BAB 9

292 5 0
                                    

Tuk Khalid mengemaskan duduknya di atas kerusi rotan yang sudah menghuni rumah itu selama hampir 15 tahun. Kusyennya sudah nipis. Boleh terasa rotan yang menjadi 'tulang' di bahagian bawah bagi orang yang terlalu kurus.

Isabelle duduk di sebelahnya dengan gaun kembang dan mata biru bulatnya. Tumpuan mereka sama, iaitu lelaki berkemeja biru belang-belang di hadapan mereka yang sedang sibuk mengeluarkan sesuatu dari beg bimbit hitam yang dibawanya bersama.

Bunyi kipas angin yang sudah longgar wayarnya itu membuatkan suasana sedikit bingit namun itu tidak menghalang mereka dari menumpukan sepenuh perhatian pada Rashid, yang mengaku dirinya peguam Dato' Dini.

Nek Zizah muncul beberapa ketika kemudian bersama sedulang minuman dan kuih-muih yang dibuatnya khas mengenangkan mereka akan menyambut tetamu yang sama besar kedudukan dan taraf ketinggiannya dengan Dato' Dini.

Rashid mengukir senyuman dan dia setia menanti Nek Zizah menghidangkan minuman dan kuih-muih itu sebelum dia memulakan bicaranya. Seperti semalam, dia kelihatan tenang dan karismanya amat menyerlah. Memang sesuai dengan jawatannya sebagai seorang peguam profesional.

Nek Zizah mengambil tempat di sebelah Isabelle, menjadikan Isabelle di tengah-tengah antara dia dan suaminya.

Rashid berdeham perlahan. Dia memandang mereka silih berganti.

"Pertama sekali, saya nak sampaikan berita buruk kepada Encik Khalid dan Puan Azizah."

"Berita apa tu?" Tuk Khalid terus menyampuk. Debaran di dadanya menjadi-jadi sejak dia dikhabarkan tentang kedatangan peguam itu semalam.

Rashid tertunduk seketika. Jelas kelihatan berat untuk dia meneruskan bicaranya.

"Dato' Dini dan Datin Rahmah terlibat dalam kemalangan ngeri seminggu yang lalu. Mereka... dah pergi."

Tuk Khalid tersandar lemah. Bagai terhenti nafasnya mendengar khabar itu. Nek Zizah turut tersentap. Kelu lidah mereka.

"Innalillahiwainnailaihi rajiuun..." ujar Tuk Khalid perlahan.

Rashid menggigit bibir. Dia sudah menjangka reaksi itu dari mereka. Dari cerita Dato' Dini, mereka orang yang kuat agama. Mereka juga sahabat baik Dato' Dini. Jadi, dia turut memberi penghormatan yang serupa seperti yang diberi kepada Dato' Dini kepada mereka.

Rashid berdeham lagi sebelum meneruskan bicaranya. Sekilas pandangannya jatuh pada Isabelle yang tidak menunjukkan reaksi. Mana mungkin dia mengerti. Dia baru berumur empat tahun. Sedarkah dia apa yang telah diwarisinya?

"Dari cerita yang saya dengar, mereka dalam perjalanan ke Kampung Durian Rapat iaitu kampung ini untuk melawat Isabelle. Dato' Dini memandu sendiri semasa kejadian. Hujan lebat menyebabkan Dato' Dini hilang kawalan dan mereka merempuh sebuah treler yang tersadai di tepi jalan. Dato' Dini meninggal di tempat kejadian. Datin Rahmah pula menyusul tak lama lepas dia dibawa ke hospital kerana cedera parah di kepala dan seluruh badan."

Nek Zizah menekup mulutnya. Matanya turut terpejam dan beberapa ketika kemudian, titisan jernih mula menitis membasahi pipinya.

Perasaan tidak sedapnya selama ini membawa berita buruk. Mereka telah pergi untuk selamanya. Nek Zizah menoleh ke sisi lalu ditarik Isabelle ke dalam pelukannya. Terpinga-pinga Isabelle dengan tindakan spontan Nek Zizah namun dia tidak menolak. Dibiarkan saja Nek Zizah memeluknya erat.

Rashid menunduk seketika dan kertas di tangannya direnung kosong. Dia sedar dia membawa khabar buruk pada keluarga itu, terutamanya pada Isabelle. Lambat-laun, anak itu akan mengerti.

Tuk Khalid tidak terkata apa-apa. Dia senyap di tempatnya, terkunci bibirnya. Bukan itu khabar yang dimahukannya namun, kuasa Tuhan tiada siapa yang mampu melawan kudrat-Nya. Mereka cuma insan yang lemah, hamba-Nya yang cuma mampu berdoa.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now