Bab 6

2.4K 132 1
                                    

    AKHIRNYA, aku selamat sampai juga di lapangan terbang KLIA 2. Lega hati aku selepas pesawat aku tadi selamat mendarat. Dalam kepalaku sudah tersenarai pelbagai aktiviti yang akan aku lakukan sepanjang aku di Kuala Lumpur.

Semestinya aku akan menulis beberapa bab novel untuk dimasukkan ke dalam blog milikku memandangkan aku seorang penulis yang menulis secara sampingan selain mengejar cita-citaku untuk menjadi seorang peguam. Aku memandang kiri dan kananku.

Terdapat pelbagai kedai barangan berjenama, namun mataku tertancap pada satu butik yang sangat menarik pada pandanganku. Aku ketawa jahat dalam hati apabila memandang butik yang berwarna merah jambu dan hitam di hadapanku itu. Butik apa lagi kalau bukan butik Victoria Secret. Teringat lagi kali terakhir aku balik minggu lepas, aku telah berjanji untuk membeli minyak wangi kesukaanku. Tapi, rupanya itu hanyalah dusta semata-mata. Hahaha... Maaflah cik penjual, saya tak mampu nak membeli minyak wangi yang anda jual.

Aku terus melangkah ke arah pintu ketibaan. Aku menghela nafas berat. Inilah yang aku malas apabila balik KL. Jauh sungguh perjalanan aku di dalam lapangan terbang KLIA 2 ni.

Sempat juga aku berasa bosan setelah hampir setengah jam berjalan, namun masih belum jumpa pintu keluar lagi. Aku mengeluh perlahan. Sudah beberapa kali aku berpusing di tempat yang sama. Aku sudah berputus asa. Ah, biarlah mama aku yang cari aku di sini. Kakiku sudah melecet teruk selepas berjalan lama dengan kasut but. Menyesal. Itulah yang aku rasa. Kalau aku tahu, memang taklah aku nak pakai kasut ini tadi.

"Kalau tak jumpa jalan keluar, tanya ajelah."

Tiba-tiba aku terdengar satu suara garau dekat telingaku. Terangkat bahuku akibat terkejut. Aku segera memandang gerangan yang menegur aku itu. Mata aku membulat apabila ternampak wajah manis Harriz. Serta-merta jantungku berdegup laju. Topi pilot di kepalanya masih tersarung menunjukkan bahawa dia baru sahaja selesai menjalankan tugasnya.

Harriz ketawa sambil mengambil tempat di bangku yang bertentangan dengan kedudukanku.

"Awak buat apa kat sini?"

Aku menggigit hujung bibir. Soalan apalah yang aku tanya pada dia ni? Jelas lagi bersuluh yang dia baru lepas menjalankan tugasnya. Yang aku tanya lagi tu kenapa?

Harriz tersenyum sambil memandangku. "Saya baru aje lepas tolong mak cik cleaner cuci tandas tadi," jawab Harriz selamba.

Aku pun apa lagi. Jelingan tajamlah yang mampu kuberikan saat ini menyebabkan dia ketawa kuat. Aku pula yang segan apabila semua pramugari yang lalu di sisi kami menjelingku tajam. Dapat aku agak bahawa Harriz ini agak terkenal dalam kalangan pramugari di sini. Buktinya sekarang, ada juga pramugari yang tergedik-gedik nak melambai ke arah Harriz. Geram pula hati aku bila tengok Harriz dengan selambanya membalas lambaian mereka sambil tersenyum.

"Dahlah, saya nak balik." Aku terus bangun untuk beredar. Panas pula hatiku selepas melihat kemesraan mereka itu.

Harriz turut berdiri bersamaku.

"Kenapa awak bangun?" soalku agak kasar. Entah kenapa aku rasa macam menyampah pula nak bercakap dengan dia lebih lama sedangkan memang inilah yang aku impikan selama ini.

Harriz hanya tersenyum. "Saya nak hantar awak ke jalan yang benar," balas Harriz selamba.

Aku memandangnya tanpa riak. Ikutkan hati, nak saja aku cakap kat dia. Sebelum awak nak hantar saya ke jalan yang benar, baik awak betulkan diri awak dulu. Hisy!

"Tak apa, saya boleh baca dan boleh bertanya kalau saya nak," jawabku, cepat-cepat beredar dari situ sebelum dia sempat menjawab.

Tiba-tiba beg aku terasa sangat berat. Aku segera memandang ke belakang. Bulat mataku melihat Harriz dengan selambanya menghalang begku dengan kakinya.

Jadikan Aku Co-Pilotmu (TERBITAN MAC/APRIL 2018 - Intens)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang