BAB 16

294 5 0
                                    

Chan termenung sendiri di kaunter kedai itu yang agak lengang. Dia menongkat kepalanya seraya melepaskan keluhan perlahan. Jika apa yang berada dalam fikirannya terpampang di dahi, pasti di dahinya akan kelihatan selirat wayar atau urat yang bersilang-silang tanpa permulaan atau akhiran yang pasti.

Namun yang pastinya, wajah Isabelle, Nek Zizah, Tuk Khalid, dan Aman akan terpampang jelas. Dia menoleh apabila bunyi pintu kayu yang menghubungkan rumah dan kedai itu dikuak. Ibunya, Ah Liu yang berpakaian kemas menghiasi pandangannya. Ah Liu menghampiri satu-satunya anak lelakinya itu.

"Ni yao bu yao qu? (Kamu nak pergi ke tidak?)"

Chan geleng lemah.

"Bu yao le. (Tak mahu.) Isabelle dan Aman mesti ada di sana..."

Chan meletakkan dagu di atas tangan, lemah.

"Mama tak suka tengok Chan macam ni. Sakit hati mama tahu. Kalau kamu balik rumah nak tunjuk muka macam ni, baik jangan balik Chan," keluh Ah Liu seraya menghilang di balik pintu itu semula.

Chan terdiam. Bukan sekali dia mendengar ibunya marah. Ah Liu memang begitu. Kurang tenang, tidak seperti Ah Tong.

Kenduri anak bongsu Busu di hujung kampung yang dimaksudkan ibunya. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi motor papa dan mamanya berangkat meninggalkan dia seorang di situ. Dia diminta menjaga kedai sementara menunggu mereka pulang kembali. Ah Mei, kakaknya sudah ke pekan bertemu kawannya.

Chan mengeluh lagi. Sampai bila dia akan begini?

"CHAN mana aunty?" Isabelle memanjangkan leher ke kiri kanan namun kelibat Chan tidak kelihatan.

"Dia jaga kedai," jawab Ah Liu ringkas.

Hakikatnya, dia mahu mengelakkan Isabelle kerana dia tahu pasti soalan itu akan bertamu di bibir gadis itu namun mereka bertembung juga. Ah Liu mula resah.

Isabelle terangguk-angguk. Riak hampa cuba dijauhkan namun terpampang juga di wajahnya.

"Nek Zizah datang?"

Isabelle angguk seraya menunjuk ke satu arah.

"Dengan nenek Lijah."

Ah Liu angguk faham sebaik dia melihat ke arah itu.

"Aunty nak jumpa isteri Busu kejap. Aunty pergi dulu ya."

Ah Liu pantas meminta diri. Dia tidak betah menghadap wajah itu walaupun hakikatnya bukan dia yang terjerat dalam silangan itu tapi Chan anaknya, dia turut terasa kelatnya.

Isabelle angguk. Selepas dia membantu kaum wanita di belakang rumah, dia kini punya banyak masa lapang. Lazimnya, Isabelle akan terus pulang sebaik selesai rewang di mana-mana kenduri. Walaupun dia membesar di situ, Isabelle tahu dia masih belum diterima orang lain. Dengan rupanya, sukar untuk penduduk kampung menerima hakikat bahawa dia juga sebahagian daripada mereka.

Penduduk kampung yang sudah tua mungkin senang dengannya tapi tidak golongan muda. Kerana itu Isabelle jarang bercampur dengan mereka, tambahan pula sejak Chan dan Aman mula menjauh darinya.

Isabelle terfikirkan sesuatu. Dia menghampiri Nek Zizah dan membisikkan sesuatu.

Nek Zizah angguk.

"Okey, nanti ambil nenek di sini ya..."

Isabelle angguk seraya meminta diri. Motor Tuk Khalid ditujunya. Bagi mereka yang belum pernah melihat dia, pasti ramai yang memandangnya tidak lepas namun Isabelle sudah lali dengan semua itu. Isabelle menoleh saat terdengar seseorang menegurnya tatkala enjin motosikalnya dihidupkan.

Istilah Cinta Untuk DiaWhere stories live. Discover now