BEG pakaian masing-masing dimasukkan ke dalam perut bas. Nama pelajar diambil sebelum naik bas untuk tujuan keselamatan. Dyla duduk bersebelahan Ikram. Kawan baik kampus!
Setengah jam yang pertama, masing-masing diam. Melayan diri sendiri. Nasib si pemandu terlebih sporting. Mikrofon dikeluarkan.
"Sesiapa yang terasa macam nak karaoke tu, boleh la duduk kat depan ni." Pak Cik Mat cuba meriuhkan suasana. Ada dua tiga orang pelajar lelaki mula ke depan.
Lagu retro lama-lama dikeluarkan. Perghhh! Zaman rock kapak ni! Ada suara merdu, tak kurang juga yang sumbangnya berkumandang di dalam bas sehingga membuatkan pelajar lain tidak berhenti-henti ketawa.
"Lagu ni, saya tujukan khas untuk Liyana." Amir mendedikasikan.
Liyana sudah menutup muka. 'Mangkuk punya lelaki. Girlfriend kau ada dalam bas ni juga. Tujukanlah dekat girlfriend kau!' omel Liyana sendirian.
Dyla tahan tawa melihat Fakriah yang duduk sebelah kanan bas sudah berasap. 'Pakwe tuju lagu kat orang lain depan-depan, makwe mana tak mengamuk? Ini mesti berani mati nak tunjuk bini kedua depan wife pertama ni nanti,' fikir Dyla.
Perjalanan kira-kira lapan jam berakhir pada jam 4.05 petang.
"Sakit pinggang aku duduk lama-lama." Ikram menggeliat dan membuat regangan untuk menghilangkan lenguh.
"Nasib baik dia bagi kau duduk, boleh tidur sampai air liur menitis kat bahu aku. Kalau dia suruh kau berdiri, mau patah kaki kau." Dyla menarik begnya.
"Aku tidur sampai air liur menitis ke?" Ikram lap mulut.
"Gurau aje..." sengih Dyla.
Ikram buat muka menyampah.
Bunyi air sungai mengalir sangat mendamaikan. Dyla sempat mengambil beberapa keping gambar bersama Saadah dan Adilah. Nak masukkan dalam Blog nanti!
"Okey, lepas asar kita berkumpul dekat situ." Amir menunjuk ke satu arah. Dia selaku pengerusi kelab, bertanggungjawab untuk kesemua ahlinya. Liyana berdiri di sebelah Amir.
"Ini assistant saya, merangkap bini kedua. So, jangan berani melawan atau kacau dia." Amir memberi amaran.
Bertambah merah padmalah muka Si Fakriah. Kalau lebih lama dibakar sebegini oleh Amir, harus juga rentung mukanya.
Pelajar lain sudah boo sana sini. Kelab Kembara ini, yang aktif pun berapa kerat saja. Yang berkhemah itu pun saling mengenali disebabkan selalu bertemu dalam perjumpaan yang diadakan.
"Sila dirikan khemah masing-masing. Kau orang pun dah besar. Tak payah la saya nak kena bahagikan kumpulan pula. Dalam satu khemah, kena ada sekurang-kurangnya empat atau lima orang!" Lantang suara Amir.
"Kau, aku, dia. Baru tiga orang!" Adilah mengira.
"Aku join kau orang boleh tak?" Ikram buat muka gatal.
"Aku sepak kau karang!" sergah Dyla.
Ikram monyok.
"Gurau pun tak boleh."
"Dah! Pergi dirikan khemah kau." Dyla tarik satu beg khemah. Bersama-sama Adilah dan Saadah, khemah terbentuk.
"Grup ni ada kosong lagi tak?" Amani gigit bibir bawah.
"Ada. Joinlah." Senyuman diberikan Saadah.
"Sorrylah kalau kacau you all. Saya pun memang tak de kumpulan." Amani bersuara malu.
"Ala... tak de apalah. Join aje. Kita orang okey aje." Dyla simpan beg dalam khemah.
"Terima kasih."
YOU ARE READING
Dendam Cinta
RomanceBacaan Awal Sahaja Tajuk: Dendam Cinta Penulis: Nurul Ain Syuhada Penerbit: Penulisan2u Harga: RM30.00 (Semnanjung) // RM33.00 (Sabah & Sarawak) http://www.p2u.my/beli-online.html?page=shop.product_details&flypage=flypage.pbv.v2.tpl&product_id=117&c...