Bab 4

5.2K 82 0
                                    

"INSYA-Allah, aku mai. Satni aku pujuk laki aku. Tapi payah sikit. Payah buat kira dengan dia ni. Kan dia gila kerja. Bukan boleh ajak pi mana-mana. Ada saja alasan dia. Rasa macam dia sayang lembu dia saja daripada sayang aku." Aku perli Encik Hazrul sekejap dengan harapan dia faham. Kalau ajak makan angin memang susah.

"Janganlah lagu tu. Hang dalam bab memujuk kan terror? Tu pasal laki hang dok caiyaq selalu dengan hang."

Macam Nora perli aku saja. Terror la sangat.

"Dalam hal lain dia memang caiyaq, tapi dalam bab kerja, aku pujuk lagu mana pun mesti tak jalan punya!" Aku jeling Encik Hazrul yang sedang terbaring di sisi Humairah di atas katil. Mereka sedang main sembunyi-sembunyi. Dua-dua sama naik. Manalah si anak tu nak tidur kalau si bapa begitu? Makin cerah mata anak.

"Mai, jangan tak mai. Kalau hang tak mai, kira kita putus hubungan. Aku nikah bukan dua tiga kali. Ini kali pertama dan mungkin kali terakhir. Aku merayu sangat-sangat." Seperti tegas sahaja suara Nora. Aku rasa itu juga merupakan satu amaran. Dia bukan bergurau sekarang ini. Nora benar-benar serius dengan kata-katanya. Aku kenal Nora. Ada benda kami boleh buat lawak, tapi ada benda tak boleh. Silap hari bulan boleh berkelahi.

"Tau, hang bukan nikah dua tiga kali, tapi hang pun kena faham keadaan laki aku macam mana. Dia ni payah sikit bawa berunding. Nak-nak pasai tinggalkan Bukit Cendana ni. Aci lawan apa pun mesti tak mau punya." Aku pandang lagi Encik Hazrul. Kali ini dia juga pandang aku. Hmmm, jeling aku seperti terasa saja. Eh, dah betul. Nak terasa apa pula? Aci lawan apa pun mesti Encik Hazrul susah nak pergi Langkawi. Silap hari bulan dia suruh aku sorang saja yang pergi. Tu muka sanggup bawa anak pergi tempat kerja.

"Hang ugutlah dia."

"Cer hang habaq, aku nak ugut dia macam mana? Lari dari rumah? Dia tau punyalah kalau aku lari aku pi mana. Toksah mengarutlah."

"Hang ugutlah kata tak mau tidoq dengan dia sebulan ka?"

"Woit, hang gila ka? Tu bukan ugut dia, aku yang terlebih merana satni!"

"Aku tak kira. Kalau hang rasa aku ni kawan hang, hang datang majlis aku nikah. Kalau tidak, hang tak payah mai Langkawi sampai bila-bila. Putus hubungan!"

"Jangan la lagu tu, hang saja sahabat aku dunia akhirat."

"Kalau lagu tu, hang kena mai juga majlis nikah aku."

"Yalah, aku cuba pi. Tengoklah macam mana..."

"Okey, dah lama aku call hang ni. Apa-apa nanti aku call hang semula. Kirim salam kat laki hang. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Aku letak telefon bimbit di atas almari solek bersama keluhan berat. Rasanya macam tak lepas saja. Tak tahu nak pujuk macam mana lagi. Encik Hazrul memang sudah terkenal dengan sikap gila kerjanya.

"Apa pasal?" soal Encik Hazrul.

"Nora jemput majlis kahwin dia hujung bulan ni, dia kirim salam kat abang," jawab aku dengan lemah. Tak payah nak cakap lebih-lebih, aku sudah sedia maklum akan jawapan Encik Hazrul.

"Waalaikumussalam. Hmmm, elok juga tu. Dah lama kita tak pergi Langkawi."

Aku pandang wajah Encik Hazrul. Serupa tak percaya saja. Ini betul-betul atau mimpi? Takkanlah semudah itu. Aku belum lagi mulakan acara memujuk.

"Apa abang cakap?" soal aku. Serius, memang aku tidak menyangka jawapannya begitu.

"Dah lama kita tak makan angin ke Langkawi. Humairah pun tak pernah sampai Langkawi lagi. Bolehlah kita pergi nanti," jawab Encik Hazrul. Humairah sudah meniarap di dada Encik Hazrul. Terlentok-lentok. Nampak comel sangat. Mungkin kepenatan dan sekejap lagi pasti puteri kesayangan kami itu akan tertidur.

Suami Edisi TerhadWhere stories live. Discover now