"Nak pergi mana ni?",tanya Abang. Aku mencebik.
"Dah bertuala bagai ni nak pergi mandi lah, takkan nak pergi main futsal kot. Bodoh", aku mengangkat tuala yang dililit di leher ke atas kepala.
"Ya Allah, baru setengah jam lepas aku tengok hang pergi mandi. Ni takkan nak mandi lagi? Hang bukan keluar rumah",marah Abang. Aku hanya membuat bodoh dan berlalu ke bilik mandi. Abang menggeleng kepala melihat aku.
Memang sudah menjadi habit aku suka bermain dengan air. Aku suka air. Bagi aku air dapat menenangkan aku tak kira sama ada aku sedang sedih atau terlalu bergembira.
Aku menekan suis lampu bilik air.
"Tik"
Lampu tidak menyala. Aku tekan lagi. Tetapi ianya tetap sama.
"Lampu tu dah terbakar. Sebab kamulah, asyik bukak tutup je lampu tu. Yela kamu je yang paling suka mandi pun", Mak membebel dari ceruk dapur. Aku terus masuk tanpa mempedulikan Mak. Takde lampu pun boleh mandi jugak, air kan ada.
Kepala paip aku pulas sehingga habis. Aku membuka semua pakaian yang aku pakai dan gantung ke pengangkut. Aku menunggu kolam dipenuhi air. Mandi dalam keadaan gelap ini agak seronok jugak. Rasa lagi adventure kot. Syampoo di tuang ke kepala dan digosok perlahan. Segar betul. Aku biarkan dulu buih-buih syampu diatas kepala tanpa jirus.
Aku mencapai sabun mandi dan mengosok ke seluruh badan, entah bagaimana sabun dalam pegangan aku tergelincir dan terus masuk ke dalam kolam air yang dipenuhi air. Dalam keadaan gelap dan kepala yang dipenuhi buih yang turun melimpah ke mata membuatkan aku susah mencari sabun. Aku memasukkan tangan ke dalam kolam air, sejuknya hingga menyucuk tulang,aku mencapai-capai hujung kolam untuk mencari sabun di dasar kolam.
"Haaa", hujung jari aku menyentuh sesuatu yang aku pasti ianya sabun mandi aku. Saat aku ingin pegang sabun itu, tiba-tiba 'sabun' itu bergerak dan memegang aku. Aku menarik tangan aku dari dalam air. Dalam keadaan yang samar-samar, aku nampak permukaan air berbuih makin lama makin banyak seakan dididih. Sebelum sehelai kain putih timbul dan ditelan semula ke dalam air. Aku yang terkedu terus menjerit dan mahu berlari keluar.
Entah bagaimana, aku terpijak sesuatu dan tergelincir jatuh. Kepala aku terhentak didinding marmar bilik mandi dan aku jatuh terlentang.
Ketika itu baru aku sedar, yang aku terpijak sabun mandi dan aku terdengar air berkocak lagi sebelum aku terus pengsan.