Bab 7

2.2K 125 12
                                    

    "KENAPA awak pandang saya?"

Harriz hanya tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.

Aku mengerutkan dahiku lalu mengeluarkan cermin kecil dari beg tanganku. Risau juga jika ada apa-apa kesan di wajahku, namun aku jadi pelik apabila tiada apa-apa kesan di wajahku.

"Kita dah habis makan. Sekarang beritahu saya, apa yang awak nak cakap tadi."

"Sudi tak awak jadi isteri saya?" soal Harriz.

Aku yang sedang minum ketika itu terus tersedak. Nasib tak tersembur ke muka kacak dia tu. Aku menjeling Harriz tajam padahal dalam hati ini hanya Tuhan yang tahu betapa berdebar dan gugupnya aku ketika ini.

"Awak dah gila ke?" Harriz ketawa mendengar soalanku.

"Tak. Saya cuma practise aje pada awak sebab saya nak tanya pada orang lain," jawab Harriz.

Hah? Orang lain? Maksudnya, dia dah ada orang lain ke? Maksudnya, selama ni aku suka pada kekasih orang? Entah kenapa mood aku serta-merta berubah.

"Orang lain?" Aku menguatkan diriku untuk bertanya.

Harriz mengangguk.

Aku hanya mengangguk, namun sepatah pun aku tidak memberi komen kepada kata-kata Harriz itu.

"Saya dah bertunang."

Sekali lagi kata-kata Harriz menyentap jiwaku. Mataku terus memandang ke jarinya. Ya. Memang tersarung cincin di situ. Aku tersenyum kelat. Bodohnya aku. Kenapa selama ni aku tak pernah perasan kehadiran cincin itu di situ.

"So, awak cuma nak cakap pasal tu saja?" soalku.

Harriz menggelengkan kepalanya.

"Saya tak nak awak salah faham pasal kelakuan saya di airport tadi. Saya memang layan semua perempuan macam tu. Saya tak nak awak pandang saya sebagai seorang playboy atau apa-apa sebab saya sudah bertunang."

Ya Allah, kuatkanlah hatiku. Setiap kali dia menyebut pasal tunang tu, hati aku betul-betul sakit. Aku memandang ke arah lain kerana air mataku akan menitis bila-bila masa sahaja. Kenapa aku perlu menangis sedangkan aku baru sahaja mengenali dia?

"Tapi, saya..."

Cukup. Aku dah tak nak dengar apa-apa lagi dari mulutnya ketika ini.

"Ermm... Awak, sekejap ya. Saya nak ke wash-room." Aku segera memotong kata-katanya sebelum bangun dan mengambil beg tanganku untuk beredar tanpa memandang sekilas pun padanya.



AIR mataku menitis laju sejurus aku masuk ke dalam tandas. Aku menekup mulutku dengan tangan bagi mengelakkan sesiapa mendengar tangisanku. Aku tak faham dengan diriku ketika ini.

Mengapa aku harus menangis sedangkan aku bukanlah sesiapa kepada Harriz? Ya. Aku kecewa kerana aku terlalu meletakkan harapan yang tinggi untuk berdamping dengan seorang yang berkerjaya sepertinya. Aku terlalu yakin bahawa dia akan menjadi milikku suatu hari nanti. Dan kini, aku kecewa kerana harapanku telah punah dengan sekelip mata.

Sabarlah wahai hati. Mungkin Harriz memang bukan lelaki yang ditakdirkan untuk kau, Riya. Aku segera mengelap air mataku dengan tisu. Aku mengeluarkan telefon bimbitku dari beg tangan untuk mengirimkan pesanan ringkas kepada Harriz. Mujur semasa dalam perjalanan tadi, Harriz sempat memberikan nombor telefonnya kepadaku.

Maaf, saya ada hal kecemasan. Terima kasih kerana sudi belanja saya.


Aku terus mematikan telefon bimbitku sebelum segera beredar dari restoran itu dari pintu belakang yang terletak berdekatan dengan tandas.

Aku nekad. Aku tidak akan mendekatinya lagi. Aku akan sedaya upaya melupakan hasratku untuk bersamanya. Biarlah dia bersama tunangnya. Aku akan mendoakan kebahagiaan mereka.



SELEPAS hampir setengah jam menaiki teksi, akhirnya aku tiba juga di hotel yang terletak berdekatan dengan rumahku. Memang hotel ini sajalah yang menjadi rumahku selepas dihalau oleh bapa tiriku. Aku mengerutkan dahiku apabila terasa seperti aku tertinggal sesuatu.

Ya Allah. Macam manalah aku boleh terlupa yang beg aku masih lagi berada di kereta Harriz? Aku mengetuk kepalaku perlahan. Nak buat cerita Hindustan pun tak beragak-agak. Tengok, sekarang aku juga yang susah kerana terpaksa menghubunginya agar dia dapat menghantarkan begku.

Telefon bimbitku segera dihidupkan semula. Seperti yang aku agak. Hampir 10 kali Harriz menelefonku. Aduh, sekarang aku pula terpaksa menelefonnya semula. Malunya... Mana aku nak letak muka ni? Aku menguatkan hati untuk menghubungi Harriz. Tak sampai beberapa saat, panggilanku berjawab.

"Sherry, awak kat mana? Puas saya telefon awak. Awak okey ke?" soal Harriz yang kedengaran cemas.

Aku menelan liurku dengan mata yang terpejam. Harriz, tolonglah jangan terlalu baik dengan saya. Saya tak nak jatuh cinta pada awak. Tolonglah...

"Saya okey. Maaflah, tadi telefon bimbit saya kehabisan bateri. Beg saya ada pada awak, kan?"

"Ya. Awak beritahu saya alamat rumah awak, saya akan hantar sekarang."

"Tapi, sekarang dah malam. Awak tak kisah ke?"

"Tak apa ,esok saya tak kerja pun."

"Okey. Nanti saya sms pada awak alamat hotel saya."

"Awak tinggal di hotel?" soal Harriz pelik.

Aku hanya terdiam. Apa yang patut aku beritahu jika itu sememangnya kebenaran?

"Ya."

"Tapi, kenapa?"

"Maaf, saya tak dapat beritahu awak," jawabku sebelum mematikan talian.

Selepas menghantar pesanan mengenai lokasiku kepada Harriz, aku segera merebahkan tubuhku ke katil. Segala kata-kata Harriz siang tadi bagai terimbas kembali dalam ingatanku. Setiap kali aku mengingatkan perkara itu, hatiku semakin sakit.

Kenapa semua lelaki yang baik pasti akan menjadi milik orang lain? Tidak layakkah aku untuk berdamping dengan salah seorang daripada mereka? Perlukah aku mengharungi kesunyian dalam hidupku ini selamanya? Aku juga inginkan kebahagiaan seperti orang lain. Cukuplah segala kedukaan yang telah ku harungi selama 18 tahun ini. Aku sudah bosan untuk mengharunginya lagi.

Aku mahu keluar dari kepompong kesedihan dan kesunyian yang membelenggu hidupku selama ini.

Jadikan Aku Co-Pilotmu (TERBITAN MAC/APRIL 2018 - Intens)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang