Bab 8

2.1K 125 1
                                    

"TERIMA kasih sebab sudi hantarkan beg saya malam-malam macam ni." Aku meghadiahkan senyuman kepada Harriz walaupun sejujurnya ketika ini apa yang ingin aku lakukan adalah menangis di hadapannya.

Dia terlalu baik dan aku terlalu ingin mendekatinya, namun apakan daya, dia sudah menjadi milik orang lain. Aku segera mengambil beg tersebut daripada pegangan Harriz, namun kini tanganku pula yang dipegang oleh lelaki itu. Aku memandang wajah Harriz sebelum dia melepaskan tanganku.

"Boleh awak kongsi dengan saya tentang apa yang jadi dalam hidup awak?" soal Harriz lembut.

"Perlu ke?"

"Kalau awak terima saya sebagai kawan awak, kongsilah dengan saya. Saya janji saya takkan cerita pada sesiapa pun pasal awak."

Aku menghela nafas berat sambil memejamkan mataku buat seketika. "Saya kena halau dari rumah."

Harriz membulatkan matanya. "Kenapa?"

"Mungkin takdir saya memang macam ni. Saya memang lahir untuk dibuang dan tidak disayangi," jawabku tanpa memandang wajah Harriz. Aku takut jika aku gagal mengawal perasaanku ketika ini.

"Boleh awak ceritakan apa yang dah terjadi sehingga awak dihalau?" soal Harriz seakan-akan memujuk.

Aku memandang wajah Harriz dengan riak ragu.

"Trust me. Saya akan dengar semua cerita awak," ujar Harriz seakan-akan memujuk.

Setitis air mataku mengalir di pipi sebelum aku menceritakan segala kepahitan hidupku yang telah aku rasai selama ini.



AKU mengesat sisa air mataku di pipi setelah hampir sejam menceritakan kisah hidupku kepada Harriz.

"Saya tak sangka gadis semuda awak ni dah mengharungi dugaan berat macam tu."

"Nak buat macam mana? Mungkin takdir saya memang macam ni. Cuma satu aje yang saya harapkan, saya tak nak berdamping dengan lelaki seperti ayah tiri saya. Saya tak sanggup lagi nak hidup dalam keadaan macam ni."

Jujurnya, itulah apa yang aku rasakan selama ini. Aku berkata begitu kepada Harriz bukanlah kerana aku ingin meraih simpatinya, tetapi aku hanya meluahkan apa yang aku rasa selama ini.

"Saya takkan pernah buat awak macam tu, Sherry," ujar Harriz sebelum memegang pergelangan tanganku yang berlapik dengan baju.

Aku memandangnya pelik. "Memang awak takkan buat macam tu pada saya, tapi jangan sesekali buat macam tu pada tunang awak nanti," jawabku seraya menarik tanganku daripada pegangan tangannya, namun tidak berjaya.

"Tapi, saya rasa... Saya sukakan awak."

Aku memandang wajah Harriz dengan riak terkejut. Apa yang cuba dia sampaikan ni? Adakah dia sengaja nak main-mainkan perasaan aku?

"Saya tak ada mood nak berlawak dengan awak, Harriz."

"Saya cakap benda betul, Sherry. Saya memang sukakan awak sejak mula kita berjumpa," luah Harriz.

Aku menggelengkan kepalaku seraya menarik tanganku daripada pegangannya.

"Awak tunang orang dan saya takkan sesekali mengganggu hak orang. Saya harap awak jangan sesekali ulang ayat awak tu kalau awak betul-betul nak berkawan dengan saya."

"Tapi, saya luahkan apa yang saya rasa terhadap awak, Sherry. Walaupun saya dah bertunang, tapi saya tak cintakan tunang saya. Kami hanya pernah jumpa sekali sahaja. Itu pun di hari pertunangan. Saya tak nak pun bertunang dengan dia. Semua ni atas desakan keluarga saya. Sebab tu saya tanya awak siang tadi, sudi tak awak jadi isteri saya? Semua tu sebab saya nak tahu reaksi awak. Sebagai perempuan yang normal, awak mesti terkejut bila ada orang tiba-tiba melamar awak macam tu. Saya pasti tunang saya pun akan rasa seperti itu kerana kami tak mencintai satu sama lain. Macam mana dia nak terima saya dan saya nak terima dia?"

"Saya pasti awak akan dapat terima dia satu hari nanti, Harriz."

"Tapi, saya tak sukakan dia. Jauh sekali untuk mencintai dia."

"Perasaan tu boleh dipupuk."

"Tak boleh ke kalau awak pupuk perasaan awak pada saya?"

Aku hanya menundukkan wajahku. Saya memang dah lama ada perasaan pada awak, Harriz. Tapi, saya takkan rosakkan kebahagiaan orang lain sebab saya tahu betapa terseksanya bila kita disakiti.

"Tak. Saya langsung tak ada perasaan pada awak, Harriz. Saya dah ada orang lain dan saya takkan tinggalkan kekasih saya."

Harriz menyandarkan tubuhnya ke sisi kereta dengan wajah hampa.

Maafkan saya, tapi saya dah berjanji takkan membiarkan orang lain terseksa macam saya.

"Tak ada sedikit pun peluang untuk saya?" soal Harriz penuh mengharap.

Aku menggelengkan kepalaku. "Saya cintakan kekasih saya."

Dengan perasaan perit, aku terpaksa mengungkapkan kata-kata itu walaupun kenyataannya aku langsung tidak mempunyai kekasih ketika ini.

"Saya harap awak hormati keputusan saya, Harriz. Dan tolong jangan ungkit hal ini lagi. Saya tak nak hubungan persahabatan kita jadi renggang disebabkan oleh hal remeh seperti ini."

"Perasaan saya pada awak bukanlah hal remeh, Sherry. Hal ini melibatkan hidup saya dan awak," balas Harriz yang kedengaran sayu.

Ya Allah, beratnya dugaan-Mu ketika ini. Ikutkan hati, aku terlalu ingin membalas perasaan Harriz, tapi aku tak mampu.

"Baiklah, saya harap kita takkan jumpa lagi selepas ini. Selagi awak tak dapat buang perasaan awak tu, jangan sesekali muncul depan saya," ujarku sebelum meninggalkan Harriz keseorangan dengan perasaan berat.

Beberapa minit kemudian, aku memasuki bilik hotel lalu melangkah ke tingkap. Aku lihat Harriz masih lagi bersandar di sisi keretanya. Lelaki itu memegang dadanya buat seketika lalu meraup wajahnya perlahan sebelum dia memasuki keretanya untuk beredar. Sekali lagi air mataku mengalir. Aku hanya mampu memandang kereta Harriz yang semakin menjauh. Saya harap awak akan lupakan segala yang awak katakan pada saya, Harriz. Dan saya pun akan cuba buang perasaan saya pada awak.

Jadikan Aku Co-Pilotmu (TERBITAN MAC/APRIL 2018 - Intens)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang