Bab 9.3

2.6K 163 2
                                    

Pontianak tidak menceritakan hal itu kepada Encik Toyol. Walaupun mulutnya menggeletar hendak meluahkan apa yang sedang dirasakan ketika itu. Baginya, apa yang berlaku di Kampung Tanjung sepatutnya kekal duduknya di Kampung Tanjung. Dia sekarang di Kampung Mudah. Sejarah baru bakal tercipta. Kerjayanya akan terbina. Nama Pontianak akan disegani oleh semua sampai bila-bila.

"Hang kena rileks Pontianak. Ni baru sikit. Tak sampai satu malam pun berita hang sergah Lebai Leman tersebar. Dengan strategi yang betul, peh. Memang hang akan jadi hantu lagenda yang tak terkalah!" ujar Encik Toyol penuh yakin. Di dalam kepalanya, sudah ligat memikirkan dua perkara. Satu, strategi yang bakal digunakan untuk menaikkan lagi nama Pontianak di Kampung Mudah. Ini adalah pertama kali dia dapat melaksanakan kerja yang diminatinya. Ini saja (mungkin) peluang yang diberikan untuk dia membuktikan kebolehannya. Seboleh mungkin dia tidak mahu peluang ini disia-siakan.

Kedua, kekayaan yang bakal diperoleh hasil pemberian penduduk kampung yang begitu taksub pada Pontianak. Sehingga memberikan pelbagai jenis harta ataupun kekayaan untuk memujanya. Malah mungkin, sehingga menjadi tetamu jemputan ke dalam beberapa rancangan tv hantu. Kerana terlalu terkenal. Sehingga menjadi idola kepada hantu-hantu yang lain. Nama Pontianak sekali lagi menjadi terkenal dan menjadi sebutan yang bertalu-talu. Ah, tidak terjangkau akal memikirkan kekayaan yang bakal dimiliki olehnya yang bertindak sebagai pengurus Pontianak ketika itu.

"Kiranya, aku dah jadi Duta Hantu ke belum ni?" tanya Pontianak agak excited. Sudah pun terbit sedikit bibit-bibit riak di dalam hatinya. Dari seekor hantu yang tak berguna kepada seekor hantu yang masuk surat khabar sebab power. Siapa yang tak teruja?

"Hish, belum lagi la!" herdik Encik Toyol sambil memukul lutut Pontianak. Mengaduh Pontianak kerana sakit sambil memaki Encik Toyol di dalam hatinya.

"Hang ingat semudah itu je ke nak jadi Duta Hantu? Fuh. Kalau macam gitu punya kacang, aku sendiri dah jadi Duta Hantu dah untuk beberapa bulan."

"Pasal kau tak power macam aku kot...." ujar Pontianak perlahan. Untuk pendengaran telinganya saja.

"Apa dia?"

"Eh tak. Tak. Aku kata kau tak jadi Duta Hantu sebab kau tak pakai baju coat."

Kata-kata Pontianak itu berjaya membuatkan Encik Toyol terdiam. Sambil tangan diletakkan pada dagu dan anak mata hitam memadang ke atas, dia memikirkan akan kemungkinan itu. Lega sekejap hati Pontianak.

"Ish, takkanlah sebab tu je." Ujar Encik Toyol sambil menggeleng kepala laju-laju.

Pontianak hanya senyum tak berdosa sambil mengangkat bahu.

DihantuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang