Bab 1

955 15 0
                                    

Suasana hening saat tiga orang tetamu asing memanjat tangga rumah kayu yang hampir setengah abad itu. Melihatkan tetamunya dan seorang anak cilik yang comel dengan sepasang mata bulat kebiruan, hidung mancung, rambut hitam kemerah-merahan, dan kulit putih memerah, Nek Zizah tersenyum.

Nek Zizah dan Datin Rahmah berpelukan lama.

"Zizah, apa khabar?" bicara Datin Rahmah memulakan saat pipi mereka berlaga.

Nek Zizah cuma mampu tersenyum dan mengangguk dengan kehadiran teman lama yang suatu ketika dahulu sangat rapat dengannya. Sekian lamanya mereka terpisah, bukan kerana jarak tapi kerana soal hati. Hari ini mereka bertemu lagi setelah hampir sepuluh tahun lebih mereka tidak bersua.

Bukan kerana benci, bukan juga dendam dan bukan kerana tiada keinginan namun keadaan tidak mengizinkan. Mereka cuma menanti masa yang sesuai untuk menautkan kembali ukhuwah yang terlerai untuk sekian lamanya. Mungkin hari ini masanya dan saat yang sekian lama dinanti-nantikan oleh mereka. Siapa tahu?

"Kau sihat Mah?"

Datin Rahmah mengangguk seraya mengusap lembut lengan sahabatnya itu yang jelas sudah dimamah usia. Perbezaan umur mereka tidak jauh, cuma empat tahun namun kedua-duanya kelihatan sebaya. Mungkin disebabkan kerajinan mereka dalam menjaga pemakanan di usia muda mereka yang hampir setengah abad lalu.

"Dini? Apa khabar?" Nek Zizah mengalihkan perhatiannya kepada lelaki yang hampir sebaya dengan mereka di sisi Datin Rahmah.

Dato Dini mengukir senyum nipis.

"Alhamdulillah, sihat orang tua, biasalah. Khalid mana?" Dato' Dini memanjangkan leher mencari sahabatnya.

"Dia pergi ke surau. Kejap lagi baliklah," Mata Nek Zizah jatuh pada si kecil di hadapan Dato' Dini yang sedang merenungnya tidak berkelip dari tadi.

"Ni anak orang putih mana pulak kau bawa ni Mah?" Matanya masih merenung si kecil itu pelik.

Datin Rahmah menarik lengan Nek Zizah menuju ke ruang tamu.

"Kut ya pun, kita duduklah dulu Zizah. Banyak benda kita nak cerita ni," ujar Datin Rahmah seraya tersenyum.

Hakikatnya, senyuman itu cuma untuk menyembunyikan rasa hatinya yang kalut. Mahukah Zizah memenuhi permintaannya? Mahukah Zizah memahami tujuan mereka berkunjung ke rumah ini?

Nek Zizah menurut sahaja cadangan temannya itu namun matanya tidak lepas dari memandang si kecil yang bergaun kembang berbunga-bunga itu. Manis. Wajah itu mirip seseorang. Ada sesuatu yang terlintas di fikirannya kala itu tapi...tak kanlah.

Nek Zizah menjemput tamunya untuk duduk sebelum dia meminta diri ke dapur untuk menyediakan minuman. Tatkala dia melangkah pergi, sempat dia menangkap butir bicara halus, pastinya milik kanak-kanak itu.

"Who is that?" suara halus itu berbicara. Yakin dan tegas.

"Nenek, sayang," jawab Dato' Dini mesra.

"But this is my granny."

"Itu pun nenek juga."

Nek Zizah menghela nafas. Nampaknya, si kecil itu tidak mahir berbahasa Melayu. Mujurlah dia dahulu sempat menghadiri sekolah Inggeris bagi pengajian peringkat rendah. Faham jugalah apa yang si kecil itu bualkan tadi.

Sedang dia menyediakan kopi dan beberapa biji kuih untuk tetamunya itu, kedengaran bunyi motor cabuk Tuk Khalid sayup-sayup memasuki bawah rumah. Kemudian terdengar pula riuh-rendah suara Tuk Khalid dan Dato' Dini berbual mesra.

Nek Zizah mengukir senyuman nipis sebaik dia kembali ke ruang tamu dengan sedulang minuman dan sepiring kuih-muih kering.

"Apalah kamu tak cakap nak datang Dini? Kalau tak aku boleh belikan apa-apa makanan untuk kamu masa balik tadi. Sekarang yang ada kuih-muih ni jelah," Tuk Khalid bernada sesal.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now