"Ha! Kau ke mana tadi??" tanya Ansar. Kelihatan Azim dan Raja berlari-lari anak mendapatkan kami selepas menuruni tangga Adventure.
"T-Tandas!"
"Sempat lagi kau membuat hajat, ya?"
Azim hanya menggosok-gosok tengkuknya, tanda malu. Tawanya kedengaran janggal. Raja pula mengeluh kerana terpaksa menunggu Azim tadi.
"Jadi, inilah Io?"
"Yup."
"Namanya dah cukup comel, tapi kenapa rupanya begitu... menakutkan?"
"Hahahahahahahhahahahah COMEL??"
Aku, Ansar dan Hani terbahak-bahak ketawakan Azim. Abang Andrew pun turut serta. Namun terhenti akhirnya sebab Raja memarahi kami kerana tawa kami terlalu bingit di dalam topi keledar sut angkasanya. Ya, Abang Andrew pun tersentap dengan kata-kata pedas Raja.
Kami semua melangkah, menjauhi Adventure. Ini kali kedua aku keluar memijak tanah di dunia selain Bumi. Rasa pelik itu muncul setiap kali aku menapak di tanah ini. Mungkin badan aku tak biasa. Dan mungkin, kekuatan gravitinya lain dengan graviti di Bumi.
"Kita nak buat apa sekarang ni?" soal Hani, tidak sabar.
"Kita ke gunung untuk kumpulkan sampel serta ambil beberapa gambar geografi gunung dulu." jawab Abang Andrew tenang, sambil dia berjalan ke hadapan melepasi aku dan Ansar.
"Banyak sangat gunung. Gunung yang mana satu kita nak pergi ni?" tanya aku pula. Yalah, dekat depan aku ni ada beberapa gunung berapi yang tinggi-tinggi belaka.
"Yang itu." Ansar tujukan jarinya pada sebuah gunung berdekatan, tak terlalu pendek dan tak terlalu tinggi.
"Hmm, okey."
Aku hanya mengikut mereka ke gunung berapi itu. Malas nak cakap atau bertanya banyak. Kalau boleh, aku nak cepat habiskan kerja aku di sini, di angkasa lepas ni. Aku nak sangat balik ke Bumi. Rindu aku dengan tilam empuk dan televisyen di tempat tinggal aku.
"Pelapor misi? Minta terangkan kepada kawan kamu ni, serba sedikit tentang Io."Mendengar Abang Andrew mengarahkan begitu, Raja memandang Fithri. Pastinya budak Raja tu hendak suruh Fithri yang melapor. Namun, Fithri tidak terkesan dengan pandangan bermakna tu. Aku hairan. Fithri hanya berdurja kosong, memandang tanah tempat dia akan berpijak.
Raja sudah banyak kali melapor sejak kali terakhir Fithri melapor, jadi apa salahnya jika kali ini giliran dia yang melakukan tugas?
Raja akhirnya mengalah dalam melakukan 'telepati'nya, lalu terus memberi laporan.
"Aku tak tahu banyak mengenai Io tapi... Io ialah planet yang sangat aktif dari segi pergerakan kerak mantelnya, malah Io lebih aktif daripada Bumi.
Gunung-gunung berapi menjadi sangat aktif disebabkan pergerakan orbit Io mengelilingi planet Musytari. Graviti Musytari menarik Io dari pelbagai arah dalam orbitnya, lalu memanaskan dalaman Io dan meningkatkan tahap letusan gunung-gunung berapi."
Aku angkat tangan dan menjerit ceria.
"Aku tak faham!~"
Selepas melontar jelingan mautnya, Raja menyambung leterannya itu.
"Hasil letusan gunung berapi di sini, rata-ratanya ialah sulfur. Berbagai jenis bentuk sulfur yang disebut 'allotropes' tersebar luas di Io, lalu memberi warna-warna merah, jingga, kuning dan hijau pada Io."
"Patutlah. Pemandangan di sini agak cantik sebenarnya..."
"Bukankah tadi kau kata Io menakutkan?" tanya Hani. Aku ketawa melihat muka Azim memerah.
YOU ARE READING
Pluto
Adventure(Sekuel HILANG) Setahun berlalu sejak pelajar 5 Sains 1 mengetahui siapa diri mereka yang sebenar. Malaysia dan dunia juga tahu. Maka, sebuah agensi angkasa ingin melibatkan mereka dalam perjalanan eksperimental ke Pluto. Lapan pelajar daripada kela...