KAMI pulang ke Kuala Lumpur sempena majlis nikah Mikael. Seronoknya dapat pulang ke sini sesekali. Kediaman yang memberikan aku seribu kenangan. Di sinilah aku mula-mula menjadi isteri olok-olok sehingga mendapat status isteri sebenar. Manisnya kenangan itu. Di sinilah aku mula mengenali diri Encik Hazrul sebenarnya. Lelaki dingin tanpa perasaan menjadi julukannya ketika aku baru mengenali dirinya. Tidak sangka dialah lelaki yang penuh dengan kasih sayang. Penuh perhatian sehingga aku sanggup serahkan jiwa dan raga. Entah kenapa sejak awal lagi aku seperti pak turut. Mengikut saja apa katanya. Walau sikapnya agak menjengkelkan, akhirnya aku tahu, dialah yang paling menyayangi aku.
"Ini rumah papa dan mama yang pertama. Rumah yang tinggalkan seribu kenangan buat mama dan papa. Humairah tak pernah datang sini lagi, kan? Malam ni Humairah tidur sini tau," kata Encik Hazrul sambil melangkah masuk sambil bawa Humairah. Aku baru selesai tarik kain yang menutup sofa.
"Abang, bawa Humairah masuk bilik dulu. Di sini berhabuk sangat. Kalau boleh abang tolong tidurkan dia," arah aku. Humairah nampak keletihan. Suka betul naik kereta. Merengek bila dia lapar sahaja.
Akur dengan arahan, Encik Hazrul bawa si comel ke bilik tidur. Sementara aku mengemas, biarlah dua beranak itu berehat seketika. Rumah kalau lama dibiarkan kosong, nampak cepat benar kusam.
Selesai buang semua habuk, aku tersandar di sofa. Satu-satu kenangan melintasi ruang mata. Betapa manisnya kenangan semalam yang tak mungkin aku lupakan sampai bila-bila. Sangat-sangat berharga.
Kata orang tempat jatuh lagikan kita kenang, inikan pula tempat memadu kasih asmara. Pasti saja akan menjadi tanda kenangan seumur hidup.
Encik Hazrul datang duduk bersebelahan dengan aku. "Apa pasal sengih aje ni?"
"Teringat kali pertama datang sini."
"Oh."
"Apa khabar agaknya Ibu Yanti dan Kak Lena." Encik Hazrul mengembalikan semula ingatan aku terhadap dua orang pembantu rumah.
"Yalah, apa khabar mereka agaknya." Lepas saja mereka pulang ke negara asal mereka, terus kami terputus hubungan.
"Harap kehidupan mereka akan lebih baik di sana."
Sebelum berhentikan mereka, Encik Hazrul ada memberi sedikit wang pampasan buat mereka berdua. Mudah-mudahan wang tersebut dapat digunakan sebaik mungkin.
"Nak cari pembantu rumah sebaik mereka memang agak susah sekarang ni." Aku terkenangkan mereka berdua ketika ini. Masakan Ibu Yanti memang kena dengan selera aku. Tapi Encik Hazrul tak boleh. Katanya dia tidak boleh makan masakan mereka berdua. Awalnya aku tidak tahu, akhirnya baru aku tahu. Rupa-rupanya Encik Hazrul mahu aku jadi tukang masaknya seumur hidup.
Encik Hazrul angguk.
"Hmmm, dah tidur anak dara abang?" soal aku. Baru teringatkan Humairah.
"Emmm..."
"Penat sangat tu. Karang malam tengoklah. Mahu berjaga. Abang layan dia kalau dia tak nak tidur."
"Selama ni siapa yang layan Humairah tidur?" Encik Hazrul paut bahu aku dan perlahan aku letak kepala di bahunya.
"Papa Humairah!" jawab aku.
"Hah, tahu pun..."
"Tahu dah..." jawab aku perlahan.
Suasana sepi seketika. Kami melayani perasaan masing-masing.
"Oh ya, abang ada beritahu kepada papa dan mama kita nak balik ni? Karang bising pula dia?" soal aku sekadar bermanis mulut. Semenjak kes mama memarahi aku tempoh hari, aku sebenarnya semakin tawar hati. Tapi demi hubungan Encik Hazrul dan papa yang semakin pulih, aku perlu pendam segalanya.