"Hangpa boleh pukui aku! Hangpa boleh boleh balun aku! Namun hangpa takkan boleh ambik semangat aku!" ujar Encik Toyol tiba tiba pada sekumpulan toyol yang sedang leka bermain dengan ketam.
Kayol, anak kepada Tok Penghulu memandang Encik Toyol dengan muka yang pelik. Difikirnya kepala si Encik Toyol ini sudah sewel kerana tidak semena-mena datang menjerit pada mereka di waktu malam begini. Tiada salam, tiada tegur, tiba-tiba menjerit tentang pendirian ni memang kerja orang gila saja. Kemudian, Kayol tersenyum. Dibisik-bisikkan sesuatu kepada rakan-rakannya. Selesai dibisik, sehantu demi sehantu bangun dari mencangkung sambil berjalan perlahan menuju ke Encik Toyol. Peluh mula mengaliur laju di dahi Encik Toyol.
"Hang habaq apadia tadi? Boleh pukui hang kan?" ujar Kayol dengan nada suara bersahaja.
Encik Toyol telan air liur.
*******
"Ibu..." ujar Encik Toyol sayu lagi dari muka pintu rumah.
Ibu toyol yang memandang hanya menggelengkan kepala.
*******
10 tahun berlalu.
Tatkala toyol-toyol lain sudah pun menggenggam ijazah sarjana muda bidang pentoyolan, Encik Toyol masih lagi sibuk membaca buku tentang ideologi-ideologi perniagaan. Ada masa, tergaru-garu juga kepala Emma mengenangkan masa yang dibuang anaknya itu. Timbul rasa menyesal kerana menjadi tali barut utama yang menyebabkan anaknya itu tidak masuk Universiti. Kalau tidak, sekurangnya sekarang anaknya itu ada la juga ijazah segulung. Tidaklah dia asyik diperli-perli oleh Yol Jah, jiran sebelah rumahnya yang mulut serupa tempayan. Tiap-tiap minggu, dialog ini saja yang akan kedengaran setiap kali dia pergi ke Mesyuarat Rukun Tetangga di dewan serbaguna,
"Mujuqlahh aku beriya paksa anak aku tu mengaji dekat unibersiti tu. Ada jugak la ijazah buat sembang dengan orang. Kalau aku ikut perangai maknya si Encik Toyol tu, hmmm harammm."
Menggeletar betul tangan Emma setiap kali mendengar dialog tu dilafaz mulut Yol Jah yang jaraknya cuma semeter. Kalau ikutkan kudrat feminist yang mengalir dalam darahnya, mahu malam tu Yol Jah gabi penumbuknya beberapa das. Mujur badan Yol Jah tu serupa raksasa. Besarnya 4 kali ganda dari tubuhnya. Kalau tersilap langkah, boleh jadi dia yang bakal terkulai. Tambahan pula, apa pula yang bakal dikatanya nanti pada pengikut-pengikutnya yang fanatik? Sehantu perempuan memukul sehantu perempuan yang lain? Tidak kena lansung dengan ideologi feminist yang dipegangnya selama ini.

ANDA SEDANG MEMBACA
Dihantu
AdventureLahir-lahir sebagai hantu, tidak memberikan jalan mudah kepada seekor pontianak untuk menjadi seekor hantu yang paling ditakuti. Dengan rekod kegagalan menakutkan orang mencecah angka 100, beliau menggelarkan dirinya sendiri sebagai hantu yang palin...