DYLA terjaga daripada tidur bila lengannya terkena buku-buku yang tersusun di atas meja. Alfan yang masih duduk di hadapannya dipandang seketika. Masih separa sedar. Namun bila teringatkan tugasannya, bagai terkena kejutan elektrik dia bangun dan membuka komputer ribanya yang sudah terkatup.
'Arghhh! Masih tak siap!' Dyla kelam-kabut. Kelas mula pukul sembilan pagi! Dyla pantas menaip kembali. Bila sudah panik, semua pun rasa macam berat, susah.
"Dah subuh. Solat." Alfan bangun dari bangku.
Dyla masih di atas kerusi. Bebola matanya bergerak kiri kanan. Jelas terlakar muka kusut Dyla. Alfan kembali ke meja. Komputer riba dikatup.
Dyla mendongak. 'Dua kali dia buat! Dua kali juga fail aku hilanglah gila!!!'
"Sebelum nak marah, fikir dulu. Dah subuh. Solat dulu. Bukan salah sesiapa kerja kau tak siap. Salah kau sendiri. Pergi tidur kenapa?" Lengan Dyla ditarik Alfan supaya bingkas bangkit dari kerusi.
Dyla mati kata-kata. 'Tapi salah kau juga yang kacau aku tengah-tengah malam, bagi aku makan banyak-banyak.'
USAI subuh, Dyla berteleku di atas sejadah. Pendingin hawa membuatkan tubuhnya menggigil sedikit. 'Kerja tak siap, habuanlah dalam kelas Encik Anuar nanti.'
Lemah longlai langkah Dyla menuju ke kereta Alfan. Masing-masing senyap dalam kereta membiarkan radio menghiburkan hati yang gundah-gulana.
Dyla tidak bersuara bila menolak pintu kereta Alfan. Entahlah. Sudah tiada apa yang boleh difikirkannya.
"Dyla..." Alfan turut keluar dari kereta.
Dyla menoleh. Tiba-tiba ada satu benda kecil dibaling kepadanya. Cepat-cepat dia menangkap.
"Assignment kau, aku save dalam thumb drive." Alfan masuk kembali ke dalam perut kereta.
Dyla terpinga-pinga. Tidak faham maksud lelaki itu. Hanya mampu memandang kereta Alfan terus meluncur pergi. Perlahan-lahan Dyla melangkah masuk ke dalam rumah.
"Woi! Mana kau pergi? Overnight?" Adilah yang masih bertelekung turun ke tingkat bawah dek terkejut bunyi pintu rumah terkatup.
"Buat kerja kat McD."
"Dengan budak yang main hon malam tadi tu?"
"Hmmm. Aku mengantuklah. Aku naik bilik dulu eh." Terus kaki Dyla menapak ke tingkat atas. Dia melabuhkan duduk di atas katil. Hampir jam tujuh pagi. Komputer riba dibuka. Macam mana pun, kena cuba untuk siapkan tugasan yang diberi. Itu tanggungjawab.
Sebelum Dyla memulakan kerjanya, dia mencucuk thumb drive yang diberi Alfan. 'Dia memang bawa thumb drive ke mana saja dia pergi ke?'
Fail nama Dyla dibuka. Bulat matanya merenung dokumen itu. Semua kerjanya. Semua... Complete!
Dyla rujuk kembali kepada kertas biru yang dipanggil guideline itu. Semua ada. Teratur! Tersusun! Justify, Arial, spacing 1.5, font 12. Cermat!
Dyla hela nafas lega. Lega sangat kerana kerjanya sudah siap! Baru kini bibirnya mampu mengukir senyuman. Tubuh dihempas ke katil. 'Leganya.'
'Tapi...' Dyla tidak mampu mencerna. 'Kenapa dia tolong?'
SELESAI semuanya. Sudah dicetak dan sudah pun dihantar. Dyla menggeliat dengan senyuman tidak putus-putus menguntum di bibir. Kalau dia tidak siap tugasan itu, pasti dia pun turut sama didenda tambah lagi satu tugasan yang boleh dikatakan mega! Bukan main leceh lagi hendak buat.
Alfan: How it is going?
Dyla: Apa?
Alfan: Semalam kata ada assignment. Siap tak?
YOU ARE READING
Dendam Cinta
RomanceBacaan Awal Sahaja Tajuk: Dendam Cinta Penulis: Nurul Ain Syuhada Penerbit: Penulisan2u Harga: RM30.00 (Semnanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=117&c...