AKU membetulkan tudungku di hadapan cermin. Entah kenapa aku jadi gementar untuk mengikuti program ini.
Aku ni dahlah kalau jumpa dengan mat salih mesti cakap Inggeris pun tunggang terbalik. Padahal kalau tak ada mat salih tu, boleh saja aku bertutur dengan baik. Bahkan aku merupakan salah seorang pelajar kesayangan cikgu bahasa Inggeris semasa di sekolah menengah dulu, tetapi entahlah. Sudah seperti penyakit pula apabila aku gementar pasti segala perkataan yang telah aku susun akan hilang daripada minda aku ketika aku hendak bertutur.
"Sherina, are you ready? They already wait for us," ujar Auntie Jane.
Aku dan Auntie Jane telah menginap di sebuah hotel yang terletak di berdekatan dengan Newton Road. Perjalanan ke tempat program kami dijalankan mengambil masa 10 minit menaiki teksi. Maka, kami harus bertolak lebih awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas memandangkan kini sudah hampir pukul 5.00 petang.
"Yup, I'm ready. Jom kita gerak," ujarku sebelum kami berdua keluar dari bilik hotel itu.
10 minit kemudian, kami telah selamat sampai ke destinasi. Aku sangat kagum dengan kecekapan para pemandu di negara itu. Mereka sangat menepati masa dan mematuhi peraturan jalan raya. Rasanya tiada satu pun kereta yang dipandu dalam keadaan perlahan sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas seperti yang selalunya terjadi di bandar raya Kuala Lumpur."Hey, Sherina. How are you?" Seorang lelaki mat salih yang agak berusia menegurku ketika aku dan Auntie Jane memasuki restoran hotel itu. Dia mendepakan tangannya.
Walaupun inilah kali pertama aku bertemunya, namun aku tahu itulah suami Auntie Zue. Dalam erti kata lain, pak cikku. Aku tersenyum lalu memeluknya erat.
"So this is my long lost relative? After eighteen years, I finally get the opportunity to meet you," ujar Uncle Carl.
Aku hanya tersengih sebelum dia merungkaikan pelukannya.
Beberapa minit kemudian, muncul beberapa orang rakan Auntie Zue yang bakal menjadi pembantunya dalam program ini. Aku menelan liurku apabila melihat mereka rata-ratanya orang putih yang berasal dari Canada dan Amerika.
Aduh, habislah aku kali ini. Sangkaku, kami akan bertutur dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya sangkaanku meleset. Dengan lafaz bismillah, aku mula berbual dengan mereka. Alhamdulillah, aku berjaya juga bertutur dengan lancar.
"Sherina, you can go to my room first because this program will start at 6.00 p.m but we have to make some preparation. Maybe you can get some rest first and come to the hall ten minutes before we start," ujar Auntie Zue seraya menghulurkan kad biliknya kepadaku.
Aku hanya mengangguk sebelum segera naik ke tingkat atas. Sememangnya ketika ini aku keletihan setelah bersiar-siar semalam di sekitar kota Singa ini dan pagi tadi aku dan Auntie Jane telah bersiar-siar di sekitar Pulau Sentosa yang sangat cantik. Sejurs masuk ke bilik hotel, aku segera merebahkan tubuhku ke katil tanpa membuka tudung yang elok tersarung di kepalaku. Beberapa minit kemudian, aku sudah terlena akibat kepenatan.
AKU membuka mataku perlahan sebelum mematikan alarm yang berbunyi di telefon bimbitku.Aku segera membasuh mukaku sebelum meletakkan sedikit gincu di bibirku. Selepas berpuas hati dengan penampilanku, aku segera beredar ke dewan yang diberitahu oleh Auntie Zue sebentar tadi.
"Hey sweetie. Did you get some rest?" soal Auntie Jane ketika aku sampai di hadapan pintu dewan.
Mak cik aku kelihatan agak sibuk menyusun borang penyertaan. Sehelai borang diserahkan kepadaku.
"Fill up the form. Auntie nak masuk dalam sekejap. Kalau ada orang nanti, panggil auntie, okey?"
Aku hanya mengangguk sambil tersenyum sebelum mak cikku masuk ke dewan itu. Sedang aku mengisi borang, tiba-tiba dua orang pasangan berdiri di hadapanku. Dapat kuagak bahawa mereka ini adalah antara peserta yang akan menyertai program ini.
"Hi, do we need to fill up the form?" soal salah seorang daripada mereka.
Aku mengangguk sambil menghulurkan borang yang tersusun di meja itu kepadanya sambil tersenyum.
"I'm Sherina," ujarku seraya menghulurkan tanganku kepada wanita yang dapat kuagak berasal dari England.
Dia tersenyum seraya menyalamiku. "I'm Jacklyn and this is my husband, Max," ujar wanita itu ramah.
Suaminya menghulurkan tangan kepadaku sebagai salam perkenalan. Aku hanya tersenyum sebelum menarik sedikit lengan bajuku dan menyalaminya dengan berlapikkan lengan baju. Aku faham bahawa mungkin mereka tidak tahu dengan fahaman Islam yang melarang persentuhan antara lelaki dan perempuan.
Ketika itu, seorang lelaki Cina yang berusia dalam lingkungan dua puluhan muncul di situ. Dia tersenyum kepadaku.
"Are you joining this program too?" soalku ramah.
Lelaki itu mengangguk.
"Hi, I'm Sherina," ujarku lalu menghulur tanganku sama seperti tadi, masih berlapik.
Lelaki itu teragak-agak menyambut tanganku.
"I'm Carmen," ujar lelaki itu.
Aku tersenyum apabila dia menyambut salamku, tetapi hanya menyentuh hujung jariku. Aku tahu bahawa dia menghormati agamaku dan tahu bahawa wanita Islam sememangnya tidak boleh bersalaman dengan lelaki.
"Where are you from?" soal Carmen memulakan perbualan.
"I'm from Malaysia."
"So, you're working as?" soalnya lagi.
"I'm a student."
"Oh... I see," jawabnya sambil tersenyum.
Aku turut tersenyum melihat senyuman manisnya itu. Beberapa minit kemudian, semua para peserta seramai 10 orang sudah mula berkumpul di hadapan dewan itu.
"Okay, ladies and gentleman. Please come in," ujar Joanna yang merupakan salah seorang rakan Auntie Zue yang pernah datang ke rumahku minggu lepas.
Dia tersenyum kepadaku. Kami semua memasuki dewan yang sederhana luas itu dengan perasaan ingin tahu yang berkobar-kobar memandangkan tiada sesiapa pun di antara kami yang mengetahui apakah aktiviti yang bakal dijalankan.
KAMU SEDANG MEMBACA
Jadikan Aku Co-Pilotmu (TERBITAN MAC/APRIL 2018 - Intens)
RomanceAKU nak kahwin dengan pilot! Satu ayat yang kedengaran seperti impian kakak tiri Cinderella yang terlalu mengharapkan seorang putera raja untuk menjadikan dirinya suri hati terluncur dari mulut seorang bakal peguam. "Geramnya! Mama aku ni pun sat...