? Tak percaya?" soalnya lagi. Bibir seksi itu masih tersenyum.
Diam juga. Cara Encik Hazrul senyum itu semacam saja. Apakah aku bakal kena goreng lagi? Aduhai...
"Hmmm, tunggu Humairah umur tiga tahun, ya? Masa tu dia dah mendapat cukup perhatian. Ini Humairah setahun pun belum. Tengah manja. Lagipun abang tak nak Azian terlalu penat. Nak menguruskan Humairah sorang pun tak menang tangan, inikan pula nak menguruskan adik Humairah lagi. Relaks. Kita masih muda lagi."
Ke dia yang minta perhatian lebih, tapi jual nama Humairah? Encik Hazrul ni pun bukan boleh percaya sangat. Dari dulu kata-katanya sentiasa mengelirukan.
"Abang pun perlukan perhatian sama," tokok Encik Hazrul.
Dah agak. Sudahnya aku senyum. Tak tahu untuk berkata apa. Bermakna ada sebab kenapa dia tak mahu kami menambah anak. Bimbang kurang mendapat perhatian rupa-rupanya. Tapi yang aku rasa, akulah yang kurang mendapat perhatian. Separuh perhatian sudah tertumpah kepada Humairah.
"Kenapa senyum? Apa tak betul apa yang abang cakap ni?"
"Saya tahu saya sudah kurang beri perhatian terhadap abang..."
"Eh, bukan macam tu. Terasa pula dia. Abang cuma cakap, abang pun perlukan perhatian sama rata."
"Habis, saya tak perlukan perhatian abang?" Aku menyoal dan waktu itu kami sudah masuk ke halaman rumah kami. Sebaik sahaja kereta berhenti, aku terus bawa Humairah keluar. Hujan sudah turun rintik-rintik. Mujur sempat sampai di serambi. Kalau tidak, basah kuyup anak mama.
Aku berdiri seketika menantikan Encik Hazrul buka pintu. Hujan sudah mencurah. Masa kami mahu ke rumah Syed Imran tadi, cuaca agak cerah. Tiba-tiba saja hujan turun. Maka benarlah langit yang cerah bukan bermakna tidak akan hujan. Segalanya berkemungkinan berlaku dengan izin Tuhan.