Lebai Leman melangkah agak laju, tetapi berhati-hati. Khuatir kalau-kalau terhentak kakinya dengan kuat, ada saja objek asing yang terlepas dari cengkaman. Dalam hati, dia menyumpah-nyumpah dirinya sendiri kerana memilih untuk duduk di rumah yang agak jauh dengan surau. Ada masa juga dia memarahi dirinya sendiri kerana terlalu kedekut hendak mengeluarkan duit untuk membeli basikal.
Kalau teman beli basikal dekat kedai Ah Seng hari tu, mesti dah sampai ke rumoh dah ni.
Tanpa Lebai Leman sedar atau nampak, setiap langkah Lebai Leman itu akan menyebabkan hantu disekitarnya menyorok. Bukan sahaja sekitar, malah dari jarak 10 meter pun masing-masing dah tak cukup tanah melarikan diri. Semuanya takutkan pada Lebai Leman. Kredibiliti Lebai Leman sebagai orang alim yang disegani bukan sahaja memberikan kesan pada penduduk kampung, malah kepada hantu di kampung itu juga. Pernah ada ketikanya di waktu puncak kealiman Lebai Leman, dia melempang Dracula yang garang dan angkuh hingga tersungkur sebab cuba nak mengacau anak dara Kampung Mudah. Terus bertaubat si Dracula dalam nak membuat kerja-kerja menghisap darah orang. Kali terakhir orang nampak Dracula, khabarnya sudah berpindah ke luar negara dan membina kerjaya di sana. Siap berlakon lagi. Sudah ada dua tiga filem pun. Anak dara yang dirasuk itu pula sekarang sudah pun selamat menjadi isteri ketiga Lebai Leman. Power tak power la Lebai Leman ni masa tu.
Lampu suluh yang dipegang Lebai Leman berkelip-kelip. Memberi petanda yang hayat baterinya sudah sampai. Lebai Leman baran. Diketuk-ketuknya hujung lampu suluh itu. Dengan harapan sisa tenaga-tenaga bateri yang ada terjaga dari tidur dan buat kerja bagi kuasa. Masih sama. Masih berkelip-kelip. Cahayanya sekejap ada, sekejap tiada. Sekejap terang, sekejap malap. Kalau diikutkan hati, mahu saja dicampakkan lampu suluh itu ke tanah. Kemudian, dipijak-pijaknya sampai hancur lumat. Ataupun, dihempasnya ke tanah dengan sekuat hati. Barang yang memberi kita amarah memang boleh dipuaskan dengan melihat ianya hancur di depan mata. Namun, dibatalkan segala niatnya itu. Lampu suluh ditangannya itu bukan jenama murah. Cap kepala harimau tu (Tiger Head Brand).
Tambahan pula, Lebai Leman dalam keadaan yang amat kritikal sekarang. Sedikit saja kesilapan, mahu barai segala apa yang ditahannya semenjak 15 minit tadi. Lebai Leman perlu berhati-hati. Matlamatnya sekarang, hanyalah menuju ke rumah. Hal-hal lain, lansung tidak difikirkan secara serius di dalam kepalanya. Bersama dengan langkah yang dikepit sedikit, laju, berjaga-jaga, dan kerlipan lampu suluh cap kepala harimau Lebai Leman, dia meneruskan perjalanan. Menghampiri pokok besar yang menjadi sebahagian daripada tempat yang perlu dilaluinya sebelum tiba.
*******
Kelipan lampu suluh cap kepala harimau milik Lebai Leman itu menarik perhatian Pontianak yang sedang elok duduk di atas pokok. Pontianak mula berasa tak best. Pontianak mengecilkan matanya, ingin melihat siapakah dia yang sedang berjalan menuju ke arahnya. Puas dia amati akan wajah lelaki tersebut. Namun masih lagi gagal menaikkan satu nama pun dalam ingatan. Digaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil di dalam kepala masih lagi ligat cuba membuat kerja-kerja mengingat. Kemudian, dia menepuk dahinya sendiri kerana merasakan perbuatannya itu agak kelakar dan bebal.
Sampai ke kampung orang pun tak sampai sejam. Kalau aku beriya tengok pun, bukan aku kenal.
Lantas, Pontianak mengambil keputusan untuk mengabaikan sahaja lelaki itu. Banyak lagi hal-hal lain yang perlu difikirkan. Seperti tentang di mana dia bakal tinggal dan duduk. Tentang bagaimana dia hendak menjadi seekor hantu yang lejen. Tentang apa ke gila ibu toyol bagi nama anaknya Encik Toyol Baik. Tentang betul ke Encik Toyol tu bukan jenis toyol yang kuat sembang. Tentang betul ke yang dijualkan oleh apek tu Thermometer. Tentang masa depannya dalam karier menjadi hantu yang paling menakutkan. Dan juga hal-hal yang lain yang tak kurang pentingnya bagi Pontianak.
YOU ARE READING
Dihantu
Phiêu lưuLahir-lahir sebagai hantu, tidak memberikan jalan mudah kepada seekor pontianak untuk menjadi seekor hantu yang paling ditakuti. Dengan rekod kegagalan menakutkan orang mencecah angka 100, beliau menggelarkan dirinya sendiri sebagai hantu yang palin...